KOTA BHARU, 3 Mei: Pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) dianggap  tidak prihatin terhadap kedaulatan negara apabila dengan mudah menyerah  dua blok pengeluaran minyak di Laut Cina Selatan kepada Brunei.
Blok  terbabit iaitu Blok L dan Blok M dianggap bekas Perdana Menteri, Tun Dr  Mahathir Mohamad mempunyai nilai minyak berjumlah AS$100 billion (RM320  bilion).
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad  Fadhli Shaari berkata, kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  membuat penjelasan yang boleh memuaskan hati rakyat mengesahkan  kerajaan BN tidak prihatin terhadap kedaulatan negara. 
“Dewan  Pemuda PAS Kelantan menuntut satu siasatan dibuat bagi menyiasat  ketelusan rundingan yang merugikan Malaysia tersebut,” katanya dalam  satu kenyataan media di sini.
Baru-baru ini Dr Mahathir Mohammad  mendedahkan kepincangan tersebut dalam blognya dengan merujuk  laporan  The Edge Financial Daily dan Brunei Times.
Bagaimanapun Perdana  Menteri menganggap persempadanan semula darat dan laut pada Mac 2009  sebagai formula penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak  (Malaysia dan Brunei).
 
Isu tuntutan Brunei terhadap  Limbang yang diapit daerah Brunei Muara dan Temburong dibangkitkan  negara terbabit sejak pembentukan Malaysia pada 1963.
Ahmad  Fadhli berkata, Pemuda PAS Kelantan melahirkan rasa kesal yang teramat  sangat ekoran kecuaian kerajaan Malaysia dalam rundingan diplomatik  tersebut sehingga mengakibatkan jumlah kerugian yang begitu besar  terpaksa ditanggung rakyat Malaysia.
“Persoalan yang timbul  mengapakah pemimpin negara boleh melakukan rundingan yang secara jelas  merugikan Malaysia.
“Jika pemimpin negara boleh menafikan hak  rakyat Kelantan dalam isu tuntutan royalti minyak sebanyak RM2 billion,  nampaknya mereka dengan senang hati melepaskan RM320 billion kepada  pihak lain,” katanya.
Oleh itu menurutnya, Pemuda PAS Kelantan  menuntut penjelasan Najib memandangkan ketika mesyuarat kabinet pada 11  Februari 2009 beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri.