LEDANG 17 Mei - Vokalis kumpulan rock XPDC, Mael  didenda RM500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tangkak di  sini hari ini atas tuduhan memukul anak perempuannya yang berusia 16  tahun, lapan hari lalu.
Penyanyi tersebut turut mengaku bersalah  atas tuduhan mengambil dadah jenis morfin tetapi hukuman bagi kesalahan  itu akan ditentukan kemudian berikutan laporan perubatan terhadapnya  masih belum siap.
Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed  Ibrahim, 42, mengaku mencederakan anaknya di bahagian kaki dan tangan di  sebuah rumah di Jalan Ahmad, Tanjung Agas, di sini kira-kira pukul 7.30  malam, 9 Mei lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan menggunakan  rotan dan tangannya.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut  Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga  setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Mael yang memakai  baju tahanan reman warna ungu dan rambutnya bertocang, tidak diwakili  peguam bela.
Tiada ahli keluarga atau rakannya kelihatan  sepanjang kes itu berlangsung di mahkamah.
Majistret Salina Omar  menggenakan denda tersebut selepas Mael dalam rayuan bagi meringankan  hukuman menyatakan dia mempunyai tanggungan lima orang anak.
Timbalan  Pendakwa Raya, Muhamad Fadhli Sutris yang mengendalikan pendakwaan  berkata, siasatan terhadap penyanyi berkenaan dibuat setelah isterinya  membuat laporan di Balai Polis Sungai Mati sehari selepas kejadian.
''Berdasarkan  siasatan, tangkapan telah dibuat terhadap tertuduh di rumahnya di Muar  pada Jumaat lepas dan mangsa telah dibawa ke Hospital Tangkak untuk  mendapatkan laporan perubatan,'' katanya.
Terdahulu, Mael mengaku  bersalah atas tuduhan menggunakan morfin jenis tetrahydrocannabinol  semasa ujian air kencing dilakukan terhadapnya di Pejabat Bahagian  Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang kira-kira pukul 12 tengah hari,  14 Mei lalu.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta  Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama  yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua  tahun dan pengawasan sehingga tiga tahun.
Pegawai Pendakwa Cif  Inspektor K. Subramaniam mengendalikan pendakwaan kes itu.
Salina  memerintahkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dan tarikh sebutan semula  pada 21 Jun ini sementara menunggu laporan perubatan.
