![]() SEBUAH pelayan komputer milik Megaupload ditemui di sebuah bilik hotel di Hong Kong kelmarin.  | 
HONG  KONG - Sepasukan anggota kastam Hong Kong menyerbu beberapa pejabat,  premis tempatan dan suit hotel mewah di sini dalam siasatan ke atas  laman perkongsian fail Internet, Megaupload.com.
Siasatan berkenaan yang dilakukan di seluruh dunia dikendalikan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Seramai  100 anggota kastam menyertai serbuan di sini kelmarin dan merampas  sebahagian besar bukti digital selain aset haram mencecah HK$330 juta  (RM130.4 juta).
"Semua  aset ini dibeku kan di bawah undang-undang Hong Kong. Operasi kami  masih diteruskan," kata pihak kastam Hong Kong dalam satu kenyataan.
Dalam  operasi berkenaan, pihak berkuasa turut menyerbu beberapa suit hotel  mewah yang kadar sewanya HK$100,000 (RM40,010) sehari dan menemui  beberapa pelayan berkelajuan tinggi dan skrin televisyen yang disyaki  memiliki kaitan dengan kes berkenaan.
Serbuan  dibuat susulan penutupan Megaupload.com oleh pihak berkuasa Amerika  Syarikat (AS) Khamis lalu selepas laman web itu didakwa terbabit dalam  aktiviti cetak rompak dan pelanggaran hak cipta.
Pengasas  laman Megaupload.com, Kim Dotcom yang juga dikenali sebagai Kim Schmitz  kini ditahan di New Zealand selepas polis menyerbu kediamannya di  negara itu.
![]()  | 
KIM DOTCOM  | 
Warga  Jerman berusia 37 tahun itu yang memiliki status penduduk tetap New  Zealand dan Hong Kong dinafikan ikat jamin bersama tiga lelaki lain  semasa mereka dihadapkan di sebuah mahkamah daerah di Auckland kelmarin.
Dalam  serbuan di banglo mewah yang diduduki oleh Dotcom di Auckland, polis  New Zealand turut merampas beberapa kereta mewah berharga AS$4.8 juta  (RM14.9 juta) termasuk sebuah Cadillac merah jambu keluaran 1959 dan  sebuah kereta Rolls Royce Phantom.
Dalam  perkembangan berkaitan, Jabatan Kehakiman AS dan FBI telah mendakwa  tujuh individu yang dituduh "bertanggungjawab melakukan aktiviti cetak  rompak besar-besaran secara atas talian menerusi Megaupload.com dan  beberapa laman web berkaitan".
Megaupload  menyebabkan kerugian lebih AS$500 juta (RM1.55 bilion) kepada  pemilik-pemilik hak cipta dengan menawarkan salinan cetak rompak filem,  program televisyen dan kandungan lain.
Ia  adalah antara laman web perkongsian fail paling popular di dunia dengan  mencatatkan sekitar 50 juta pengguna setiap hari. - AFP

