
KUALA LUMPUR, 16 Dis:  Kemelut yang berlaku dalam Felda memberikan bukti jelas  bahawa  Kerajaan BN kini ketiadaan wang, walaupun cuba disembunyikan oleh para  pemimpin Umno.   
Untuk  mendapatkan wang terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU)  Ke-13, Kerajaan BN terpaksa memanfaatkan Felda dengan pelbagai tindakan,  sehingga sanggup mengenakan pelbagai tekanan kepada para peneroka dan  pemimpin-pemimpin badan itu yang bertanggungjawab. 
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata,  arahan bercuti keluar negara ke atas Pengarah Besar Felda, Datuk  Dzulkifli Abd Wahab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jelas  merupakan campur tangan politik terhadap badan tersebut yang tidak  seharusnya berlaku. 
Menurutnya,  tindakan tersebut dilakukan disebabkan motif tertentu bagi membolehkan  pihak kerajaan melaksanakan perancangannya bagi mendapatkan wang melalui  badan itu tanpa halangan daripada para pemimpin Felda. 
Katanya,  realiti itu lebih terserlah apabila diteliti alasan arahan bercuti ke  atas Dzulkifli selama lapan bulan ke London sejak 25 November lalu, bagi  membolehkan beliau mengikuti Kursus Pengurusan Lanjutan untuk  meningkatkan prestasi bagi melakukan tranformasi Felda.     
"Tindakan  ke atas Datuk Duzulkfli itu adalah cadangan Pengerusi Felda, Tan Sri  Isa Samad melalui surat yang dihantar kepada Datuk Seri Najib bertarikh  21 November, manakala arahan bercuti pula dikeluarkan menerusi surat  yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri bertarikh  25 November lalu.
"Prestasi  Datuk Dzulkifli sudah diakui oleh pelbagai pihak. Orangnya diketahui  umum cukup bertanggungjawab, berwibawa dan berintegriti. Alasan yang  diberikan itu ternyata tidak masuk akal dan memang boleh dibaca dengan  mudah mesej di sebaliknya oleh orang ramai," katanya pada sidang media  di Pejabat Agung PAS, di sini, semalam.      
Kemelut  yang berlaku dalam Felda berpunca dari perancangan Isa dengan sokongan  para pemimpin Umno BN untuk memetrai perjanjian pajakan tanah selama 99  tahun antara Felda dan Felda Global Vantures Sdn Bhd.
Tindakan  tersebut ternyata akan menggelapkan masa depan Felda dan para peneroka,  apatah lagi akan disusuli dengan perancangan Isa selanjutnya untuk  menyenaraikan Felda ke dalam Bursa Saham Malaysia yang ternyata akan  mendatangkan kesan buruk amat besar terhadap badan itu sendiri.  
Katanya,  namun Perdana Menteri, Isa dan para pemimpin Umno BN tidak mempedulikan  itu semua. Perkara yang penting bagi mereka adalah untuk membolehkan  mereka mendapatkan wang, walaupun akan mengorbankan kepentingan rakyat  khususnya masa depan para peneroka di seluruh negara. 
"Untuk  membolehkan perancangan mereka itu berjalan lancar, Perdana Menteri  juga bukan sekadar bertindak sedemikian terhadap Datuk Dzulkifli, tetapi  juga ternyata tidak langsung menghormati Ketua Peneroka Kebangsaan,  Shamsuddin Othman. 
"Perdana  Menteri dan pemimpin-pemimpin Umno sanggup mengenepikan begitu sahaja  segala pandangan Pak Sham yang begitu dihormati oleh para peneroka,  sesuai dengan kebolehan dan kedudukan Pak Sham sebagai orang yang  bertanggungjawab, berwibawa dan cukup faham dengan segala perjalanan  Felda," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena. 
Lebih  jauh dari itu, tegasnya, Perdana Menteri turut melakukan tindakan yang  sama terhadap para peneroka lain di seluruh negara, dengan mengenepikan  segala pandangan dan desakan mereka agar menarik balik arahan bercuti ke  atas Dzulkifli dan menggugurkan jawatan Isa bagi kepentingan Felda. 
"Saya  yakin, untuk mengambil hati para peneroka, Kerajaan BN pasti akan  memberikan wang kepada peneroka dengan jumlah yang besar nanti atas nama  tertentu, kononnya dengan alasan keuntungan awal Felda terutama atas  tindakan terkininya," katanya. 
Sekiranya  benar pemberian itu atas keuntungan Felda ekoran langkah-langkah  terkini yang dilakukan, tambah beliau, semua itu sebenarnya hanyalah  keuntungan untuk jangka masa pendek sahaja. 
"Untuk  jangka masa panjang, segala langkah yang ingin dilakukan itu pasti akan  merugikan badan itu sendiri. Ini termasuklah cadangan untuk pajakan  tanah dan penyenaraian Felda ke dalam Bursa Saham Malaysia. 
"Kalau  langkah penyenaraian itu menguntungkan, ia diyakini hanya untuk  peringkat awal bagi jangka masa pendek sahaja, tetapi untuk jangka masa  panjang, ia pasti akan menyebabkan Felda punah-ranah nanti," tegas  beliau.