Saleha      | Mat  Indera. Cetusan Idea Haji Mohamad Sabu Presiden Pas, satu  Inovasi!,  itulah pada pandangan saya. Ketika ini riuh rendah Kisah Mat  Sabu dan  Mat Indera diperkatakan. Ini mendatangkan keterujaan saya untuk   mengetahuinya. Haji Mohamad Sabu saya tahu dia seorang Timbalan   Presiden Pas masa kini yang mencetuskan kisah ini, tetapi siapa Mat   Indera.
Cetusan idea Haji Mat Sabu membangkitkan reaksi daripada  pelbagai  pihak hingga kepada professor-professor. Mat Indera  diceritakan menjadi  orang penting dalam peristiwa Bukit Kepong pada  tahun 1950. Saya mencari  dari segenap sumber untuk mengetahui siapa Mat  Indera. Macam-macam   versi saya temui. Tetapi apa yang menarik, saya  temui ialah fakta  tentang pengkisahan ini. Fakta pada tanggapan sendiri  bukan fakta umum,  nanti Prof. Ramlah Adam murka kerana fakta sejarah  hanya sejarahwan yang  berhak menyatakannya. Mana mungkin rakyat bawahan  yang berpendidikan  rendah memandai-mandai tentang fakta sejarah.
Saya  tidak ingin mengulas atau mentafsir tentang kisah ini tetapi  saya  ingin mengaitkan kisah ini dengan situasi sekarang, kerana ia tidak   memerlukan pengkajian yang mendalam. Saya bukanlah orang berpendidikan   tinggi yang membolehkan mengkaji sejarah secara mendalam. Apa yang   berlaku sekarang adalah lebih sesuai kerana tidak memerlukan fakta   sejarah iaitu ada mata tengok, ada telinga dengar, ada otak fikir, ada   mulut bercakap, ada hati nukilkan yang tersirat menjadi tersurat.
Izinkan  saya menyatakan fakta yang diperolehi dan menghubungkan  dengan situasi  sekarang. Fakta itu ialah Mat Indera mengetuai parti  buruh dan kenapa  parti buruh diminati.
Saya memperolehi fakta Mat Indera mengetuai  parti buruh daripada  ahkbar Sinar Harian 7 September 2011 muka surat 6  iaitu kenyataan  daripada Baharom adik kepada Mat Indera, “Baharom  memberitahu, ketika  Mat Indera mengetuai Parti Buruh di Pelabuhan Muar,  abangnya seorang  yang disenangi pekerja buruh yang lain”. Fakta kenapa  parti buruh  diminati. Saya perolehi dari akhbar Mingguan Malaysia m2   Ahad 11  September 2011 muka surat 2, “Penyebaran ini mendapat tempat di  kalangan  kesatuan sekerja berikutan tindakan majikan yang tidak mesra  pekerja”.  Fakta inilah yang akan dihubungkan dengan situasi sekarang  ini.
Penjawat awam Malaysia adalah buruh dan majikannya adalah  kerajaan  Malaysia. Buruh yang dimaksudkan ini bukan pegawai atasan  kerana mereka  adalah pembuat dasar bagi pihak kerajaan. Kumpulan  sokongan adalah buruh  kerana mereka sebagai perlaksana arahan. Kerajaan  Malaysia sebenarnya  tidak adil kepada kakitangan perkhidmatan lama.  Kakitangan lama yang  sampai tempoh bersara rata-rata berkhidmat lebih  tiga puluh tahun. Ini  adalah kerana kakitangan sokongan dalam  perkhidmatan lama ada yang telah  dinafikan untuk menjawat jawatan yang  lebih tinggi walaupun mempunyai  ijazah dan bersara ditahap kumpulan  sokongan. Ini amatlah tidak adil  jika seseorang berada di tempat  tersebut.
Diberikan contoh di sini. Seorang rakan yang mempunyai  kelulusan  ijazah tetapi pihak kerajaan Malaysia tidak pernah memberi  peluang  menjawat jawatan dengan kelulusan ijazah walaupun beliau  berpengalaman  lebih tiga puluh tahun sehinggalah bersara ditahap  kumpulan sokongan  dengan gred yang sama disandang sewaktu mula.
Beliau  berusaha menuntut ilmu tanpa mendapat apa-apa kemudahan dari  pihak  kerajaan. Sejak dari ijazah asas membawa ke ijazah sarjana.  Kemudian  beliau diterima dan mendaftar pula untuk ijazah doktor  falsafah.  Memandangkan kesukaran yang akan ditempuhi apabila menjadi  penuntut Phd  beliau telah bersara sebelum tempoh umur persaraan yang  ditandatangani  iaitu 58.
Beliau bersara pada gred sokongan dengan pencen lebih  kurang seribu  dan graduiti lebih kurang tujuh puluh ribu untuk  perkhidmatan selama 32  tahun. Wang graduitinya untuk membeli rumah kos  rendah pun tak lepas.  Kalau pun ada pemilik flat kos rendah seksyen 3  Petaling Jaya Lama yang  ingin menjualnya harga tidak kurang 90 ribu.  Dengan wang itulah dia  berjimat untuk meneruskan hidup disamping  membiayai pengajiannya.
Suka juga dinyatakan kakitangan yang  mendapat segala kemudahan  daripada kerajaan untuk melanjutkan pelajaran  bukan semuanya dengan niat  untuk menuntut ilmu melainkan mereka  sekadar merebut peluang yang  tersedia lebih-lebih lagi yang dapat pergi  keluar negara disamping dapat  lari seketika daripada tugasan kerja dan  apabila kembali status  akademik lebih tinggi. Mereka dari kumpulan ini  sekiranya tidak mendapat  segala keistimewaan tidak akan bersusah payah  meneruskan pengajian.
Berbalik rakan yang disebutkan di atas,  beliau dengan perbelanjaan  sendiri bersusah payah dan di tempat kerja  pula ditekan oleh pegawai  yang lebih atas selalunya yang lebih muda. Di  tempat kerja berhempas  pulas menjalankan kerja, di masa tidak bekerja  ketika itulah diisi  dengan menunut ilmu. Malangnya dia bersara pada  gred rendah yang  disandangnya sejak mula bertugas 32 tahun lalu. Di  mana keadilannya.  Pencapaian apa yang kerajaan Malaysia utamakan.
Saya  ingin mengucapkan syabas kepada Tuan Haji Mohamad Sabu Timbalan   Presiden Pas yang melahirkan inovasi dengan mencetuskan isu Mat Indera.   Cetusan ideanya bukan sekadar kajian sejarah Malaysia tetapi menjangkau   kelain cabang yang untuk difikirkan oleh selain orang sejarah tetapi   juga terhadap keadilan kerajaan Malaysia sebagai majikan kepada buruhnya   penjawat awam perkhidmatan lama.
Oleh yang demikian bukan semua  rakyat Malaysia seperti Prof. Ramlah  Adam, Prof. Zainal Kling dan  lain-lain yang mesra kerajaan Malaysia.  Mereka ini sudah tentu mesra  kerajaan Malaysia dengan nama sentiasa  dijulang dan kedudukan usah nak  cakap. Tetapi buruh kerajaan yang  disebutkan di atas adalah kategori  yang tidak dapat menjadi mesra  kerajaan Malaysia.