Mkini | Kira-kira  100 orang yang mewakili beberapa NGO menyerahkan memorandum di  Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah hari ini sebagai membantah  tindakan membenarkan perhimpunan "Bebaskan Anwar 901" diadakan.
Selain  Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Melaka, turut menyertai  penyerahan tersebut ialah Persatuan Ketua Kampung (Sidang-Sidang) Negeri  Melaka, Perguruan Gerak Insan Seni Melaka dan Pertubuhan Kebajikan  Sejati Melaka.
Memorandum itu diserah oleh yang dipertua  Persatuan Sidang-Sidang Negeri Melaka, Ismail Othman, kepada Ketua Polis  Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman pada  kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
  
Menurut Ismail,  walaupun perhimpunan dibenarkan di kawasan berkenaan tetapi pihaknya  bimbang sekiranya ia membabitkan kumpulan yang besar, kemungkinan akan  menganggu ketenteraman awam di situ.
"Tujuan kita menghantar  memorandum ini adalah untuk menyatakan pendirian bahawa perhimpunan  "bebaskan Anwar 901" adalah suatu perhimpunan yang sia-sia kerana jelas  mengganggu proses mahkmah.
Yang dipertua PERKASA Melaka, Abdul  Rahim Osman turut menyarankan rakyat supaya membuat penilaian sewajarnya  terhadap tujuan perhimpunan "Bebaskan Anwar 901" diadakan.
"Walaupun  mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa iaitu polis namun kita  merasakan keselamatan negara lebih penting daripada mempertahankan  peribadi seseorang itu," katanya.
Sementara itu, Asisten  Komisioner Salehhudin pihaknya menerima memorandum tersebut dan akan  menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi polis di Ibu Pejabat Polis,  Kuala Lumpur.
"Meskipun pihak polis telah membenarkan perhimpunan  itu diadakan, namun saya harap mereka ini dapat patuh kepada peraturan  dan syarat yang dibenarkan untuk menjamin ketenteraman awam dan  keselamatan dapat dipelihara," katanya.
