Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa BN tidak akan laksanakan hukum hudud menggambarkan beberapa perkara:
-Aqidahnya sebagai seorang Islam boleh diragui darjah keimanannya.
-UMNO  sebagai tunggak parti pemerintah memang tidak boleh diharap langsung  menjaga Islam dan memartabatkan Islam di tempat yang sebenar.
-Kejahilan  pemimpin UMNO terhadap hukum Islam sangat ketara. Kewujudan penasihat  agama PM, beberapa institusi Islam seperti IKIM, YADIM, JAKIM dan  golongan agamawan dalam UMNO tidak memberi kesan positif kepada cara  berfikir dan kefahaman Islam sebenar kepada pemimpin UMNO.
-BN lebih rela negara disuburkan dengan jenayah di bawah pemerintahannya.
Jenayah  di Malaysia sekarang begitu dahsyat. Bukan lagi jenayah yang ringan,  tetapi jenayah berat yang seolah-olah menjadi bahan bacaan harian.
Bagi  saya jenayah tidak dapat diturunkan kadarnya atau diatasi melainkan  dengan kembali kepada kaedah terbaik mengatasi jenayah itu. Tidak lain  melainkan kembali kepada hukum Allah yang antaranya hudud, qisas dan  takzir. Hakikat sebenarnya Hudud itu adalah salah satu hukum Allah yang  wajib dilaksanakan. Seperti kita meyakini solat, puasa, zakat, haji itu  sebagai hukum Allah yang wajib diimani dan wajib dilaksanakan, maka  demikianlah hukum hudud.
Ini  bukan soal politik semata-mata. Bukan soal siapa yang menerima hudud  atau menolak hudud. Ini soal keselamatan dan kestabilan negara.  Bagaimana negara boleh aman dan stabil kalau jenayah menjadi begitu  mengganas dan berleluasa.
Dalam  ayat 186 surah al-Baqarah, Allah menyebut tentang kefardhuan puasa.  Beberapa ayat sebelum itu Allah menyebut dengan seruan sama kepada orang  beriman, dan dengan lafaz yang hampir sama dengan puasa, tetapi  kefardhuannya ialah Qisas-pembalasan setimpal terhadap jenayah yang  dilakukan.
Di  Malaysia, sistem kewangan Islam berkembang dengan baik. Di celah sistem  kapitalis yang begitu dominan, beberapa aspek kewangan Islam boleh  menumpang dan menyelit sama. Bahkan mendapat sambutan dari banyak  institusi kewangan konvensional pula.
Kita  tidak pula mengatakan sistem kewangan Islam itu lapuk atau hanya  slogan. Sistem jenayah pula yang meliputi hukum hudud, takzir dan qisas  juga adalah sebahagian dari komponen ajaran Islam sendiri. Kalau kita  boleh meyakini sistem kewangan Islam, mengapa kita sebagai orang Islam  tidak boleh meyakini sistem jenayah Islam?
| Jenayah Kekerasan | 2005 | 2006 | 2007 (januari – ogos) | 
| Bunuh | 497 | 604 | 383 | 
| Cubaan Bunuh | 94 | - | - | 
| Rogol | 1887 | 2435 | 2144 | 
| Cabul Kehormatan | - | 2023 | 1576 | 
| Samun Berkawan Bersenjata Api | 40 | 68 | 22 | 
| Samun Berkawan Tanpa Senjata Api | 1842 | 2658 | 1918 | 
| Samun Bersenjata Api | 317 | 247 | 155 | 
| Samun Tanpa Senjata Api | 13 210 | 18 446 | 12 936 | 
| Pemerasan | - | 1549 | 1230 | 
| Ugutan Jenayah | - | 6336 | 5493 | 
| Merusuh | - | 2261 | 1744 | 
| Mencederakan | 4246 | 5716 | 4501 | 
| Jumlah | 22 133 | 42 343 | 32 102 | 
| Jenayah Harta Benda | |||
| Curi | 34 317 | 37 128 | 28 865 | 
| Curi Van/ Lori/ Jentera Berat | 5507 | 6328 | 3384 | 
| Curi Motokar | 9711 | 11 101 | 7954 | 
| Curi Motosikal | 51 709 | 64 858 | 43 652 | 
| Curi Ragut | 9617 | 9551 | 7176 | 
| Pecah Rumah Siang Hari | 6923 | 8253 | 6296 | 
| Pecah Rumah Malam Hari | 17 542 | 19 060 | 14 356 | 
| Jumlah | 135 326 | 156 279 | 111 683 | 
| Jumlah Jenayah Indeks | 157 459 | 198 622 | 143 785 | 
Sumber: Polis Diraja Malaysia
Dipetik daripada Dewan Masyarakat, November 2007.
Cuba  lihat indeks jenayah di Malaysia di atas. Indeks tersebut sehingga  2007. Ia begitu menakutkan. Ia berkembang-biak walaupun akta demi akta  dicipta. Jenayah berat seperti bunuh, rompak, curi, samun, rogol menjadi  tajuk utama media saban hari. Dulu tidak ada siri 999 di tv. Tapi  kerana banyaknya jenayah kini, maka siri itu tidak kurang idea dan  bahan. Namun kerana tiada ‘ruh’ (spirit) dari langit dalam akta  tersebut, ia tidak berjaya. Sedangkan Allah telah memberi jaminan untuk  mencegah jenayah dari terus berleluasa apabila sistem jenayah Islam  dilaksanakan berdasarkan petunjuk yang benar dari langit. Dan selepas  merdeka lebih 50 tahun , sepatutnya negara kita makin aman dengan  perlaksanaan hukum Tuhan, bukannya makin parah dengan pelbagai jenayah  sehingga terpaksa ditambah pegawai polis dan CCTV.
Hudud  atau sistem jenayah Islam ini pula mempunyai tiga fungsi. Menghukum  penjenayah dengan balasan setimpal, mencegahnya dari mengulangi jenayah  yang sama di masa hadapan dan menghindarkan bakal-bakal penjenayah dari  melakukan jenayah tersebut. Dan tentulah perlaksanaan ini mesti berjalan  secara holistik. Bukan hanya menjatuhkan hukuman atau melaksanakan  hudud, masyarakat pula mesti dididik dengan agama, perkara mungkar mesti  dijauhi dan segala elemen yang menyuburkan jenayah mesti dibanteras.  Soalnya ialah setakat mana kerajaan bersungguh mendidik rakyat dengan  agama. Setakat mana mungkar dibanteras (sedangkan pemimpin UMNO/BN juga  terlibat dalam mungkar dan jenayah: tuduh liwat, pembunuhan, rasuah dan  lain-lain) dan tidak pelik jika ada agensi tertentu yang melindungi  penjenayah, samseng atau kongsi gelap.
Tidak  sepatutnya timbul keraguan terhadap hukum hudud, ucapan hanya slogan,  atau menjadi mainan politik selamanya. Kesungguhan melaksanakannya mesti  ada pada ahli politik Islam dan terutamanya pemerintah di peringkat  kerajaan pusat yang mempunyai bidangkuasa yang besar.
Kerajaan  Kelantan berhasrat melaksanakan perintah Allah itu. Dalam tempoh lebih  20 tahun pemerintahannya, suasana kondusif untuk melaksanakan hukum itu  disediakan. Pelbagai aktiviti kebajikan terhadap rakyat dibuat.  Kefahaman Islam disampaikan kepada rakyat. Rakyat dididik dengan program  agama. Kebajikan rakyat diutamakan. Pemimpin kerajaan negeri diajar dan  ditarbiyyah menjauhi rasuah. Akhirnya kalau berlaku kecurian, maka yang  mencuri itu tentunya penjahat yang mesti dihukum. Justru, kenapa takut  dengan hukum hudud?
Terengganu  di bawah pemerintahan PAS akhir 1999 hingga 2004 telah meletakkan batu  asas pentadbiran dan pemerintahan negeri berdasarkan al-Quran, Sunnah,  Ijmak dan Qias. Saya masih ingat ketika pihak kerajaan negeri Terengganu  di bawah PAS ketika itu yang membuat seminar pelaksanaan syariah di  tahun 200an itu, saya yang ketika itu masih menjawat jawatan pensyarah  Pengajian Islam turut menghadiri seminar tersebut. Dalam sebuah  bengkelnya, saya kebetulan bersama dengan bekas ADUN Seberang Takir dari  BN, Dato’ Rashid Ngah. Perbincangan tersebut rancak tentang hukum  hudud. Dato’ Rashid Ngah hanya diam, tidak banyak bercakap, dan tidak  pula membantah.
Tempoh  yang lama di bawah pemerintahan Dr Mahathir menyaksikan hukum hudud  menjadi mainan, momokan dan sinis dari kejahilan pemimpin UMNO/BN nombor  satu ketika itu hinggalah juak-juaknya yang juga jahil tentang Islam.  Orang Melayu yang jahil dan orang bukan Islam yang kurang memahami Islam  termakan dengan dakyah UMNO/BN mengenai hukum Islam hinggalah PAS  berjaya meruntuhkan tembok itu kemudiannya.
Hanya  mereka yang masih tidak faham tentang hukum hudud dan penjenayah (kolar  putih atau biru)  sahaja yang cepat melatah apabila diajak supaya  melaksanakan hukum hudud. Sekali lagi ditegaskan, tiada pilihan untuk  menurunkan kadar jenayah melainkan mesti kembali kepada hukum ajaran  Allah, bukan sahaja dalam soal jenayah tetapi bersedia menerima sistem  Islam dalam bentuknya yang holistik dan menyeluruh. PAS komited dengan  perjuangannya ‘Islam Adil Untuk Semua’ dan ‘Membangun Negara  Berkebajikan’ bersama rakan dalam Pakatan Rakyat bagi menumbangkan  UMNO/BN yang mewarisi sifat-sifat ‘penjajah’ ini.
Kemaman, Terengganu
H/daily
