Oleh Zulkifli Yahaya
BUKAN   kali pertama bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin   mengkritik  pentadbiran kerajaan negeri Kedah. Bercakap dalam satu  majlis  forum di  Kota Bharu baru-baru ini beliau berkata, PAS  memerintah Kedah  dengan  BN memerintah   Kedah sama sahaja, tidak ada  sebarang perubahan. PAS, katanya, hanya   mengekalkan dasar yang telah  dilaksanakan oleh BN tanpa membuat sebarang   penambahbaikan. Saya  tidak mahu memberi reaksi hanya  kerana Kedah dikritik. Kritikan  ataupun muhasabah daripada sesiapa pun  amat dihargai, kerana kerajaan  negeri Kedah adalah sebuah kerajaan  manusia bukannya kerajaan malaikat.
 Parti yang menerajui kerajaan adalah PAS, sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasar dan matlamat.
   Justeru tidak ada barang sepicing hasrat mahu mengetepikan Islam   daripada melandasi wawasan dalam pentadbiran. Seperti yang dikatakan   tadi, wawasan yang ideal ini dilaksanakan oleh sekumpulan manusia. Ia   ada masalah dan kelemahan. Namun menyamakan PAS dan BN dalam memerintah   Kedah, ia dakwaan yang merapu. Apatah lagi mendakwa PAS hanya   mengekalkan dasar BN tanpa sebarang penambahbaikan. Di ruangan ini saya   sudah
 jenuh menyenaraikan dari  semasa ke semasa perbezaan dalam  pencapaian antara kerajaan negeri  sekarang dan dahulu serta  penambahbaikan yang telah dibuat.
  Pembaca mungkin sudah jemu  untuk menelaah jika butiran yang sama  diulang tetapi jika tidak diulang,  orang seperti Dr Mohd Asri dan  golongan tercicir maklumat ini akan  terus-menerus membuat tuduhan tidak  betul terhadap kerajaan negeri Kedah  pimpinan PAS.
  Dari aspek politik ia meletakkan PAS Kedah dalam  keadaan ‘bahaya’  kerana wujud persepsi buruk terhadap parti yang  memerintah, lantas  sebahagian rakyat akan berkirakira untuk menolak PAS.
   Bagaimana pentadbiran antara PAS dan BN boleh dikatakan sama jika hari   ini kerajaan lebih memberi tumpuan kepada pembangunan insan yang   berteraskan Islam berbanding dahulu yang hanya menumpu kepada pembinaan   modal insan.
 Kerajaan mewujudkan  Kem Belia Sejahtera, Kem Bina  Insan, Kem Bina Sahsiah dan Kem Anak  Soleh yang telah mentarbiyah  beribu-ribu anak negeri ini menjadi insan  beriman dan bertakwa,  sedangkan dahulu tidak ada.
  Kerajaan kini membina sebuah kampus  tetap Kolej Universiti Insaniah  bernilai RM330 juta fasa pertama serta  menambah lebih 40 kursus baru,  pembelajaran sehingga ke peringkat doktor  falsafah sedangkan dahulu  tidak ada.
 Kerajaan kini memperkenal   dasar baru pembalakan iaitu tender terbuka. Dahulu projek diberi  secara  anugerah, hasil balak negeri tidak melebihi RM8 juta setahun.  Kini di  atas keluasan yang sama iaitu 2,340 hektar hasil balak  bertambah iaitu  RM35 juta (2008), RM38 juta (2009) dan RM53 juta  (2011).
 Kerajaan  memperkenalkan  dasar perbelanjaan berhemah, akibatnya sepanjang hampir  empat tahun  belum ada sehari kerajaan negeri memanjat tangga Putrajaya  untuk  berhutang dengan Pusat, sedangkan di bawah kerajaan lalu  berkali-kali  kerajaan negeri ‘meminta sedekah’ daripada Pusat akibat  kesuntukan  kewangan.
 Perbelanjaan berhemah juga  menyebabkan buat  kali pertama berlaku dalam sejarah kerajaan negeri  mempunyai lebihan  RM19 juta pada akhir 2010 me- ngatasi unjuran  defisit. Hal ini tidak  pernah berlaku pada zaman BN.
  Dasar tiada pemborosan dan  memaksimumkan hasil untuk rakyat jelata  (semestinya dengan mengetepikan  rasuah) bukankah itu daripada ajaran  Islam?
 Pada zaman BN duit  hasil  syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) digunakan untuk   membiayai program politik BN. Berkajang-kajang penyalahgunaan wang   tersebut telah didedahkan juga di ruangan ini secara bersiri terutamanya   Syarikat Seri Temin Development Corporation Sdn Bhd dan Permodalan   Kedah Berhad. Ia melibatkan jutaan ringgit. Jika GLC mencatatkan   keuntungan, duit tidak masuk ke kantung kerajaan negeri. 
Ahli   lembaga pengarah GLC dibayar elaun tetap tetapi kini hanya elaun  hadiri  mesyuarat yang diberi. Kalau dulu elaun lembaga pengarah GLC  mencecah  sehingga RM7 juta tetapi kini elaun lembaga pengarah tidak  sampai RM2  juta.
 Lagi perbezaan  ialah di bawah kerajaan PAS, sebahagian  keuntungan GLC dimasukkan ke  akaun kerajaan negeri untuk kebajikan  rakyat. Kira-kira RM35 juta  setahun dapat dikumpul daripada GLC. Hal ini  tidak berlaku dahulu.
 Apabila PAS memerintah kerajaan negeri turunkan cukai tanah. Akibatnya kerajaan hilang hasil cukai RM50 juta setahun.
   Meringankan beban rakyat, tidakkah ia satu unsur ajaran Islam?   Sekalipun hilang hasil RM50 juta setahun, hasil Kedah tetap bertambah.   Menurut statistik pada tahun 2007 hasil negeri ialah RM361 juta, RM357   juta tahun 2008, RM368 juta tahun 2009 dan RM490 juta tahun 2010. Di   mana tidak Islamnya kerajaan PAS Kedah?
  Kerajaan PAS perkenalkan  Skim Kafalah iaitu pemberian sagu hati kepada  waris keluarga miskin yang  meninggal sebanyak RM500 sebulan. Bantuan  untuk sekolah agama rakyat  (zaman BN dianggap sekolah melatih  pengganas), untuk guru agama tanpa  tauliah dan tok bidan kampung yang  tidak pernah diberi dahulu, diberi  pada zaman pemerintahan PAS.
  Ruangan ini terhad untuk  menyenaraikan lebih banyak perkara perihal  catatan kejayaan kerajaan  negeri berbanding dahulu. Terlalu banyak  perbezaan dan penambahbaikan.
  Jika  Dr Mohd Asri menganggap tiada perbezaan antara kerajaan BN dan PAS   kerana beliau tiada maklumat. Atau mengutip maklumat daripada tempat   yang salah. Saya tidak ada sumber rujukan bekas mufti itu mengenai   kerajaan negeri Kedah, cuma yang pasti catatan kejayaan kerajaan negeri   di bawah PAS tiada dalam Utusan Malaysia, TV3 apatah lagi kitab Tajul   Muluk dan Mujarrobat. 
 Datang  sendiri ke Urusetia Penerangan  Kerajaan Negeri untuk dapatkan info  sebenar. Atau layari Wartakedah.net,  akhbar harian edisi alam maya.  Kata pepatah Arab, ‘manusia sering  menjadi musuh terhadap apa yang dia  tidak tahu.’