Khamis, 22 September 2011

Kamera Perangkap Laju Kini Berdefinisi Tinggi



APA jua alasan pemandu kenderaan selepas ini tidak akan diterima kerana kamera perangkap had laju polis trafik yang terbaru berdefinisi tinggi (HD).

"Kamera LT120-20 merakamkan imej dengan jelas. Nombor pendaftaran kenderaan dapat dilihat dengan amat jelas.

"Jika imej diambil dari sudut kanan, pemandu dan penumpang juga dapat dilihat dengan begitu jelas," kaa Timbalan Ketua Trafik Persekutuan, ACP Mohd Fuad Abd Latiff kepada The Star di Bukit Aman di sini.

Ribuan pemandu kenderaan didapati memandu melebih had laju yang ditetapkan dalam tempoh empat bulan lalu.

Kesalahan tersebut berjaya dirakamkan menerusi lima kamera HD terbaru dan 36 alat pengesan kelajuan laser.

"Secara purata seramai 2,375 pemandu kenderaan dikesan memandu melebih had laju setiap hari. Kami juga masih dalam proses membeli sebanyak 25 kamera HD.

"Jika terdapat alat pengesan kelajuan lebih baik pada masa hadapan, kami tidak akan teragak-agak untuk menggunakannya," kata Mohd Fuad.

Kamera HD (LTI 20-20) buatan Amerika Syarikat (AS) itu dianggar berharga AS$6,000 (RM17,000) dan berupaya merakam imej kenderaan yang melanggar had kelajuan dengan resolusi tinggi dari jarak 1.2km pada kelajuan 320 kilometer sejam.

Bukti rakaman video itu dikumpul bersama dengan imej berdefinisi tinggi yang mengenal pasti model, nombor pendaftaraan dan lakaran wajah pemandu kenderaan.

Saman itu kemudiannya dihantar kepada pemandu kenderaan dalam tempoh tujuh hari beserta imej sebagai bahan bukti.

Sementara itu, menurut sumber dari bahagian penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pengguna kenderaan diingatkan supaya mengawal had kelajuan mereka kerana pihaknya giat melakukan pemantauan di jalan raya.

Anggota penguatkuasa JPJ akan merakam kesalahan pengguna jalan raya menerusi kamera berdefinisi tinggi dengan menempatkan dua kamera digital di setiap negeri.

"Kami menerima banyak bantuan daripada orang ramai yang menghantar gambar pengguna kenderaan yang melakukan kesalahan seperti menggunakan laluan kecemasan dan melanggar lampu isyarat," kata sumber itu.

Dalam tempoh tiga minggu di antara 14 Ogos hingga 7 September ini, seramai 2,970 pengguna kenderaa didapati melakukan kesalahan menerusi kamera yang digunakan anggota penguatkuasa JPJ manakala 406 gambar dihantar oleh orang ramai dalam tempoh enam bulan pertama.

"Pesalah trafik akan menerima notis meminta mereka hadir ke temu duga dalam tempoh dua minggu dan jika gagal berbuat demikian mereka akan dikenakan penalti sebanyak RM200.

"Jika mereka gagal tampil, mereka akan dihadap ke mahkamah," kata sumber itu.

Tambahnya, imej yang diambil menggunakan kamera digital berkualiti tinggi dan membenarkan anggota penguatkuasa JPJ memfokuskan nombor pendaftaran kenderaan yang diambil dari jarak jauh.

"Berlainan daripada polis trafik, kami tidak akan menghantar gambar yang dirakamkan kepada pengguna kenderaan melainkan jika mereka mengaku tidak bersalah," katanya.

- MSTAR