FMT | Suatu ketika, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memeranjatkan  banyak pihak apabila dengan tidak semena-mena beliau mencadangkan  ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC).
Tujuan  dibentuk PSC ialah bagi mendapatkan persetujuan semua pihak, kerajaan  dan pembangkang, ke atas reformasi dalam pilihan raya sebagai mengambil  jalan tengah berikutan tuntutan lapan perkara yang diterajui oleh Bersih  2.0.
Tetapi pada ketika yang lain, tidak sampai 48 jam kemudian,  beliau mengendurkan pandangannya dengan menyatakan tidak ada cacat  celanya dengan sistem pilihan raya dewasa ini.   Beliau hanya  mencadangkan ditubuhkan PSC memandangkan beberapa pihak menuntut dibuat  perubahan dalam sistem itu.
Sikap berdolak dalih yang  sering berlaku daripada Najib, tidak sepatutnya menimbulkan kehairanan.  Najib tidak akan berkata demikian jika timbalannya Tan Sri Muhyiddin  Yassin tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengannya dengan  menyatakan pilihan raya di Malaysia sentiasa berjalan dengan baik.
Cadangan  PSC oleh Perdana Menteri itu kata Muhyiddin, hanyalah untuk memperbaiki  proses pilihan raya. Kenyataan terbuka Muhyiddin pada 16 Ogos lalu,  datang sehari sebelumnya, merupakan suatu tamparan yang hebat kepada  Najib.
Langkah berani reformasi pilihan raya
Beliau nampak ikhlas apabila mengumumkan cadangan PSC itu pada 15 Ogos, apabila beliau berkata:
“Jawatankuasa  itu akan berbincang mengenai reformasi dalam sistem pilihan raya yang  perlu dilaksanakan bagi mencapai persetujuan yang tidak berat sebelah  tanpa apa-apa keraguan bahwa wujudnya manipulasi daripada pihak  kerajaan.”
Najib juga menekankan bahawa pentadbirannya tidak akan dibentuk kecuali benar-benar dipilih oleh rakyat.
Kenyataan-kenyataan  ini bermakna beliau mengakui terdapatnya kelemahan dalam struktur  pilihan raya dan kepincangan ini sudah cukup untuk membentuk sebuah  Jawatankuasa Terpilih Parlimen.
Dan keazaman Najib untuk  mendapatkan persetujuan dan memerintah hanya jika “benar-benar dipilih  oleh rakyat” merupakan manifestasi dari keinginan untuk memperbetulkan  kesilapan yang sudah sekian lama menunggu untuk diperbaiki.
Dalam  menghadapi keberanian usaha untuk memberi sedikit nafas lega kepada  sistem demokrasi di negara ini yang dapat diterima oleh seluruh rakyat,  kenyataan Muhyiddin yang bercanggah dengan bosnya memeranjatkan banyak  pihak.
Tetapi apa yang lebih memeranjatkan ialah apabila Najib  membuat pusingan U supaya selari dengan pandangan timbalannya apabila  beliau mengulangi kenyataan Muhyiddin bahawa sistem pilihan raya kita  adalah telus dan boleh dipercayai.
Bercakap pada satu majlis  berbuka puasa pada 17 Ogos lalu, Najib menafikan bahawa cadangan PSC ini  merupakan satu pengakuan terhadap kelemahan yang terdapat dalam pilihan  raya.
Seterusnya beliau berkata, “kita akan memperbaiki proses  pilihan raya, jika ianya dipertikaikan.  Kita tidak mempertikaikannya  tetapi untuk memuaskan hati setengah-tengah pihak, kita akan laksanakan  beberapa perubahan dalam sistem itu.”
Kenyataan yang tidak bertenaga ini tidak layak buat seorang Perdana Menteri.  Jika tidak ada kesilapan, mengapa perlu diubah?
Membuat perubahan hanya kerana ada orang membuat aduan? Tidakkah Perdana Menteri mempunyai pendirian dan pegangannya sendiri?
Membentuk  sebuah PSC adalah perkara serius yang berlaku apabila timbul  perkara-perkara yang tersangat penting yang perlu di bahas secara  terperinci di Parlimen.
Adalah suatu tindakan yang dangkal  apabila Perdana Menteri mencadangkan jalan penyelesaian seperti itu  dibuat terhadap aduan-aduan berkenaan dengan sistem pilihan raya, yang  menurut pendapatnya adalah baik.
Sudah pasti seorang Perdana  Menteri tidak bermaksud seperti apa yang beliau katakan – membentuk PSC  semata-mata untuk menutup mulut para pengkritik.
Terpaksa membuat pusingan U
Dalam hal ini, tidakkah jelas bahawa Perdana Menteri tunduk kepada pendirian Timbalan Perdana Menteri yang bersikap tegas?
Mengimbas  kembali pentadbiran selama dua tahun Najib, tidak dapat tidak kita  melihat permulaannya agak gah tetapi sedikit demi sedikit berakhir  dengan lemah dan pendiriannya yang teragak-agak, sama seperti perdana  menteri sebelumnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Perubahan-perubahan  yang hendak dilakukan oleh Najib kelihatan betul, reformasi politik di  bawah panji-panji 1Malaysia untuk menyatupadukan rakyat dan transformasi  ekonomi melalui menggugurkan perlindungan dan bantuan yang berasaskan  bangsa bagi memulihkan ekonomi.
Tetapi beberapa siri kenyataan  yang bersifat sombong dan degil daripada kalangan anggota partinya  (Umno) sendiri telah membawa kepada transformasi hanya berbentuk slogan  semata-mata.
Ditengah-tengah kekecewaan ini, sikap Najib yang  secara tiba-tiba mahu membuat perubahan dalam pilihan raya dilihat  sebagai langkah strategik untuk meraih kembali keyakinan dari golongan  masyarakat menengah.
Beliau bimbang kehilangan sokongan dari  golongan masyarakat ini memandangkan beliau telah memberi amaran keras  terhadap gerakan Bersih 2.0 terutamanya, dan kekejaman dan ketidakadilan  semasa menangani isu perhimpunan Bersih.
Namun masih belum  terlambat, jika Najib dapat menggunakan pengaruhnya sebagai Perdana  Menteri bagi membawa perubahan yang bermakna dalam sistem pilhan raya  yang telah kehilangan kredibilitinya.
Kuasa PM
Tambalan pula, seorang Perdana Menteri diberi kuasa penuh oleh Perlembagaan untuk melantik atau menggugurkan anggota kabinetnya.
Sebarang  usaha ke arah memulihkan perlembagaan sudah pasti akan disokong dan  mendapat sokongan daripada bukan sahaja mereka yang berfikiran waras  dalam partinya tetapi juga sokongan dari golongan lain termasuk  ahli-ahli pembangkang.
Memperbetulkan kesalahan-kesalahan dalam  sistem pilihan raya tidak semestinya menjejaskan partinya, tetapi kesan  penerimaan baik dan penghormatan yang terhasil dari tindakan ini (yang  tentunya berupa undi), lebih dari cukup untuk menggantikan undi yang  hilang.
Di samping itu, menang atau kalah, Najib akan menerima kedudukan yang mulia dalam sejarah Malaysia sebagai seorang Perdana
Menteri yang telah berjasa kerana memulihkan demokrasi dan sistem pilihan raya bagi rakyatnya.
Beliau masih mempunyai masa dua tahun sebelum pilihan raya mencapai tarikh luput pada pertengahan 2013.
Kenapa  Najib harus menolak peluang untuk berkhidmat secara saksama dengan  menganjurkan pilihan raya yang tergesa-gesa, tidak adil dan manipulasi  serta akan menanggung risiko kehilangan segala-galanya; dirinya,  partinya dan rakyatnya?