Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang tidak sedarkan diri selepas  mengikuti kurus ala komando di Jugra, Kuala Langat dekat Klang meninggal  dunia pagi ini.
Norhashimah Wahid, 31, meninggal dunia di Unit  Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada jam  6.20 pagi tadi.
Beliau yang berkhidmat dengan Kementerian  Kewangan di Putrajaya, difahamkan mengikuti kursus Modul Jati Diri di  sebuah kawasan hutan yang dikendalikan oleh Pasukan Khas Tentera Udara  (PASKAU).
Bernama yang memetik abang iparnya Zakir Hussain, 41,  memberitahu adik iparnya menyertai kursus itu sejak Ahad lalu dan dia  dimasukkan ke Hospital Banting pada jam 5 pagi Jumaat pada mulanya  kerana sukar bernafas sebelum dipindahkan ke HTAR pada hari yang sama.
"Pada  mula Norhashimah disyaki mengidapi denggi tetapi doktor menafikan...dia  menunjukkan simptom H1N1 atau jangkitan paru-paru," katanya.
Norhashimah  telah menjalani kursus selama tiga bulan daripada tujuh bulan yang  perlu dilalui oleh pegawai PTD dan juga telah menjalani latihan sebagai  anggota bomba dan polis dalam tempoh tiga bulan itu.
Menurut  Zakir beliau difahamkan antara latihan yang ditempuhi oleh Norhashimah  dan rakan-rakannya semasa modul jati diri itu ialah meminum air stokin  dan direndam di dalam lumpur.
Beliau berkata latihan seperti itu  nampak tidak relevan kerana adik iparnya bukan anggota tentera yang  hendak dihantar berperang, memadai beliau diberikan latihan asas  ketenteraan.
Apa yang dikesalkan kata Zakir ialah pihak INTAN  atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak memberitahu suami  Norhashimah, Ahmad Zulkhairi Zainal Abidin, 31
bahawa isterinya sakit  seawal yang mungkin.
Beliau mendakwa Ahmad Zulkhairi hanya  diberitahu bahawa isterinya berada keadaan kritikal semasa dihantar ke  Hospital Banting pada pagi Jumaat lalu.
Norhashimah, yang berasal  dari Kampung Londang, Masjid Tanah, Melaka mempunyai seorang anak  perempuan Nur Hylda Daenia berusia dua tahun.
~Bernama