
Oleh: IBN ABDULLAH
ALLAH  berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 36, "Dan tidaklah harus bagi  orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, mempunyai hak membuat  pilihan sendiri dalam urusan mereka apabila Allah dan Rasul-Nya telah  membuat sesuatu keputusan. Siapa yang tidak mematuhi hukum-hukum Allah  dan Rasul-Nya, bererti ia telah terjerumus dalam kesesatan yang amat  nyata."
Seorang  ulama dengan tegas menyatakan bahawa sesiapa yang tidak sanggup  menjunjung hukum Allah dan secara terbuka menentang Al-Quran dan sunnah  Rasulullah, maka mereka ini tergolong secara langsung sebagai manusia  yang menentang Allah dan Rasul-Nya. 
Pernah  kah kita terbaca atau terjumpa catitan sejarah bahawa terdapat manusia  yang menang dalam peperangan menentang Allah? Waliya uzubillah. Saya  belum pernah terjumpa buku atau mendengar kuliah yang menyatakan manusia  pernah menang dalam peperangan menentang hukum-hukum Allah. 
Apa  yang saya pernah dengar dan pernah tengok dengan mata sendiri ialah  manusia dan bumi dihancurkan Allah angkara keangkuhan dan kesombongan  manusia yang menganggap diri mereka lebih hebat dan lebih bijak dari  Allah s.w.t. 
Allah  berfirman dalam surah Ar-Rum, ayat 41, "Telah timbul berbagai-bagai  kerosakan dan bala bencana di darat dan di lautan dengan sebab apa yang  telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia. (Timbulnya perkara-perkara  itu) Kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian balasan dari  perbuatan-perbuatan buruk mereka yang telah dilakukan, agar supaya  mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Pemimpin  tertinggi UMNO terlalu sombong dan bongkak apabila dengan tegas  menyatakan bahawa Kerajaan Pusat akan menghalang percubaan untuk  melaksanakan undang-undang hudud seperti yang diinginkan oleh Kerajaan  Negeri Kelantan. 
Pemimpin  UMNO selanjutnya bertegas bahawa hudud tidak sesuai dipraktikkan kerana  suasana dinegara ini tidak mengizinkan undang-undang ciptaan Allah ini  diletakkan pada kedudukan yang sewajarnya.
Kenyataan  yang dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi UMNO yang bertegas menolak  perlaksanaan hukum hudud sebenarnya didorong oleh rasa takut akan  kehilangan sokongan MCA dan GERAKAN. UMNO sekarang berada dalam keadaan  'nyawa-nyawa ikan'. 
Para pemimpin UMNO  lebih bersedia mencari redha MCA dan GERAKAN dengan menempah kemurkaan Allah. Maka tunggulah  tiba  saatnya nanti Allah menentukan sesuatu yang tidak terduga sama sekali  oleh para pemimpin UMNO yang sombong dan bongkak, yang tidak sedar diri  bahawa udara yang mereka hirup setiap detik adalah anugerah Allah, nyawa  yang mereka miliki adalah pinjaman dari Allah, yang boleh ditarik pada  bila-bila masa yang Allah kehendaki.
Menteri  Besar Kelantan, Mursyidul Am PAS adalah pemimpin yang terus relevan  sepanjang masa. Ketegasan Tok Guru Nik Aziz yang sanggup kehilangan  rakan dalam Pakatan Rakyat, DAP, kerana penentangan YB Karpal Singh atas  kesungguhan PAS mahu melaksanakan hudud, membuktikan kepada umat Islam  bahawa Tok Guru bersedia menerima kemurkaan manusia dengan menempah  keredhaan Allah! 
Tok  Guru tidak takut kehilangan kuasa kalau kuasa yang dimiliki hanya untuk  mengekalkan undang-undang dan peraturan bersifat maksiat kepada Allah.  Kenyataan Najib kononnya Kerajaan BN sekarang berkewajipan melindungi  'Maqasid Syariyyah', adalah palsu dan bohong semata-mata. 
Apa  yang berlaku pada malam 17 September yang menyaksikan berlangsungnya  konsert 'Suarakami' di Stadium Merdeka yang turut disertai oleh Najib  dan isterinya sama sekali bertentangan dengan prinsip 'Maqasid  Syariyyah' yang salah satunya untuk melindungi aqidah dan kehormatan  umat Islam. 
Bohong!  Cuba lihat siapa dia penyanyi yang dijemput untuk menjayakan konsert  tersebut kalau bukan 'Awang Hitam' dari USA, dengan ukiran tatoo di  badan mereka! Apakah ini dia contoh 'Maqasid Syariyyah' yang dicanangkan  oleh Najib dan pemimpin tertinggi UMNO? 
Remaja  Islam yang menyertai konsert tersebut tiada bezanya dengan remaja bukan  Islam yang tidak mempedulikan pergaulan bebas yang hanya mengundang  dosa dan kemurkaan Allah. 
Akhirnya,  remaja Islam akan terus bergelumang dengan dosa yang tiada kesudahannya  dimana kes-kes buang bayi terus bercambah, pelajar sekolah menggugurkan  kandungan, dan pelbagai dosa yang amat menggerunkan umat Islam negara  ini. 
Semoga  talian hayat UMNO beakhir dan tamat menjelang PRU ke-13 dan negara ini  semoga menuju sebuah negara ini dipimpin ke arah 'baldatun tayyibatun  warabbun ghafuur.’