KUALA LUMPUR, 3 Mac:  Lembaga Tabung Haji (TH) bertanggungjawab menjelaskan kepada  penyimpan-penyimpannya mengapa beratus-ratus juta ringgit pelaburannya  mengalami kerugian, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.“Penyimpan-penyimpan akaun TH rata-ratanya adalah umat Islam terutama yang mahu mengerjakan haji.
“TH  perlu menjelaskan mengapa wang mereka dileburkan dalam  perniagaan-perniagaan yang merugikan. Amat malang bagi mereka jika TH  terus meleburkan wang mereka dan bukan melabur,” kata beliau.
Ahli  Parlimen Pokok Sena itu menyatakan kekesalan apabila saham Silver Bird  Group Berhad (Silver Bird) merudum sehingga bernilai serendah 20.5 sen sahaja.
TH  merupakan pemegang saham terbesar dalam Silver Bird iaitu sebanyak  22.19 peratus manakala Koperasi Permodalan Felda Bhd pula mempunyai 12.7  peratus saham dalam syarikat pembuat roti dan kek itu.
Kejatuhan  saham syarikat pembuat roti dan kek itu berpunca dari akaun syarikat  itu yang tidak teratur yang melibatkan jumlah yang dianggarkan sehingga  RM111.5 juta.
Akibat  kemelut kewangan itu, tiga pegawai kanan Silver Bird digantung tugas  termasuk pengarah urusannya, Datuk Jackson Tan Han Kook.
“TH bertanggungjawab menjelaskan adakah wang penyimpan-penyimpan akaun TH terpelihara?
“Perlu juga dijelaskan mengapa tatacara pelaburan dan pengurusan serta pemantauan TH begitu lemah?” Mahfuz (gambar) mempersoalkan sambil membangkitkan apa yang terjadi dalam Silver Bird itu bukan yang pertama kali.
Sebelum  ini, katanya, rakyat mendengar TH rugi beratus-ratus juta dalam  pelaburan yang dilaporkan melibatkan percaturan dalam tukaran wang asing  sehingga dua pegawainya yang tidak bersalah diheret ke mahkamah dan  diaibkan walaupun akhirnya didapati tidak bersalah dan misteri siapa  yang sebenar bersalah tidak pernah terungkai.
“Kita  juga mendengar pelaburan TH dalam Lityan Holdings Bhd mengalami  masalah. Amat malang sungguh nasib penyimpan-penyimpan TH apabila wang  mereka dileburkan dengan begitu tidak berhemah,” katanya.
Silver  Bird adalah pengeluar roti High 5 yang menghadapi kempen boikot oleh  pengguna apabila tersebar gambar-gambar yang didakwa diambil di kilang  roti tersebut yang menunjukkan proses pembuatannya yang sangat kotor.
Perjanjian strategik antara TH dan Silver Bird ditandatangani pada 2008.
Ketika tersiar berita mengenai pelaburan TH dalam Silver Bird itu, ramai pihak membantah tindakan itu.
![]()  | 
| Fbooker sila download gambar ini dan postkan di wall masing masing,sharing is cariing! | 
