Isnin, 2 April 2012

Warga Indonesia jadi simpanan tetap Umno-BN untuk terus berkuasa selepas PRU 13


WarkahDaily -- Kerana mahu kekal berkuasa, rakyat asing dijadikan simpanan tetap pihak pemerintah untuk terus kekal berkuasa selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Sungguh mengejutkan jika perkara ini tidak dibendung dan dihalang. Keadaan ini amat berbahaya dan keselamatan negara mungkin tercabar dan kedaulatan negara juga tercemar selain memberi penghinaan terhadap pemerintah negara iaitu Yang Dipertuan Agong sebagai ketua negara.

Dengan kata lain, hak kerakyatan negara kita kini sudah dilacur oleh pihak tertentu demi mahu terus berkuasa.

Dipetik dari Harakahdaily hasil tulisan Tuan Haji Subky Latif menyebut berkaitan isu ini.

Sekali pun pengundi muda termasuk yang mengundi untuk kali pertama dalam PRU 13 boleh mempengaruhi keputusan PRU 13 nanti, tetapi mereka tidak menjadi simpanan tetap mana-mana parti yang bersaing.

Mereka boleh memberi undi kepada Barisan Nasional dan mereka juga boleh memberi undi kepada Pakatan Rakyat. Bergantung parti mana yang berjaya meraih sokongan majoriti kumpulan muda itu.

Ia adalah fenomena yang dihadapi oleh semua negara demokrasi di dunia.

Justeru semua parti berlumba-lumba untuk menarik sokongan golongan muda ini.

Tetapi Malaysia adalah unik. Ada lain penentu yang akan mempengaruhi keputusan PRU 13 itu. Gejala itu tidak ada di negara lain.

Yang benar-benar akan menentukan kemenangan PRU itu nanti ialah orang Indonesia yang menjadi rakyat Malaysia tetapi mereka dapat dijadikan simpanan tetap Barisan Nasional untuk meneruskan kuasanya.

Banyak pendapat mengandaikan Johor tidak lagi menjadi negeri simpanan tetap BN. Bagaimana pun Tun Daim Zainuddin masih percaya negeri itu jadi simpanan tetap lagi.

Yang jelas menjadi kuasa penentu ialah warga Indonesia yang datang sebagai pekerja dipercayai telah dijadikan pengundi kehormat. Amat bertuah menjadi warga Indonesia yang menjadi buruh asing di Malaysia. Mereka dijamin pekerjaan dan mereka boleh pula menentukan siapa yang bakal berkuasa di negara tempat mereka mencari rezeki.

Mereka dapat menentukan siapa yang berkuasa di Indonesia dan mereka juga boleh menentukan kuasa di Malaysia.

Walau pun rakyat Malaysia berdaulat untuk menentukan kuasa pemerintahnya, tetapi kuasa mereka itu belum tentu menjadi penentu, kuasa penentu itu sudah boleh diberikan kepada orang Indonesia. Hebatnya orang Indonesia ini, mereka tidak perlu menukar status kerakyaan negaranya. Mereka boleh terus kekal sebagai rakyat Indonesia dan diberi kelayakan mengundi.

Untuk menjadi pengundi mereka mesti menjadi rakyat. Maka mereka ditawarkan untuk menjadi rakyat asal saja bersetuju untuk mengundi. Baik mereka menjadi rakyat kekal atau pun pura-pura menjadi rakyat tetapi mereka sudah dapat hak yang sama dengan rakyat Malaysia dalam menentukan kerajaannya.

Walau pun pengundi Malaysia mendapat bayaran dari undinya tetapi tidak semua orang Malaysia yang mengundi diberi duit kerana mengundi. Tetapi sekalian orang Indonesia yang dijadikan pengundi itu mendapat bayaran yang tinggi. Mereka mendapat bayaran yang lebih tinggi dari yang UMNO dapat.

Kebanyakan orang UMNO yang dikatakan miskin dapat RM500 saja seperti yang sedang diagih-agihkan sekarang. Mereka bekerja untuk UMNO sepanjang hayat, untuk PRU 13 ini diberi RM500 saja. Tetapi orang Indonesia yang bertuah itu dapat beribu.

Ini bererti nilai dan harga orang Indonesia yang bertuah itu jauh lebih bertuah dari rakyat Malaysia yang sepatut berdaulat.

Betapa orang-orang Indonesia itu didaftarkan sebagai pengundi adalah menjadi rahsia umum. Semua orang tahu ada sendikit menjalankan kerja haram ini. Walau pun ia satu bentuk jenayah, tetapi ia tidak termasuk dalam kerja wajib polis untuk mencegahnya.

Walau pun ia jenayah tetapi setengah rakyat menghalalkan jenayah itu. Mereka suka orang luar menentukan kuasa politik dalam negara ini.

Sekalipun bilangan mereka tidak seramai pengundi Malaysia yang sah, tetapi untuk mereka tidak pecah dan ia ditaburkan di kawasan tertentu yang marjin majoritinya tidak besar. Dengan lambakan mereka di tempat seperti itu ia dapat memenangkan yang boleh dikalahkan itu.

Orang Indonesia dan Bangladesh tidak diperlukan di semua kawasan. Mereka diupah di kawasan yang secukupkan untuk mengekalkan kuasa BN.

Peluang ini tidak ada bagi Pakatan. Pakatan hanya berharapkan kepada sokongan pengundi yang sah. Sekadar meraih 50 peratus undi sah, ia tidak menjanjikan keuntungan pada Pakatan. Penentu undi Indonesia dan lain-lain undi silap mata akan mensia-siakan 50 peratus undi sah yang Pakatan dapat itu.

Justeru itu penentu kuasa dalam PRU 13 ini ialah warga Indonesa. Apa yang Pakatan dapat buat untuk merebut undi jemputan dari Indonesia dan Bangladesh itu. Najib tidak boleh kata ia hanya auta.