SUGUL...isteri  Syaiful  Nizam cuba ditenteramkan saudara-maranya di Hospital Kajang,  malam  tadi. Gambar kecil, Syaiful Nizam Zamaluddin. FOTO: Ghazali Bujang
KUALA   LUMPUR: Malang tidak berbau bagi seorang anggota polis berpangkat   konstabel yang bertugas di bahagian rondaan tugas am apabila peluru   terakhir dalam revolver .38 miliknya menyebabkan dia parah di kepala.
Difahamkan,   dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, mangsa, Syaiful Nizam   Zamaluddin, 24, sedang mengosongkan revolver selepas tamat bertugas. 
Ketua   Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata   ketika mangsa sedang membersihkan revolver, lapan anggota lain sedang   memerhatikannya menghala revolver ke arah bawah di hadapan setor   senjata. 
"Dengan tiba-tiba mereka terdengar bunyi tembakan dan nampak keadaan mangsa dalam keadaan parah.
"Mangsa   tertembak di bahagian kanan kepala sebelum peluru tembus keluar dari   atas kepalanya," katanya ketika ditemui di Hospital Kajang, di sini. 
Beliau   berkata, peluru berkenaan adalah yang terakhir dalam revolver mangsa   dan kejadian berkenaan dipercayai adalah kemalangan. 
Katanya, anggota berkenaan sudah berkhidmat lebih daripada dua tahun di IPD Kajang dan tidak mempunyai sebarang masalah. 
Menurutnya,   mangsa yang berasal dari Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur, baru   saja berkahwin dan isterinya kini hamil tujuh bulan. 
Sehingga ini, katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.