by pemudabesut
        4,763 minta bantuan  dapatkan semula pelaburan dalam firma  Malaysia
KUALA LUMPUR:  Seramai 4,763 rakyat Brunei yang melabur dalam sebuah syarikat yang  didaftarkan di negara ini memohon bantuan kerajaan Malaysia membantu  mereka mendapatkan semula wang pelaburan yang didakwa berjumlah B$91.5  juta (RM211.549 juta).
Sembilan wakil pelabur itu yang berada di  negara ini sejak Ahad lalu untuk menyelesaikan masalah berkenaan,  mendakwa mereka melabur menerusi sebuah entiti, iaitu Kelab Taqwa  Malaysia (KTM) yang dimiliki Syarikat Kumpulan Dina yang mempunyai  cawangan di Brunei dan Sarawak.
Seorang wakil mereka yang enggan  namanya disiarkan mendakwa, ketika kempen menarik pelaburan, KTM yang  beroperasi di Limbang, Sarawak, mendakwa menggunakan kaedah urus niaga  berunsurkan Islam dengan slogan 'Diri Islam, Negara Aman', menyebabkan  mereka yakin melabur.
“Wakil syarikat itu mendakwa melantik  Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai penasihat syariah sejak  Mac 2008 untuk meyakinkan pelabur,” katanya ketika datang ke Berita  Harian, semalam.
Beliau berkata, sebelum membuat pembayaran  kepada KTM, mereka berurusan dengan sebuah lagi syarikat dikendalikan  pengurusan sama, Pan Phoenix Dina Sdn Bhd (PPD) di Brunei, tetapi  ditutup tidak lama selepas itu kerana dikatakan terbabit menerima  deposit tanpa lesen perbankan sah.
Seorang pesara lelaki yang  turut melabur berkata, pembayaran keuntungan berjalan lancar sejak 2007  sehingga syarikat itu ditutup pada 16 Mac tahun lalu.
Beliau  berkata, selepas ditutup, seorang daripada pengasas syarikat warga  Malaysia membuat perjanjian untuk membayar semula modal secara  berperingkat pada September tahun lalu dan awal tahun ini, namun ia  tidak dilaksanakan dan mereka menghilangkan diri tanpa dapat dihubungi.
“Selain  menggunakan wang persaraan, saya resah kerana selalu menerima panggilan  rakan dan saudara mara bertanyakan mengenai wang pelaburan mereka yang  masih tidak dikembalikan syarikat berkenaan,” katanya.
Seorang  wanita yang melabur B$165,000 (RM381,482) mendakwa, mereka sudah  berjumpa wakil Bank Negara Malaysia (BNM) dan dimaklumkan antara RM20  hingga RM30 juta wang milik KTM dibekukan kerana kesalahan menerima  deposit tanpa lesen sah.
“Meskipun dimaklumkan pelabur bakal  menerima semula wang selepas kes diputuskan oleh mahkamah, ia akan  memakan masa dan selepas pelbagai ikhtiar, kami berharap pemimpin di  Malaysia dapat membantu kami.
“Bukan semua rakyat Brunei yang  melabur dalam syarikat itu terdiri daripada mereka yang berpendapatan  tinggi. Selain menggunakan wang persaraan, ada yang membuat pinjaman  kerana menyangkakan memperoleh pulangan lumayan,” katanya.
Harussani  ketika dihubungi berkata, beliau tidak lagi berhubungan dengan  mana-mana wakil syarikat itu selepas dimaklumkan ia ditutup dan tiada  pelabur yang datang atau menghubunginya.
Sementara itu,  berdasarkan salinan maklumat daripada pelabur syarikat itu, KTM dan PPD  yang mengeluarkan produk cucian jenama Dina, mempunyai beberapa pejabat,  antaranya di Shah Alam, Pengkalan Chepa, Kelantan dan Sarawak.
Antara  skim pelaburan yang ditawarkan syarikat itu adalah Al Iwa 2 dengan  pelaburan serendah B$500 (RM1156) membabitkan kontrak dua tahun dengan  keuntungan dijanjikan 24 peratus sebulan. Pelaburan tertinggi yang  ditawarkan ialah Al Ghani dengan permulaan serendah B$200,000  (RM462,403) dengan kontrak setahun dan keuntungan 30 peratus sebulan.
April  tahun lalu, Pengarah Pan Phoenix Dina Sdn Bhd, M Bakri Kamaruddin dan  Zainal Md Yusof dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan  pengubahan wang haram berjumlah RM33 juta yang boleh menyebabkan mereka  dihukum penjara lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau  kedua-duanya bagi setiap pertuduhan. 
