Walaupun MCA dan Gerakan telah mengutuk PAS kerana menyatakan semula  keinginan untuk memperkenalkan hukum hudud di Kelantan,  pemimpin-pemimpin Kristian berpendapat bahawa tidak ada silapnya dengan  rancangan tersebut. Ini adalah kerana semua pengikut bagi mana-mana  agama sepatutnya digalakkan berusaha untuk menguatkan lagi pegangan  mereka, selagi mereka tidak mengganggu hak orang lain.
“Perkara  yang paling penting adalah untuk memastikan bahawa hak mereka yang  berbeza agama dilindungi sepenuhnya. Oleh itu apa salahnya dengan  perlaksanaan hudud di Kelantan atau negeri lain pun?” beritahu Ramon  Navaratnam, bekas presiden ‘Transparency International’ dan pemimpin  Kristian, kepada Malaysia Chronicle.
“Kita tidak patut  mempolitikkan semua perkara terutamanya agama. Adalah perkara biasa bagi  seorang Islam dan Kristian mahupun seorang penganut Buddha dan juga  Hindu untuk berusaha mengukuhkan pegangan mereka seboleh mungkin dan ini  sepatutnya digalakkan. Ia hanyalah salah apabila mereka tidak  mengendahkan orang lain dan mula bertindak melampau di dalam perlakuan  dan amalan. Selagi rakyat bukan Islam di Malaysia dilindungi sepenuhnya,  penganut Kristian dan rakyat Malaysia amnya tidak seharusnya berfikiran  cetek dan bimbang tanpa sebab yang munasabah.”
  
Kenyataan Ramon disokong oleh Dr Paul Tan Chee Ing, presiden ‘Catholic Bishops’ Conference of Malaysia’.
“Saya  berpendapat telah tiba masanya untuk membenarkan rakyat Islam di  Kelantan, untuk melaksanakan hukum shariah asalkan rakyat bukan Islam  dikecualikan daripada perlaksanaannya,” kata Paul, yang juga merupakan  ketua ‘titular’ Katholik di diocese Melaka-Johor.
MCA dan Gerakan katakan TIDAK!
Kenyataan  pemimpin-pemimpin Kristian bercanggah dengan kenyataan presiden MCA dan  Gerakan iaitu Chua Soi Lek dan Koh Tsu Koon, kedua-duanya membangkang  keras, walaupun sebab-sebab mereka berbuat demikian tidak jelas.
“Pegangan  MCA sangat jelas. Kami bantah sekeras-kerasnya terhadap perlaksanaan  hudud. Jika Umno mahu melaksanakan hudud, MCA akan menarik diri dari  Barisan Nasional – mudah sahaja. Pendirian kami amat jelas. Umno ingin  melaksanakan hudud, MCA tidak akan bekerjasama, kami tidak akan  terlibat,” beritahu Soi Lek kepada wartawan pada hari Jumaat.
“Malaysia  adalah Negara yang majoriti penduduknya beragama Islam tetapi dengan  minoriti penduduk bukan beragama Islam yang ketara. Asas perlembagaan  Negara kita memulihara hak-hak masyarakat majmuk, dan kerana itulah  undang-undang punitif adalah sekular dan melibatkan semua pihak. Kami  tidak boleh mempunyai undang-undang berlainan untuk setiap lapisan  masyarakat,” kata Chang Ko Youn, timbalan presiden Gerakan di dalam  kenyataannya.
Bagaimana dengan hak-hak orang Islam?
Walaubagaimanapun,  seperti yang telah diutarakan oleh masyarakat Islam, kedua-dua ahli  politik MCA dan Gerakan tersebut berkemungkinan melakukan apa yang  mereka menuduh PAS lakukan - iaitu menghadkan hak-hak masyarakat lain.
“Pernahkah  MCA dan Gerakan mengambil kira perasaan masyarakat Islam? Hudud  hanyalah untuk orang Islam. Kami mahu dihakimi dibawah hukum hudud  kerana ingin menjadi pengikut yang taat. Mengapa MCA dan Gerakan mahu  melarang? Undang-undang Syariah telah dipraktikkan di Negara kita dan ia  tidak langsung melibatkan masyarakat bukan Islam, jadi mengapa takutkan  hukum hudud?” beritahu Khalid Samad, ahli parlimen PAS Shah Alam kepada  Malaysia Chronicle.
Khalid juga mengecam Timbalan Perdana  Menteri, Muhyiddin Yassin kerana mengatakan Umno menyokong hudud tetapi  Negara tidak bersedia untuk melaksanakannya.
“Sebagai satu  bangsa, kita masih belum bersedia untuk hukum hudud, itu benar. Ini  adalah kerana kerjasama Umno dengan MCA dan Gerakan dan parti-parti  komponen untuk memburukkan hudud, agar masyarakat bukan Islam dan juga  segelintir umat Islam takutkannya. Jika Umno dan BN tidak mempolitikkan  hukum hudud, mendidik masyarakat awam mengenainya adalah lebih mudah.  Pemimpin-pemimpin agama tidak mempunyai masalah kerana mereka celik  agama. Ahli-ahli politik yang memporak-perandakan keadaan,” kata Khalid.
Kelantan
Hukum  hudud merupakan salah satu cabang daripada undang-undang Islam yang  melibatkan 6 kesalahan jenayah, dan ia amat digeruni kerana melibatkan  hukuman seperti rejam sehingga mati, pemotongan anggota badan dan  sebatan. 6 jenayah hudud adalah mencuri, merompak, berzina, fitnah zina,  minum arak dan murtad.
Dalam Pakatan, Ketua Pembangkang Anwar  Ibrahim yang juga merupakan ketua umum PKR, menyokong hukum hudud dan  Kelantan patut melaksanakannya selagi hak-hak masyarakat bukan Islam  dilindungi sepenuhnya. DAP bagaimanapun tidak bersetuju dangan pendapat  beliau.
Keadaan dalam Pakatan bukanlah suatu yang baru dan  ketiga-tiga parti telah menyatakannya berulang kali. Jika PAS ingin  melaksanakan hukum hudud atau negeri Islam, ia perlu mempunyai majoriti  yang mencukupi di peringkat negeri mahupun kerajaan persekutuan. PKR  mahupun DAP tidak terikat untuk menyokong cadangan tersebut. Di  Kelantan, PAS mempunyai majoriti yang mencukupi kerana hanya 10 peratus  daripada penduduknya adalah bukan Islam.
Akan tetapi, Nik Aziz  Nik Mat , Menteri Besar Kelantan tidak berupaya berbuat demikian kerana  kerajaan persekutuan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Mahathir  Mohamad telah mengeluarkan surat melarang perlaksanaan hukum hudud di  Kelantan. Nik Aziz telah mencabar Perdana Menteri, Najib Razak untuk  membatalkan surat tersebut, namun, tidak mendapat sebarang maklumbalas.- Malaysia Chronicle