Timbalan Presiden PKR, Azmina Ali hari ini berkata bahawa pihak polis  tidak mengenakan sebarang syarat ketika mereka bersetuju membenarkan  perhimpunan diadakan Isnin ini.
Oleh itu, katanya, parti itu  tidak terikat dengan sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa selepas  persetujuan tersebut dicapai.
"Saya ingin menegaskan bahawa  KEADILAN menerimapakai persetujuan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur,  Dato' Mohamad Salleh yang dimuafakati dan diumumkan selepas mesyuarat  bersama pada pagi Jumaat 6 Januari 2012.
  
"Persetujuan itu tidak menyentuh beberapa sekatan yang diumumkan kemudiannya oleh pihak PDRM," katanya dalam satu kenyataan.
"Oleh  yang demikian, saya mengulangi seruan agar semua rakyat turun untuk  menunjukkan solidariti dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menuntut  keadilan dan integriti sistem kehakiman di negara ini,
selaras dengan hak berkumpul dan amalan perhimpunan awam yang
termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," tambah Azmin.
Polis  Diraja Malaysia (PDRM) menyiarkan di laman Facebooknya semalam 10  syarat bagi perhimpunan tersebut, termasuk larangan membawa sepanduk,  pembesar suara atau ucapan awam.
Syarat-syarat tersebut dikenakanoleh polis daerah Sentul, Kuala Lumpur - tempat lokasi Mahkamah Kuala Lumpur.
Syarat-syarat tersebut ialah:
1.  Penggunaan risalah/ banner dengan tagline ‘Bebaskan Anwar 901’ atau  ‘Bebaskan Anwar’ adalah tidak dibenarkan sama sekali semasa perhimpunan  berlangsung.
2. Penggunaan pembesar suara selain daripada ‘loud  hailer’ tidak dibenarkan. Penggunaan (2) dua buah loud hailer dibenarkan  bagi tujuan mengawal selia peserta perhimpunan.
3. Pengucapan awam tidak dibenarkan sama sekali.
4.  Penganjur perlu memastikan peserta perhimpunan tidak boleh membuat  apa-apa perbuatan, membuat bising, memberi apa-apa isyarat yang boleh  mengganggu prosiding mahkamah.
5. Tempat perhimpunan yang  dibenarkan adalah di pakir awam sebelah kiri jalan utama ke mahkamah.  Kawasan ini akan diletakkan pita polis untuk menentukan batasan dan  sempadannya. Peserta tidak dibenarkan berada di luar kawasan tersebut.
6.  Sekiranya kawasan tersebut sudah dipenuhi dengan peserta perhimpunan  maka peserta lain hendaklah bersurai dan beredar dari kawasan pakir  mahkamah.
7. Penganjur hendaklah memastikan peserta perhimpunan  tidak membawa sebarang senjata dan para peserta hendaklah memberi  kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan sekira perlu.
8.  Penganjur hendaklah memastikan semua peserta perhimpunan bersurai tidak  lewat daripada tempoh satu jam selepas keputusan Mahkamah diumumkan. 
9.  Penganjur dan peserta perhimpunan hendaklah mematuhi semua arahan yang  diberikan oleh pihak polis dari masa ke semasa demi untuk menentukan  keamanan perhimpunan tersebut. 
10.  Peserta perhimpunan tidak  dibenarkan melakukan khianat atau bencana kepada harta awam atau  mana-mana harta di kawasan tersebut.