Menjelang pilihanraya pastinya ada  usaha untuk memburukkan muafakat utuh Pakatan Rakyat. Tohmahan sebagai  pengkhianat bangsa dan negara dihamburkan tanpa sebarang asas dan bukti.  Pakatan Rakyat digambarkan oleh media yang dikongkong seolah-seolah  retak menunggu belah. Namun apa yang terjadi sebaliknya. Permuafakatan  ini dari hari demi hari semakin erat, kukuh dan berkeyakinan untuk  membawa Perubahan.
Lalu pihak lawan tidak dapat tidak terpaksa  menggunakan muslihat kotor hatta mengkhianati hasrat Rakyat. Maka kita  lihat ada dari kalangan kita akhirnya menyerah kepada muslihat tersebut.  Namun pernahkah kita merasa kecewa kerana pengkhianatan itu? Pastinya  tidak. Mengapa harus bersedih demi mereka yang tercicir dari perjuangan!  Ya, kita kehilangan kerusi baik di parlimen atau di dewan undangan  negeri, namun tidak sedikitpun ianya menggoncang keyakinan kita. Kita  sedar rakyat marah melihat gelagat murahan gerombolan para pelompat itu.
Akan  tetapi kita mara terus, berbekalkan doa dan iltizam demi memastikan  kemaslahatan bangsa serta negara, ujian serta cobaan diharungi. Ini  tidak menjadi alasan kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk menafikan  tanggungjawab selepas diberi mandat. Kami memikul tanggungjawab  tersebut. Janji kami calon selepas ini pastinya berkebolehan dan sedia  berbakti dengan ikhlas. Makanya Pilihanraya Kecil Hulu Selangor menjadi  bukti tekad dan janji kami itu; calon Pakatan Rakyat merupakan mantan  menteri yang meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan penggunaan  ISA.
Oleh itu kepada pendokong Pakatan Rakyat pastikan  kemenangan di Hulu Selangor. Tunjukkan kepada pimpinan Umno-Bn bahawa  muslihat mereka sudah tidak mengejutkan apatah lagi mampu menggoncang  keyakinan perjuangan. Malah Umno-Bn sewajarnya gusar kerana hayat mereka  semakin pendek akibat pengkhianatan demi pengkhianatan terhadap rakyat  dan negara.
Demi mengampu Amerika Syarikat, pentadbiran sekarang  kelu membisu berkaitan senjata nuklear Israel, sanggup bekerjasama di  Afghanistan tatkala umat Islam terbunuh saban hari dan masih membenarkan  syarikat perunding Apco yang ada kaitan jelas dengan individu-individu  dari Agensi Perisikan Israel sehinggakan berpotensi mengancam  keselamatan negara. Saya yakin rakyat akan membuat keputusan untuk  menolak pentadbiran yang bermuka-muka.
ANWAR IBRAHIM