Jumaat, 28 Oktober 2011
Malaysia miliki Kapal Peronda termahal di dunia
KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) membayar 870 peratus lebih mahal dari negara lain bagi pembelian kapal laut, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua.
Beliau merujuk pengumuman Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang menyatakan kerajaan menyediakan peruntukan RM6 bilion untuk membeli enam kapal laut.
Katanya, pembelian kapal peronda pesisir pantai OPVs oleh Tentera Laut Diraja New Zealand tahun lalu hanya bernilai NZ$90 juta (RM210 juta) setiap satu, sedangkan Malaysia membayar RM1 bilion setiap satu.
“Israel pula membayar AS260 juta (RM791 juta) untuk OPVs, kurang RM219 juta daripada yang dibayar Kementerian Pertahanan,” katanya dipetik dari Malaysiakini.
Phua juga menyenarai harga kapal laut negara lain iaitu kelas Roisin buatan Ireland bernilai AS34 juta (RM103 juta); Super Vita dari Greek AS$108 juta (RM329 juta); Type 130 dari Jerman AS188 juta (RM572 juta) dan Saar V dari Israel AS260 juta (RM791 juta)
setiap satu.
“Lockheed Martin dan General Dynamics, dua syarikat persenjataan terbaik dan terbesar di dunia, membina kapal perang Littoral (LCS) Amerika Syarikat dengan nilai kurang AS300 juta (RM913 milion) pada 2004,” katanya.
Sebelum ini, syarikat milik kerajaan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Penang Shipyard and Construction Industries Bhd (PSCI) diberi kontrak sama pada 1998 bagi membina dan membekal enam kapal peronda dengan harga RM5.4 Bilion.
Bagaimana, syarikat itu gagal menyiapkannya dan meminta kerajaan untuk mengeluarkan modal tambahan dipercayai akibat amalan korupsi dan membawa kepada krisis dalaman.
Berikutan itu, pengurusan PSCI dirombak dan digabung dengan Boustead Holding Bhd, menjadi Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.