Oleh Rusnizam Mahat
KUALA LUMPUR 16 Apr -  Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali berkata calon pilihan raya Pakatan  Rakyat bagi KEADILAN di Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim akan  memberikan tekanan dan mengentarkan Umno-Barisan Nasional.
Azmin  berkata, Zaid merupakan calon yang sesuai di kawasan itu berdasarkan  pengalaman beliau yang luas sebagai pemimpin dan pernah dilantik sebagai  Menteri Kabinet.
"Sebagai pemimpin yang bukan ahli biasa dan  pernah menjadi pemimpin kanan, termasuk bekas menteri ketika di dalam  kerajaan, Zaid tahu selok belok amalan buruk pemimpin Umno dan Barisan  Nasional.
"Beliau juga telah sedikit sebanyak memberikan  sumbangan kepada rakyat ketika di dalam kerajaan," ujarnya.
Menurut  Naib Presiden KEADILAN itu lagi, keputusan meletakkan Zaid sebagai  calon menyebabkan Umno dan MIC kini merasa gelabah dan bergaduh sesama  sendiri bagi menentukan calon pilihan mereka.
"Maka MIC dan Umno  terpaksa pilih calon lain untuk bersaing dengan Zaid. Umno telah  merasakan tekanan dengan Datuk Zaid," kata beliau ketika ditemui di lobi  Parlimen semalam.
Kenyataan Azmin itu melenyapkan persepsi jahat  dimainkan Umno yang dilihat cuba melaga-lagakan beliau dan calon  pilihan raya Hulu Selangor itu.
Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda  Umno, Khairy Jamaluddin membuat kenyataan beberapa pimpinan KEADILAN  tidak bersetuju Zaid diletakkan sebagai calon di Hulu Selangor kerana  khuatir kedudukan politik mereka dalam KEADILAN akan terjejas.
Ketika  ditanya tentang propaganda yang cuba dimainkan Umno mengenai kritikan  Zaid terhadap PAS semasa di dalam Umno, Azmin berkata perkara itu  berlaku semasa beliau di dalam parti itu.
Katanya, penyertaan  Zaid ke dalam Pakatan Rakyat bermakna Zaid bersedia menerima segala  dasar perjuangan gagasan itu.
"Itu mungkin ketika beliau di dalam  Umno dia tidak faham tentang perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat. Namun  sekarang beliau berada dalam Pakatan Rakyat dan diterima dalam Pakatan  Rakyat dan juga PAS. Beliau mungkin telah fahami lebih jelas matlamat  perjuangan Pakatan Rakyat," kata Azmin.