Penumpang yang juga rakan  remaja 14 tahun yang ditembak mati oleh polis - Aminulrasyid Amzah  menolak dakwaan polis bahawa mangsa cuba merempuh ke arah polis.
"Apabila  ditem
bak, badannya terkulai di peha saya tetapi kakinya  (Aminulrasyid) masih di accelerator yang menyebabkan kereta bergerak dan  polis terus menembak,” katanya pada sidang media di rumah keluraga  Aminulrasyid, hari ini.
Menceritakan kejadian Isnin lalu,  Azamuddin Omar, 15 berkata, kereta berkenaan kemudian berlanggar dengan  sebuah tembok dan polis terus menembak.
Azamuddin yang cedera  pada bahagian lengan dan belakangnya juga mendakwa lima anggota polis  kemudiannya membelasahnya selepas dia keluar dari kereta untuk menyerah  diri.
Pelajar tingkatan tiga itu masih ketakutan kini menjalani  rawatan untuk trauma.
Bapa saudara kepada mangsa, Kamaruddin  Hassan yang berada pada sidang media itu berkata pihaknya tidak mahu  inkues berhubung pembunuhan itu seperti yang dicadangkan oleh Ketua  Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
"Kami mahu siasatan diraja  kerana hanya itu sahaja cara bagi mendapatkan siasatan yang telus dan  adil,” katanya.
Menurut peguam keluarga berkenaan, N Surendren,  tidak perlu diadakan inkues kerana tidak ada pertikaian mengenai cara  remaja itu meninggal dunia.
Kamaruddin juga membidas Ketua Polis  Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dilaporkan berkata pihaknya sedia  mengundurkan polis jika orang ramai tidak lagi mahu mereka  menguat-kuasakan undang-undang.
"Kami hormati polis tetapi  mungkin ada yang diibaratkan sengai 'buah busuk' di kalangan mereka,”  katanya.
Keluarga berkenaan juga merayu kepada semua  pihak bagi menghentikan spekulasi dan membuat kenyataan yang boleh  melukakan perasaan ibu Aminulrasyid.
Antara kenyataan itu,  termasuk dakwaan bahawa dua remaja berkenaan adalah penjenayah dan  keluarha mereka patut dipersalahkan kerana membiarkan budak-budak  berkenaan memandu tanpa lesen pada waktu tengah malam.
“Ada juga  ura-ura bahawa kakak mangsa akan juga didakwa kerana keretanya  digunakan,” katanya lagi.
