
Oleh : LAHIRUL LATIGU
DEWAN  Pemuda Pas Negeri Sabah terkejut dengan penjualan tiga buah pulau iaitu  Pulau Mengalum yang terletak di pesisir Kota Kinabalu, Pulau Pandanan  di Semporna dan Pulau Montukod di luar pesisir Kimanis yang diiklankan  menerusi pusat pasaran talian terus yang berpangkalan di Toronto,  Kanada.
Jesteru  Dewan Pemuda Pas Negeri Sabah amat kesal dengan pengakuan Pengarah  Jabatan Tanah dan Ukur Negeri, Datuk Osman Jamal yang menyatakan  kerajaan tidak boleh menghalang penjualan Pulau-pulau tersebut kerana  ianya adalah hakmilik persendirian.
Persoalannya  bagaimana pulau-pulau sedemikian begitu mudah dimiliki oleh segelintir  individu tertentu sedangkan ia merupakan khazanah berharga Sabah yang  seharusnya dipulihara, yang boleh dijadikan sebagai tarikan pelancongan.
Dewan  Pemuda Pas juga hairan bagaimana Jabatan Tanah dan Ukur boleh dengan  begitu mudah memberikan kelonggaran kepada individu tertentu untuk  memiliki sebuah pulau.
Pada  masa yang sama, Jabatan ini juga yang melakukan perampasan terhadap Hak  Tanah Adat yang menyaksikan begitu ramai penduduk kampung yang tinggal  di pedalaman diusir dan ditangkap.
Kesemua  kekejaman ini dilaporkan Suhakam dan Sabah mencatat aduan tertinggi  pencabulan tanah adat iaitu sebanyak 824 kes atau 82.4% antara tahun  2002 hingga suku pertama tahun 2011.
Jika  Jabatan Tanah dan Ukur boleh menguatkuasakan Seksyen 42, Ordinan Tanah  Sabah, Bab 68, bagi merampas Hak Tanah Adat terhadap penduduk-penduduk  kampung di Pedalaman, maka ia juga sepatutnya boleh menguatkuasakan  undang-undang yang sama bagi menjaga kepentingan rakyat sabah.
Begitulah juga apabila kerajaan bersungguh-sungguh mempertahankan Pulau Sipadan dan Ligitan daripada  tuntutan  negara Jiran; sedangkan bersikap dingin dan berlepas tangan terhadap  penjualan tiga buah pulau ini dari terlepas kepada pihak asing. 
Seluruh  dunia kini menyaksikan perebutan pulau-pulau tersebut bagi memastikan  sesebuah negara dapat meluaskan kawasan pesisir dan sempadannya. Tidak  mustahil pembelian pulau ini akan membolehkan negara asing dengan mudah  memperluaskan kedudukan strategik mereka.
Jesteru  itu, Dewan Pemuda Pas Sabah mendesak supaya kerajaan Sabah menghalang  urusniaga penjualan tersebut memandangkan ia akan merugikan Sabah dan  kehilangan khazanah berharga yang menjadi hak kepada seluruh rakyat  Sabah.
Kerajaan  BN sewajarnya mendedahkan siapa pemilik pulau-pulau tersebut yang  begitu tamak sehingga sanggup menjual sebahagian dari tanahair sendiri  dan siasat juga bagaimana mudahnya mereka ini memperolehi tanah seluas  pulau!