
KUALA  TERENGGANU,- PAS menyifatkan golongan yang takut kepada hukum  hudud sama seperti manusia yang takut kepada ‘hantu’.
Mursyidul   Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata ketakutan itu   hanya disebabkan momokkan pihak tertentu sedangkan mereka belum dan   tidak pernah pun melihatnya.
Beliau   merujuk kepada dakwaan bahawa banyak pihak pula yang takut kepada   penubuhan Negara Islam dan hukum hudud yang diperjuangkan oleh PAS.
“Banyak   orang takut Negara Islam. Usahkan hudud malah takut kepada Negara   Islam. Orang takut kepada Negara Islam ini macam takut ke ‘hantu’. Orang   yang takut kepada hantu itu tidak tahu pun bagaimana hantu tetapi  takut  kepada hantu.
“Hudud   Islam pun begitu juga, takut kepada hudud. Kenapa takut hudud, tidak   tahu. Melayu, India, Cina sama,” jelasnya ketika berucap pada Majlis   Makan Malam Dana Kebajikan Insaniah di Dewan Permata, Permai Inn, dekat   sini, 23 September lalu.
Beliau   yang juga Menteri Besar Kelantan pernah menjemput para ilmuan di   kalangan ahli pondok dan pensyarah Universiti bagi membincangkan isu   hudud sebelum diluluskan di Kelantan.
“Sekarang   timbul balik hudud, alhamdulillah. Kita sampai kiamat pun selagi umur   kita ada (hidup) kita mesti tegakkan Negara Islam.
“Hudud   kita (PAS) buat, kita jemput para ilmuan, di kalangan ahli pondok,   kalangan Universiti, golongan pensyarah di Kuala Lumpur, di Kelantan.
“Kita   (PAS) buat Enakmen Hudud yang telah dilulus oleh Dewan Undangan Negeri   (Dun) Kelantan. 100 peratus dan Umno pun sokong masa itu, Parti Melayu   Semangat 46 sokong, kerana kita (PAS) pegang kerajaan,” ujarnya.
Namun   begitu, Tuan Guru Nik Aziz melahirkan rasa dukacita hingga sekarang   masih belum dapat melaksanakan undang-undang tersebut kerana halangan   kerajaan pusat.
Katanya, “amaran” kerajaan pusat akan bertindak jika kerajaan negeri melaksanakan perundangan hudud di Kelantan.
“Bila   kita (PAS) buat hudud, Perdana Menteri Malaysia yang masih hidup (Tun   DR Mahathir) sekarang ini beri “Amaran” dalam bulan Ramadan. Jika   Kelantan buat hudud dia (pusat) akan bertindak.
“Antara   tindakan yang pernah Umno-BN buat suatu masa dahulu ialah “mageran”.   Dia bakar tayar, dia bakar bangsal polis seorang dua, dia istihar   darurat, dia ‘rampas’ semua kerajaan Kelantan.
“Semua kerajaan negeri dirampas oleh kerajaan pusat. Kita (PAS) bimbang dia (pusat) buat pula kali kedua di Kelantan.
“Sepatutnya,   orang Melayulah yang sokong hudud tapi dukacita kerana dia juga antara   orang yang menentangnya. Kita kempen, kita doa mudah-mudahan mereka   semua boleh terima hudud Islam,” ujarnya.
Hadir   sama pada majlis tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid   Endut, Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Setiausaha PAS   Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan pendakwah   bebas, Ustaz Azhar Idrus.