
3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -
Perkembangan  mutakhir menunjuk tawaran yang disebutkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat  sebelum PRU ke 13 terus dipertikai oleh pemimpin BN. Realitinya serangan  ini bagi saya merupakan bukti betapa tawaran yang dilakukan PR adalah  berasas dan membimbangkan musuh politik PR.
Bagi  saya tawaran PR bukan sekadar tawaran politik namun satu tanggung jawab  kerajaan yang telah dinafikan sekian lama. Selepas 54 tahun negara  merdeka ternyata BN masih gagal memperkenal dan meneruskan dasar membela  rakyat seperti yang diwar-warkan.
Kerana  itulah mereka sangat bimbang bila mendengar tawaran PR yang mahu  membela rakyat dan mula menyerang tawaran PR dengan alasan yang lapuk  dan tidak masuk akal.
Terkini  saya merujuk kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat  mahu melupuskan  pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bila  berkuasa di Putrajaya  diulas oleh pemimpin BN dengan katanya lebih  bersifat janji politik semata-mata dalam usaha mereka untuk meraih  sokongan generasi muda. Demikian kenyataan Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail  Mohamed Said.
Beliau  juga  berkata, rakyat perlu sedar bahawa pihak Pakatan Rakyat kini akan  menabur pelbagai janji dalam usaha mereka meraih sokongan menjelang  pilihan raya umum ke-13 nanti.
"Ketua  Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat janji itu sebenarnya  tidak berpijak di bumi nyata." Katanya  juga Ahli Parlimen Kuala Krau   selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada 233 penduduk  Dewan Undangan Negeri kawasan Kerdau di sini kelmarin.
Ucapan  Ismail nampaknya menampakkan sosok tubuh dirinya sendiri yang  membuktikan bahawa Ahli parlimen BN tidak mengikuti perkembangan semasa  atau beliau sengaja memejamkan mata kepada realiti yang ada dengan tidak  peka dengan pelbagai dasar Kerajaan BN yang telah di tiru dari cadangan  asal yang dibuat oleh Pakatan Rakyat termasuk dalam Buku Jingga.
Begitu  juga kenyataan yang berlaku kepada pelbagai dasar Kerajaan Pusat yang  terlebih dahulu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan di bawah PAS  dan dilaksanakan untuk peringkat kebangsaan. 
Dasar  cuti 2 hari seminggu dan Cuti bersalin adalah antara dasar Kerajaan  Kelantan yang telah ditiru oleh BN. Walaupun Kelantan di label dengan  berbagai tomahan namun akhirnya dasar itu diguna pakai di peringkat  Pusat.
Saya  kira golongan muda termasuk mereka yang meminjam dengan PTPTN sangat  faham dengan kemampuan kerajaan untuk melupuskan pinjaman mereka bila PR  berkuasa . Demikianlah hasrat sebenar PR kerana itu adalah  tanggungjawab yang perlu ditunaikan.
Mereka  sangat faham dengan ucapan Ismail yang semacam menggelabah bagi  mempertahankan kuasa BN yang sudah tinggal nyawa-nyawa ikan.
Sebenarnya  BN lah yang sepatutnya bercakap mengenai pelupusan pinjaman PTPTN  kerana mereka sendiri yang bercakap mengenai kononnya dengan slogan  rakyat didahulukan.
Namun  kenyataan Ismail membuktikan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk  mengembalikan dasar pendidikan percuma yang pernah satu masa dulu mampu  dilakukan oleh Kerajaan BN.
Oleh  itu PR menawar sesuatu untuk menjadi pilihan kepada rakyat , semuga PR  terus menjadi harapan rakyat Malaysia untuk keluar dari kepompong  politik sempit BN yang telah sekian lama mengkhianati amanah yang  diberikan selama ini.
DRS. KHALIL IDHAM LIM