DATO’ HARON DIN

Akhir-akhir  ini selalu sangat orang memperkatakan bahawa PAS telah melencong  daripada perjuangan asalnya. PAS didakwa meninggalkan Islam dan telah  tidak lagi memperjuangkan Negara Islam dan berubah kepada Negara  Berkebajikan. Ini tidak pernah disebut oleh pemimpin PAS terdahulu
PIHAK  yang memperkatakan kononnya PAS telah melencong dan terbabas dari  perjuangan asalnya, dengan meninggalkan Islam dan berbagai-bagai lagi,  adalah dakwaan media massa yang memusuhi perjuangan PAS.Tugas utama  mereka adalah untuk mempromosikan parti pemerintah dan memburuk-burukkan  lawannya terutama PAS. Dengan apa mereka hendak memburukburukkan PAS?
Itulah  kerja media yang tidak senang dengan PAS. Selagi PAS teguh  memperjuangan Islam, selama itulah Umno-Barisan Nasional tergugat dan  akhir-akhir ini semakin tergugat . Oleh kerana itu mereka berusaha  melemahkan PAS dengan apa cara pun.
Sebenarnya  PAS tidak melencong atau menyeleweng dan jauh sekali daripada berubah  dari Islam kepada yang tidak Islam. Mana mungkin PAS hendak berubah  kepada yang tidak Islam.
Bukti  yang paling nyata, Perlembagaan PAS yang ada sekarang, jelas tidak ada  sebarang perubahan dan tidak pernah ada cadangan untuk berubah.
Perlembagaan PAS, Fasal 1, nama pertubuhan disebut Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Pada Perlembagaan PAS, Fasal 3, tujuan PAS ialah:
(i)  Memperjuangkan wujudnya dalam negara ini, sebuah masyarakat dan  pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan  hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.
Di dalam PAS ada Majlis Syura Ulama, yang di antara tugas utamanya, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PAS, Fasal 7 (B):
“Mengeluarkan  arahan dan perintah, supaya dasar dan ketetapan itu, dipatuhi dan  dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi  serta memelihara, supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak di  dalam Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan gerakan dan pentadbiran  PAS.”
Semua yang saya nyatakan berjalan lancar dan berada dalam keadaan baik, tanpa berlaku penyelewengan dan kelencongan.
Pihak  yang menyatakan PAS sudah melencong dan berubah dasar perjuangannya,  meninggalkan Islam dan Negara Islam dan bermacam-macam lagi, adalah  suatu fitnah jahat yang semata-mata bertujuan memburukburukkan  pejuang-pejuang Islam, yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam, sepanjang  zaman.
PAS  tidak berubah dan tidak pernah mengubah dasar-dasar utama  perjuangannya. Taktik dan strategi boleh berubah mengikut keperluan.
Apa yang disebut Negara Berkebajikan menggantikan Negara Islam, itu sebenarnya istilah. Maknanya sama dan tidak berubah.
Malah menamakan Negara Islam dengan nama Negara Berkebajikan, tidak bercanggah dengan Islam.
Di  dalamn al-Quranul karim tidak terdapat istilah Negara Islam secara  jelas dan terang. Yang ada seiras dengannya adalah istilah ‘Baldatun  Tayyibah’ sebagaimana firman Allah (mafhumnya): “Sesungguhnya adalah  bagi penduduk negeri Saba’, ada suatu tanda kemurahan Allah yang  terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua bidang kebun yang luas lagi  subur yang terletak di sebelah kanan dan kiri. Lalu dikatakan kepada  mereka itu, makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan  bersyukurlah kamu kepada-Nya dan negeri kamu itu adalah negeri yang  Tayyibah (Baik atau berkebajikan) dan Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha  Pengampun.” (Surah Saba’ ayat 15)
Ketika  Presiden PAS membentangkan istilah Negara Berkebajikan dalam muktamar  yang lepas ( Jun 2011), tidak ada sesiapa pun yang meragui istilah itu  dan tiada sesiapa pun yang mempersoalkannya di dalam muktamar.
Biasanya,  jika ada sesuatu yang tidak kena, ahli dalam muktamar PAS akan  menimbulkan berbagai pandangan, teguran dan bangkangan. Yang ternyata  muktamar telah menerima.
Apabila  ini berlaku, maka ianya adalah sesuatu selaras dengan perjuangan  PAS.Penyebar-penyebar fitnah ke atas pejuangpejuang Islam, bukan perkara  baru, malah sejak dari zaman sahabat Rasulullah s.a.w, yang  memperjuangkan Islam pada waktu itu, musuh-musuh Islam dari kalangan  musyrikin dan munafikin, telah menyebar fitnah yang lebih besar.
Antaranya  dahulu, mereka menyatakan, ‘Muhammad adalah ahli sihir, dia gila,  pembawa cerita donggeng, pemecah perpaduan umat Arab, dia menyembah  berhala (Kaabah).’ Berbagai-bagai lagi fitnah dilemparkan terhadap Nabi  s.a.w dan para sahabat baginda.
Oleh yang demikian, anda tidak harus mengendahkan media-media musuh Islam yang memang itu kerja mereka.
PAS sekarang, tetap PAS seperti dahulu, tetap memperjuangkan Islam yang syumul, tanpa menghiraukan kata-kata orang menentang.
Berpandulah  kepada hadis Rasulullah s.a.w (mafhumnya): “Akan sentiasa wujud di  kalangan umatku segolongan orang-orang yang memperjuangkan Islam yang  sebenar, tanpa menghirau celaan orang yang suka mencela, sehingga  kemenangan yang nyata, berhasil pada akhirnya.” Wallahua’lam.