Jumaat, 16 September 2011

Mansuh ISA bukti Najib tertekan hadapi PRU 13


Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Abdul Razak melaksanakan langkah mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dimansuhkan.

Dalam ucapan sempena Hari Malaysia yang ditunggu-tunggu itu, Najib mengumumkan rancangan pemansuhan ISA dan beberapa peraturan lain termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, peraturan yang ditentang hebat pengamal media negara ini, terutama yang cenderung pembangkang.

Ekoran pemansuhan ISA, undang-undang lain akan digubal bagi tujuan keselamatan, tindakan yang bakal mendapat perhatian wakil-wakil rakyat pembangkang yang dilihat masih berhati-hati dengan tindakan Najib ini.

Sesetengah pihak turut menimbulkan persoalan tentang satu lagi undang-undang yang mengekang, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, yang menjadi satu senjata utama pemerintah mengawal institusi pengajian tinggi.

Tindakan mengejutkan Najib ini menandakan tekanan hebat dihadapi pemerintah di bawah pimpinan beliau, yang mengalami suasana sukar ekoran kemenangan besar pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008.

Pemansuhan ISA dan beberapa undang-undang lain ini juga menunjukkan sejauh mana pentadbiran Najib bersedia untuk melaksanakan perubahan, dan memberi gambaran kesungguhan Najib untuk mengekalkan kuasa Umno dan gabungan parti pemerintah.

Langkah drastik Najib ini sedikit menjejaskan usaha politik pembangkang yang menjadikan ISA sebagai satu alasan utama menentang pemerintahan Umno dan Barisan Nasional, dan menjadi langkah populis terkini pentadbiran Najib menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Apapun analisis akhir isu ini, Najib telah mencatat sejarah sebagai perdana menteri yang memansuhkan ISA dan melaksanakan reformasi yang kritikal, walaupun kelihatan untuk memenuhi tuntutan politik semasa.

Najib kini telah mengurangkan satu isu besar untuk dijadikan bahan kempen menentang pemerintah, dan memaksa pembangkang mencari sudut lain dalam menangani isu ini.

Pembangkang gabungan Pakatan Rakyat mengadakan perhimpunan anti-ISA di ibu negara pada 2009, dan dilaporkan merancang mengadakan satu lagi program anti-ISA menjelang pilihan raya umum akan datang.

Tindakan Najib berhubung ISA ini walau bagaimanapun dijangka menerima respons negatif sesetengah pihak yang menyokong BN, termasuk pertubuhan yang sebelum ini lantang menunjukkan sokongan kepada undang-undang drakonian itu.

Perhatian selepas ini akan tertumpu pada belanjawan yang bakal memberi peluang sekali lagi kepada Najib untuk menaburkan janji dan habuan kepada rakyat bagi membina sokongan.

Sebelum ini, menjelang Hari Raya Aidilfitri, pentadbiran Najib mengumumkan ganjaran bonus dan habuan lain kepada kakitangan awam, selepas beberapa tahun tidak menerima sebarang bonus.