Harakahdaily
KOTA BHARU, Jan 13: Misteri  pembatalan penggunaan dakwat kekal menjelang pilihanraya umum ke 12  telah terburai semalam di Wacana Perdana 9 bertajuk, “Pilihanraya Bebas  dan Adil: Realiti atau Ilusi?” yang diadakan di sini malam tadi.

(Gambar: Wacana Perdana di KTC malam tadi)
Forum  yang berlangsung hampir tiga jam itu dipengerusikan oleh pensyarah UKM,  Datuk Dr Mohd Agus Yusuf dengan tiga panelis – Datuk Paduka Husam Musa,  Naib Presiden PAS, Tan Sri Abdul Rashid, mantan pengerusi Suruhanjaya  Pilihanraya (SPR) dan Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana  Menteri.
Dalam  hujahnya, Rashid berkata beliau dan SPR telah berusaha untuk  memperkenalkan penggunaan dakwat kekal pada tahun 2007, sebelum ia  dibatalkan oleh pihak-pihak tertentu menjelang PRU-12.
“Usahlah  cakap pasal dakwat kekal, saya dulu pun dah nak buat kalau orang tak  sekat… (tepukan gemuruh), undang-undang dah buat, tapi ada orang yang  tidak bersetuju dia sekat.
“Jadi  ini nak buat pula, baguslah, buat lah, memang itu patut dibuat… SPR tak  tipu, kalau ada penipuan, itu orang lain tipu. Jangan salahkan SPR.  Orang lain saya tak tahu. SPR ikut undang-undang 100 percent, jangan  salahkan SPR. Kalau undang-undang itu bodoh macam lembu, bodoh macam  lembulah,” kata Rashid dalam forum itu.
Pada masa ini, Husam mencelah, “Tan Sri, kalau parti-parti lain itu menipu, SPR duduk sana buat apa?”
Rashid  pula membalas, “SPR tak ada kuasa.” Balasan Rashid itu membuatkan  hadirin yang penuh sesak dalam dewan itu tidak kering gusi dengan gelak  ketawa.
Menjawab  Rashid, Nazri mengaku bahawa beliaulah antara orang yang mempertikaikan  penggunaan dakwat kekal kerana berdasarkan perlembagaan negara, perkara  yang melayakkan seseorang itu mengundi hanya dua – berumur 21 tahun dan  berdaftar sebagai pengundi.
“Jadi,  kalau ada seorang yang tak mahu dakwat kekal dicalit di jari dan mahu  kertas undi, apa yang berlaku? Syaratnya cuma dua, berumur 21 tahun dan  berdaftar. Disebabkan itu, dan waktu PRU dah dekat, SPR ambil pendekatan  untuk batal penggunaan dakwat kekal,” terang Nazri mengenai sebab  penggunaan dakwat kekal dibatalkan.
Mengenai  persoalan mengapa dakwat kekal digunakan sekarang pula, Nazri berhujah  bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan baru sahaja memberikan lampu hijau untuk  penggunaan dakwat kekal dan peguam negara bersetuju untuk tukar  perlembagaan untuk membolehkannya.
“Sekarang  Majlis Fatwa baru umum benarkan, maksudnya dulu tak pernah umum lah,  kalau tak mengapa nak umum dua kali,” sindir Nazri.
Menjawab  dakwaan Nazri mengenai halangan perlembagaan, Rashid secara sinis  menjawab, “Saya tak setuju bantahan Peguam Negara pada 2007. Dalam  perlembagaan pun tak kata mesti tunjuk kad pengenalan (IC) sebelum  mengundi. Tapi kita suruh tunjuk IC, kalau tak dia tak boleh mengundi.  Itupun dipatuhi. Kalau nak mengundi kena patuhi peraturan dan cara-cara  mengundi.”
Dalam  kontroversi Majlis Fatwa Kebangsaan, Husam mengingatkan Nazri bahawa  fatwa sudahpun dikeluarkan pada 2007, dan semua ini boleh disemak  melalui web e-fatwa di Internet.
“Tan  Sri Rashid baru berbisik kepada saya, SPR ada menerima surat daripada  Majlis Fatwa mengenai hal itu pada tahun 2007. Macam mana seorang  menteri tak tahu mengenai hal ini? Wallahuaklam,” kata Husam.
Kemudian,  exco kerajaan Kelantan turut mengingatkan Rashid mengenai alasan yang  diberikannya kepada rakyat ketika pembatalan dakwat kekal bahawa  terdapat laporan ada pihak yang cuba mensabotaj proses pilihan raya  dengan menyeludup sejumlah besar dakwat kekal ke negara ini.
“Pada  5 Mac 2008, Tan Sri keluar di kaca TV memberikan 2 sebab mengapa dakwat  kekal tak jadi guna. Dia memberi sebab keselamatan kerana ada orang  ditangkap membawa dakwat ini termasuk di Kelantan.
"Ketua  Polis Tan Sri Musa Hasan pula mengesahkan adanya dakwaan tersebut. Dan  kemudian ditanya ahli parlimen Pakatan Rakyat selepas Mac 2008, Menteri  Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar menyatakan tiada tangkapan  tersebut dan tiada dakwaan dibuat. Bermakna, Tan Sri Rasyid telah  dipaksa berbohong,” selar Husam.
Husam turut berkata keputusan menggunakan dakwat kekal kini adalah hasil perjuangan Bersih 2.0.
“Yang  berikan hujah yang kata dakwat kekal boleh digunakan untuk PRU akan  datang ini ialah Tan Sri Abdul Ghani Patail, yang dulunya memberikan  nasihat yang sama tak boleh pakai. Peguam Negara yang sama yang dulu  kata tak boleh pakai, tetapi kini boleh pakai, bermakna ada sesuatu yang  lompang kepada sistem piliharaya ini.
"Yang  lebih penting ialah, bila Tan Sri Ghani Patail kata boleh pakai  sekarang, ini adalah hasil daripada Bersih. Kalau tak ada Bersih, tak  adalah dakwat kekal kini,” tambah beliau lagi.
Sementara  itu, Rashid berkata undang-undang pilihanraya tidak dapat dilaksanakan  sepenuhnya kerana SPR tidak diberikan kuasa sepenuhnya.
“SPR  kena share kuasa, jadi demokrasi negara tak lengkap. Orang lain  berkuasa, polis berkuasa, kementerian penerangan berkuasa... bukan Umno  berkuasa (gelak hadirin), tapi mereka tak bebas,” kata beliau.
Keterangan Rashid dipersetujui Husam.
“Setuju  kuasa SPR tak mencukupi, jadi pemulihan PSC (Jawatankuasa Terpilih  Parlimen) tidak kena pada core (tunjang) nya (memberikan kuasa  sepenuhnya kepada SPR untuk laksana undang-undang pilihanraya).”