Telok Kemang: “Ketirisan sebanyak RM28 bilion setahun  menurut Laporan Audit Negara 2009 jelas menunjukkan bahawa pengurusan  negara berada dalam bahaya dan membimbangkan”, kata Ahli Parlimen Telok  Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.
Beliau berkata dalam situasi rakyat asyik membincangkan kemelut Parti Komunis Malaya (PKM) mereka lupa tentang persoalan ini.
“Signifikan  persoalan rasuah yang mahu kita bincangkan dengan perbandingan isu  komunisme adalah merupakan persoalan masa depan negara dan rakyat  keseluruhannya.
“Sejarah boleh dibincangkan secara ilmiah dan  intelektual namun perdebatan kolot oleh pimpinan Umno-Barisan Nasional  (BN) dalam isu sejarah menutup ruang perbincangan dan analisis sejarah  secara saintifik dan holistik ”, ujar Kamarul.
Kamarul yang juga  Pengerusi PKR Negeri Sembilan menambah kegagalan pimpinan Umno-BN dalam  memahami kupasan dan isu sejarah menunjukkan bahawa mereka sudah semakin  hilang upaya dalam mentadbir negara.
Sejarah yang benar dan  tepat adalah penting buat negara dan rakyat. Jika isu sejarah pun gagal  diuruskan dengan baik oleh kerajaan sudah pasti ini menjadi satu lagi  bukti bahawa pimpinan Umno-BN sudah tidak relevan untuk diberikan mandat  sekali lagi oleh rakyat.
“Jika isu sejarah tidak mampu lagi  diurus dan difahami dengan baik oleh pimpinan Umno-BN, apatah lagi  dengan kemelut isu rasuah, kelemahan pentadbiran Perdana Menteri (Datuk  Seri Najib Tun Razak) dan salah urus tadbir negara yang parah seperti  yang dibuktikan oleh Laporan Audit Negara sehingga negara kerugian  berbilion ringgit”.
“Ini tidak termasuk oleh pinjaman Felda  sebanyak RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang  boleh ndipersoalkan kewajarannya.
“Hutang kerajaan Malaysia bagi  tahun 2009 juga telah meningkat kepada RM362.39 bilion atau 53.7% dari  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Hutang tambahan bernilai  RM58.1 bilion juga telah kerajaan bebankan ke atas rakyat dengan  melancarkan 19 program jualan bon pada tahun 2010”, jelas Kamarul lagi.
Justeru  itu Kamarul berkata perasuah dan pembuat hutang negara yang telah  menggelapkan wang rakyat secara haram dan jijik termasuk oleh pimpinan  Umno-BN haruslah ditentang oleh rakyat habis-habisan.
Inilah perjuangan rakyat masa kini dalam menentang pengkhianat moden yang berselindung disebalik dinding kekuasaan di Putrajaya.
Masa  depan negara terletak di tangan rakyat untuk membuat keputusan secara  serius menolak dan memerangi pengkhianat moden negara.
Laporan Audit Negara untuk tahun 2010 dijangka akan dikeluarkan sebelum hujung tahun ini. -FMT