ALOR SETAR - Setelah dikritik hebat pihak tertentu berikutan Kerajaan  Negeri bertegas mahu merobohkan Madrasah Salihiah untuk dibangunkan  Kompleks beli belah Aman Central, Kerajaan Negeri tampil mengemukakan  penjelasan terhadap 10 dakwaan yang dilemparkan.
Exco Penerangan,  Abd Ghani Ahmad berkata, penjelasan dibuat supaya rakyat dapat membuat  penilaian sendiri, dan tidak terpedaya dengan dakwaan yang dilemparkan  atas tindakan Kerajaan Negeri.
Merujuk dakwaan yang mengatakan  Kerajaan Negeri bertindak zalim kerana mahu merobohkan madrasah, Abd  Ghani berkata, keputusan dibuat bukan sewenang-wenangnya, sebaliknya  dirujuk kepada Majlis Fatwa Negeri Kedah, diketuai Mufti Kedah, Datuk  Sheikh Badaruddin Ahmad.
  
“Majlis Fatwa bermuzakarah  dan putuskan surau itu boleh dirobohkan berdasarkan kaedah istibdal,  iaitu pindah wakaf kepada manfaat yang lebih baik. Pampasan RM1.48 juta  diberi kepada Majlis Agama Islam Kedah (Maik) selaku pemegang amanah  surau untuk dapatkan wakaf yang baru,” katanya.
Menurutnya, di  lokasi yang dirobohkan pula dibina surau baru yang mampu menempatkan 400  jemaah, berbanding 200 jemaah di madrasah itu.
“Surau baru  dibina dan pampasan untuk adakan wakaf yang baru diberi. Makna, roboh  satu dapat dua madrasah, bukankah lebih manfaatnya,” katanya.
Dakwaan kedua kononnya Mufti Kedah dipaksa turut kehendak Kerajaan Negeri turut disangkal Abd Ghani.
“Mufti  Kedah dan Majlis Fatwa berada bawah kuasa Tuanku Sultan, yang kini Yang  di-Pertuan Agong, bukannya lantikan Menteri Besar. Justeru, tuduhan itu  tidak berasas. Mufti juga tidak buat keputusan berseorangan tetapi  secara muzakarah,” katanya.
Menurutnya, kesemua anggota Majlis  Fatwa terdiri dari kalangan ulama dan ilmuan agama dan ketokohan mereka  tidak wajar dipertikai.
Abd Ghani berkata, menjawab tuduhan  ketiga, iaitu surau baru dalam kompleks sukar diakses, katanya, surau  itu dibina di aras bawah dan boleh diakses dari luar pada bila-bila  masa.
“Jika kompleks itu ditutup, orang ramai masih boleh masuk  surau dari laluan lain yang disediakan. Ia juga akan menampakkan syiar  sebuah surau seperti kubah dan melaungkan azan setiap kali masuk waktu  solat,” katanya.
Menurutnya, berbanding Madrasah Salihiah, hanya  dibuka pada waktu Zuhur dan Asar, manakala pada waktu lain surau dikunci  dari luar dan tidak diimarahkan sepanjang lima waktu.
Dakwaan  keempat yang mengatakan madrasah itu bernilai 100 tahun dan mempunyai  nilai sejarah, Abd Ghani berkata, bangunan asal madrasah sudah diroboh  pada 2007, dan bangunan sedia ada adalah bangunan baru sebagai ganti.
“Sebahagian  besar bangunan adalah ruang pejabat yang disewa kepada syarikat  insurans, hanya satu ruang untuk bersolat. Dianggarkan bangunan baru itu  berusia empat tahun dan pampasan yang diberi dengan menilai keseluruhan  tanah dan bangunan,” katanya.
Tiada anak kariah solat Subuh berjemaah di madrasah
Mengulas  dakwaan kelima, mengaitkan seluruh bangunan madrasah sebagai rumah  Allah, Abd Ghani menyangkal dan menegaskan, rumah Allah hanya untuk  surau atau masjid yang menepati syarat, antaranya, tandas mesti terpisah  dari bangunan utama musala, seperti
mana kesemua masjid di dunia ini.
“Madrasah  Salihiah tidak boleh dipanggil rumah Allah kerana tandas, pejabat  perniagaan dan surau berada dalam satu bangunan. Hanya satu ruang untuk  surau, seperti mana status surau di bangunan lain,” katanya.
Abd  Ghani turut menafikan dakwaan keenam, iaitu lebih 200 jemaah memakmurkan  madrasah itu setiap waktu solat kerana didapati hanya ada beberapa  rumah orang Islam berdekatan.
“Ramai yang memilih Masjid Zahir  untuk tunai solat. Jika benar surau itu ada 200 anak kariah, mengapa  tiada seorang pun datang solat Subuh di situ? Mereka yang demonstrasi  mengaku anak kariah, tetapi mereka sebenarnya penduduk Taman Wira  Mergong,” katanya.
Menurutnya, bangunan itu lebih berfungsi sebagai pejabat syarikat insurans berbanding sebuah madrasah.
Tuduhan  ketujuh yang mahu ganti wakaf (surau) dibuat sekitar lokasi berkenaan,  Abd Ghani berkata, cadangan itu mungkin baik tetapi persoalannya,  bagaimana mahu memenuhi surau ganti wakaf itu kelak, sedangkan kawasan  itu bukan perkampungan orang Islam.
“Bukankah lebih baik fikirkan  untuk penuhkan surau baru di kompleks perniagaan yang akan dibina,  lebih manfaat juga kita guna pampasan bina surau baru di kawasan ramai  penduduk,” katanya.
Mengulas dakwaan kelapan yang mengaitkan  sebuah gereja berdekatan tidak dirobohkan, Abd Ghani berkata, gereja itu  tidak termasuk dalam lokasi strategik yang mahu dimajukan.
“Jika  gereja sengaja mahu dimasukkan, maka perlu buat ganti gereja dalam  kompleks itu juga. Adakah rakyat negeri ini bersedia melihat sebuah  gereja dalam kompleks yang sama dengan surau?” katanya.
Dakwaan kesembilan pula menyebut, mengapa beri peluang kepada pemaju Aman Central yang bukan Islam majukan ekonomi negeri?
Abdul  Ghani berkata, Aman Central adalah usaha sama antara Perbadanan  Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan pemaju, Bellview Group, bukannya projek  milik pemaju semata-mata.
“PKNK milik Kerajaan Negeri, projek  ini akan beri manfaat kepada rakyat Kedah, seperti peluang pekerjaan.  Realiti dunia kini, akibat kelemahan orang Islam, tidak ada satu aspek  yang umat Islam dapat bangunkan iktisad tanpa bantuan bukan Islam. Tidak  boleh ada sikap
‘biar orang Islam mundur asal bukan Islam jangan kaya’,” katanya.
Menurutnya,  jika begitu, orang Islam tidak boleh menunaikan haji untuk elak bukan  Islam yang mengusahakan kapal terbang mendapat untung.
Mengulas  dakwaan terakhir, tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri Kedah, rumah  Allah (masjid/surau) dirobohkan untuk bina kompleks beli belah, Abd  Ghani berkata, ianya tidak benar.
“Masjid Alor Malai pernah  dirobohkan untuk bangunkan kompleks Al-Bukhari, yang menempatkan  kompleks perniagaan. Sebuah masjid baru dibina bukan atas tapak lama,  tetapi di lokasi lain dengan kaedah istibdal, sama seperti kaedah  Madrasah Salihiah,” katanya.
Menurutnya, ianya tidak dijadikan  isu kerana ketika itu Kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah, dan Pas  selaku pembangkang tahu hukum hakam dan tidak membantah.
“Sekarang  isu Madrasah Salihiah jadi panas sebab pembangkang (BN) kini berasa  lebih arif daripada ulama dalam Majlis Fatwa, dan buat pelbagai  kenyataan dan dakwaan,” katanya.