SHAH ALAM 23 SEPT : Umno Puchong  didakwa cuba menjual sebidang tanah rezab Melayu di kawasan itu namun ia  berjaya dihalang oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid  Ibrahim.
Berdasarkan  maklumat yang didedahkan di dalam portal Malaysia Waves, tanah rezab  Melayu itu cuba dijual kepada sebuah syarikat Lagi Gemilang Development  Sdn Bhd yang mana pemiliknya adalah 75 peratus bukan bumiputra.
Menteri  Besar menerima permohonan berkenaan daripada pejabat Pengarah Tanah dan  Galian Selangor pada tahun lalu. Dalam surat berkenaan juga dinyatakan  syor Pentadbir Tanah Daerah Petaling yang menolak permohonan berkenaan  atas alasan mengekalkan kouta bumiputera.
Manakala  syor daripada Pejabat Tanah dan Galian pula menyatakan tidak disokong  kerana pindah milik di antara pertubuhan bumiputera kepada syarikat  bukan bumiputera.
Keputusan  ini membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor masih  menjaga perkara berkenaan hak-hak orang Melayu di negeri ini, sekali  gus menolak dakwaan Umno selama ini bahawa KEADILAN dan PAS tunduk  kepada DAP.
Sementara  itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin ketika  diminta mengulas perkara ini menggesa Ketua Pembangkang DUN Selangor,  Datuk Satim Diman memberi penjelasan berkenaan cubaan menggadai tanah  rezab Melayu yang berada di atas nama Bahagian Umno Puchong.
Katanya, ini membuktikan kegagalan mereka dalam memperjuangkan tanah-tanah simpanan Melayu di negeri ini.
“Dalam  soal ini, mereka yang memperjuangkan hak Melayu, memperjuangkan hak  simpanan tanah Melayu itu sudah jauh ketinggalan, sebab yang jelas,  ribuan ekar tanah hak rakyat Selangor, gagal mereka pertahankan,”  katanya.
Tambah  Faekah lagi, sejak Pakatan mengambil alih Selangor, sudah banyak  pendedahan yang dilakukan berkaitan soal tanah penganugerahan tanah yang  tidak telus.
“Pada  kita (kerajaan Selangor) sudah buktikan bahawa sebelum Pakatan  mengambil alih pentadbiran, bahawa banyak tanah-tanah di negeri Selangor  telah diberi sama ada secara pukal atau secara racik-racik kepada orang  yang tidak memerlukan dan tidak sepatutnya dapat.
“Isu  yang lebih besar tentang tanah ialah bagaimana ketika dahulu  tanah-tanah diberikan kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri, selepas  itu anak-anak syarikat pula mengagih-agihkan kepada syarikat lain.- tvs
"Itu  modus operandi yang sangat ketara dan kalau saya sebut satu per satu,  rakyat Selangor akan terkejut sebab saya sendiri terkejut perkara itu  berlaku secara berleluasa,” jelas Faekah.