
Oleh WAZIHA WAHID
KUALA  LUMPUR – Teka-teki berhubung kesudahan kes liwat Datuk Seri Anwar  Ibrahim terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, empat  tahun lalu bakal terjawab apabila Mahkamah Tinggi di sini dijangka  membacakan keputusan perbicaraan hari ini.
Hakim  Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah akan memberi keputusan pagi ini  selepas meneliti dan mempertimbangkan hujah kedua-dua belah pihak di  akhir pembelaan sama ada akan membebaskan Anwar atau mensabitkan Ketua  Pembangkang itu bersalah.
Sekiranya  disabitkan bersalah, Anwar berhadapan hukuman penjara maksimum 20 tahun  dan sebatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, Anwar masih mempunyai peluang untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.
Pada  16 Mei 2011, Anwar, 65, diarah membela diri atas tuduhan meliwat Mohd.  Saiful, 27, tanpa kerelaan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di  sini, antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Mohamad  Zabidin ketika memutuskan Anwar membela diri berkata, mahkamah tiada  sebab untuk menolak segala bukti dan keterangan saksi yang dikemukakan  pendakwaan berhubung penglibatan tertuduh dalam kes itu.
Beliau  menerima keterangan dua pakar daripada Jabatan Kimia iaitu Dr. Seah Lay  Hong dan Nor Aidora Saedon mengenai kewujudan DNA Male Y iaitu DNA  lelaki asing pada dubur Mohd. Saiful yang disahkan sebagai DNA Anwar.
Keputusan  itu diperoleh hasil perbandingan sampel DNA berdasarkan tiga barang  Anwar yang diambil dari dalam lokap Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur  semasa Anwar ditahan pada 16 Julai 2008 iaitu sebatang berus gigi,  sehelai tuala Good Morning dan sebotol bekas air mineral kosong.
Bagaimanapun Anwar pada 22 Ogos 2011 mengambil langkah membela diri dari dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah.
Tindakan  itu menyebabkan keterangan Anwar rapuh dan kurang kukuh kerana pihak  pendakwaan diketuai Peguam Cara Negara 11, Datuk Mohamed Yusof Zainal  Abiden tidak berpeluang menyoal balas.
Pihak  pembelaan yang diketuai Karpal Singh mengemukakan tujuh saksi termasuk  dua pakar forensik dari Australia, Dr. Brian McDonald dan Dr. David  Wells serta seorang pakar ortopedik dari Belanda, Dr. Thomas Hoogland  bagi mempertikai bukti DNA.
Anwar  sebelum ini pernah didakwa atas tuduhan serupa iaitu meliwat pemandu  isterinya, Azizan Abu Bakar pada 2000 namun selepas disabitkan bersalah  dan menjalani hukuman penjara empat tahun, hukuman terhadapnya  diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan.
Terdahulu,  Anwar mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kali pertama  dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 7 Ogos 2008 atas tuduhan  tersebut.
Seramai  27 orang saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang  bermula pada 3 Februari 2010 dengan saksi pertama ialah pengadu sendiri,  Mohd. Saiful mendakwa diliwat oleh Anwar ketika menghantar fail yang  tertinggal di pejabat.
Mohd.  Saiful dalam keterangannya juga mendakwa tidak membuang air besar  selama dua hari selepas kejadian sebelum membuat pemeriksaan di Hospital  Kuala Lumpur pada 28 Jun 2008.
Pihak  pembelaan sebelum ini beberapa kali memohon supaya tuduhan liwat itu  diketepikan atas beberapa alasan termasuk alasan Mohd. Saiful dan  Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif mempunyai hubungan sulit  namun semuanya gagal.
Pihak pembelaan juga gagal mendapatkan laporan perubatan Anwar yang dibuat oleh doktor HKL.
Selain  itu, usaha Anwar sebanyak tiga kali supaya Mohamad Zabidin menarik diri  daripada mendengar kes tersebut turut ditolak oleh Mahkamah Tinggi.