
BEBERAPA  orang penduduk merangkak  ketika menyeberangi sebatang anak sungai  semalam, selepas jambatan asal  dirobohkan untuk diganti dengan jambatan  baru di Jalan Air Keroh di  Kampung Bukit Senggeh, Nyalas, Jasin,  Melaka. 
JASIN  29 Sept. - Perkhabaran pembinaan jambatan baru bagi  menggantikan  jambatan yang rosak awal tahun lalu begitu menggembirakan  penduduk  Jalan Air Keroh di Kampung Bukit Senggeh di sini.
Senyuman  penduduk juga tidak lekang dari bibir apabila melihat  kontraktor mula  sibuk memecah jambatan lama dan memunggah pembentung  konkrit untuk  menyiapkan jambatan baru yang dikatakan hanya mengambil  masa tiga  minggu untuk siap.
Namun,  entah apa yang tidak kena, kegembiraan penduduk di situ tidak  lama  apabila kerja-kerja pembinaan jambatan terbabit yang didakwa  penduduk  berjalan hanya sehari, tiba-tiba dihentikan dan kini  membebankan pula  penduduk.
Salah  seorang penduduk yang ditemui, Jamaliah Yusof, 57, berkata,  masalah  tersebut menyebabkan penduduk terputus hubungan dengan  masyarakat luar  dan sukar untuk melaksanakan urusan harian dengan  sempurna.
Katanya,  masalah itu lebih memberi tekanan kepada keluarganya kerana   menyukarkan penghantaran suaminya, Mohd. Isa Yusuf, 64, ke Hospital   Jasin akibat diserang penyakit lemah jantung malam kelmarin.
''Anak-anak  terpaksa menggunakan laluan ladang getah yang tidak boleh  dilalui  langsung oleh kenderaan tetapi kami tiada pilihan terpaksa  kerana perlu  segera menghantar suami ke hospital," katanya ketika  ditemui Utusan Malaysia di sini.
Katanya,  sejak lebih dua minggu, penduduk di situ terpaksa  menggunakan laluan  getah tersebut untuk keluar menjalankan aktiviti  harian termasuklah  anak perempuannya yang berulang-alik kerana bekerja  di pusat bandar  seawal pukul 6 pagi.
Bagi  Ibrahim Yusuf, 47, projek pembinaan jambatan baru yang  terbengkalai  sejak lebih dua minggu itu banyak menimbulkan kesulitan  kepada  penduduk, khususnya pelajar yang ingin ke sekolah.
''Saya hairan, kalau tidak boleh disiapkan segera atau tidak cukup peruntukan, kenapa tergesa-gesa robohkan jambatan lama.
''Jambatan  lama itu hanya rosak kecil dan boleh dibaiki sedikit untuk  sementara  waktu, kalau terus dibiarkan masalah ini berlaku, susahlah  penduduk  kampung untuk menjalankan kerja harian," katanya.
Sementara  itu, Biramah Beekandaya, 73, berkata, dia dan cucunya  berusia lima  tahun terpaksa 'merangkak' melalui laluan kecil yang dibuat  sendiri  oleh penduduk setiap kali menghantar cucu ke Tadika Kemas di  kampung  itu.
''Mak  cik sudahlah uzur tetapi terpaksa melalui juga laluan sempit  dan  berbukit di tapak projek pembinaan jambatan baru itu, kami perlu   merangkak melaluinya, kalau tidak, boleh terjatuh kerana laluannya agak   bercerun," katanya.
Tegasnya,  penduduk terdedah dengan keadaan berbahaya kerana keadaan  tapak projek  yang dipenuhi pembentung konkrit, malah apabila waktu  hujan, laluan di  situ termasuk ladang getah langsung tidak boleh  digunakan sebagai  laluan.