Rabu, 19 Januari 2011

Duit Syiling Bertaburan Di Lebuh Raya Utara-Selatan

| Seremban - Kilometer 243 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke selatan berhampiran susur keluar Pedas dekat sini yang sentiasa sibuk semalam bagaikan 'pesta' apabila orang ramai berebut-rebut mengutip duit syiling yang bertaburan di lebuh raya itu, lapor Kosmo.

'Pesta' itu berlaku apabila sebuah kenderaan Toyota Hilux yang membawa satu peti duit syiling berjumlah RM75,000 terlibat dalam kemalangan.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, peti tersebut tercampak keluar dari pacuan empat roda itu selepas kenderaan itu dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta BMW.

Akibatnya ribuan duit syiling 10 sen, 20 sen dan 50 sen bertaburan di lebuh raya sepanjang kira-kira 100 meter.

Keadaan itu menyebabkan ramai pengguna jalan raya menghentikan kenderaan masing-masing di bahu jalan untuk mengutip duit syiling.

Kehadiran beberapa anggota polis dan pekerja lebuh raya gagal menyuraikan orang ramai yang terus mengutip duit syiling tanpa menghiraukan keselamatan mereka.

Orang ramai meninggalkan lokasi itu selepas duit syiling itu habis dikutip tiga jam kemudian.

Harian Metro pula melaporkan, pemandu pacuan empat roda membawa wang berjumlah lebih RM70,000 berkenaan yang dikenali sebagai Zairulhisham Mansor, 28, berkata kejadian berlaku selepas kenderaannya dilanggar daripada belakang oleh sebuah kenderaan lain.

“Akibat perlanggaran itu, pacuan empat roda yang saya pandu hilang kawalan lalu terbalik menyebabkan syiling dibawa bertaburan.

“Ketika itu, saya berada di lorong paling kiri dan bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Katanya, seorang rakan dalam pacuan empat roda bersamanya cedera ringan akibat kemalangan itu.



Selasa, 18 Januari 2011

Akhbar Selangor Terkini: Propaganda Umno Tawan Selangor

Kerajaan Selangor Buat Laporan Polis, Akhbar Guna Logo Rasmi Tanpa Kebenaran

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor semalam membuat laporan polis berhubung penerbitan akhbar “Selangor Terkini” yang menggunakan logo kerajaan negeri tanpa kebenaran.

Laporan berkenaan dibuat oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri yang mewakili Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pukul 4.30 petang Isnin.

Menurut sumber Pejabat Menteri Besar, laporan itu adalah bagi pihak polis memulakan siasatan ekoran penyalahgunaan logo pada akhbar yang tidak diketahui penerbitnya itu.

Dakwa sumber itu, kandungan akhbar itu adalah usaha untuk mencemarkan imej Selangor dan mengelirukan orang ramai kerana akhbar rasmi kerajaan negeri ialah “Selangor Kini”.

“Tindakan menerbit akhbar menggunakan logo kerajaan negeri tanpa kebenaran adalah salah. Maka pihak kerajaan negeri membuat laporan untuk polis menyiasat perkara ini.

“Setakat ini kerajaan negeri tidak mengetahui siapa yang menerbit, malah kami tidak tahu kewujudan akhbar ini,” katanya di sini.

Sumber itu memberitahu, akhbar terbabit juga berniat jahat dengan bertindak menghentam pentadbiran kerajaan negeri dalam setiap laporan penerbitannya.

“Akhbar Selangor Terkini itu sudah diedarkan secara meluas kepada orang ramai,” katanya. -mstar

Berita berkaitan:


Akhbar tiruan Selangorkini akan muncul

KUALA LUMPUR, 14 Jan: Selangorkini, akhbar rasmi kerajaan negeri Selangor kini terbukti berkesan apabila ada pihak dikatakan sedang berusaha untuk menerbitkan akhbar yang seumpama itu.

Menurut sumber, akhbar tiruan itu dinamakan Selangor Terkini dan edisi pertamanya bakal terbit mulai Januari ini.

Selangor Kini yang diterbitkan oleh pejabat MB Selangor yang mula diterbitkan pada hujung 2008 kini dicetak 120,000 naskah dua kali sebulan.

Ia diedarkan secara percuma melalui pejabat Adun Pakatan Rakyat di seluruh negeri itu disamping diletakkan juga di tempat-tempat lain yang dikunjungi oleh orang ramai di negeri itu.

Melihat kepada kandungan edisi pertamanya, penerbit akhbar ini dipercayai mempunyai kaitan dengan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar kerana gambar beliau ada pada muka depan dan belakang akhbar ini.

Pihak kerajaan negeri Selangor dikatakan tidak membantah penerbitan begini kerana ia menunjukkan media mereka berkesan tetapi penggunaan logo rasmi kerajaan negeri adalah tidak betul. -harakahdaily