
Oleh : CLARA CHOOI (TMI)
BERDEPAN  dengan kesan kontroversi isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) Datuk Seri Noh  Omar hari ini meletakkan segala tanggungjawab itu kepada Timbalan  Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri  Pertanian dan Industri Asas Tani ini menjawab sedemikian apabila  ditanya pemberita mengapa operasi NFC tidak dihentikan dan menjawab  persoalan itu perlu ditanyakan kepada Muhyiddin.
Beliau  juga ditanya mengenai tindakan yang akan diambil terhadap NFC, yang  dijalankan oleh Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail, suami kepada Datuk  Seri Shahrizat Abd Jalil.
“Tiada masalah, yang ini, anda tanya TPM,” katanya sebanyak dua kali semasa sidang media di sini sebelum meminta untuk pergi.
Noh  (gambar) sebelum itu memberikan sidang media selama 20 minit mengenai  panduan baru kerajaan Malaysia untuk mengawal industri sarang burung.
Pembantunya bagaimanapun mengesahkan bahawa Noh akan menemui Muhyiddin mengenai isu NFC petang ini.
Semasa  mengumumkan pembekuan aset-aset NFC pada Sabtu lalu, Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Razak berkata beliau telah mengarahkan Muhyiddin dan  Noh untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.
Tetapi  disebalik pembekuan aset, Pengarah Eksekutif NFC Wan Shahinur Izmir  Salleh berkata “operasi perniagaan syarikat berjalan seperti biasa.”
Bekalan  daging lembu akan terus dibekalkan kepada semua pelanggan. Tiada  sebarang gangguan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pemimpin  pembangkang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan terbaru  kerajaan itu sebaliknya berharap tindakan tegas diambil ke atas  Shahrizat dan keluarganya.
Ahli  Parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang hari ini menegaskan, tindakan  kerajaan membekukan aset NFC adalah satu tindakan sia-sia kecuali jika  gaji bulanan keluarga Shahrizat dipotong kepada dua pertiga daripada  RM215,000 kepada RM71,000.
PAS  juga meminta agar ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat  kontroversi projek bernilai RM250 juta yang diserahkan kepada keluarga  Shahrizat serta membekukan semua aset pengarah syarikat.
Shahrizat memohon cuti tiga minggu ekoran tuduhan yang dilemparkan terhadap diri dan keluarganya itu.