Ahmad Tajdid      | 
SALAH  satu daripada lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah penggunaan  dakwat kekal  kepada mereka yang telah membuang undi. Tuntutan penggunaan  dakwat  kekal ini telah disuarakan oleh Bersih bagi tujuan menghalang   pengundian dua kali. Amalan ini telah dipraktikkan oleh beberapa negara   termasuk India, negara pengamal demokrasi terbesar dunia.
Suruhanjaya  Pilihan Raya (SPR) pada awalnya bersetuju dengan  penggunaan dakwat  kekal ini. Malah kerajaan BN yang menang selesa pada  Pilihan Raya Umum  (PRU) 2004 turut mempersetujuinya.  Timbalan Menteri  di Jabatan Perdana  Menteri, Dato' Abdul Raman Suliman dalam jawapannya  di Dewan Rakyat  pada 5 September 2007 berkata, keputusan untuk  menggunakan tanda dakwat  di kuku atau jari tangan pada PRU ke-12 (8 Mac  2008) bertujuan  meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan SPR  dalam  mengendalikan pilihan raya.
"Kita mahu rakyat percaya 100 peratus  bahawa proses demokrasi  sememangnya dilaksanakan di negara ini. Atas  sebab itu, SPR menggunakan  dakwat supaya tidak ada tuduhan di buat ke  atas suruhanjaya itu walaupun  memang tiada sebarang (asas) pun,"  katanya menjawab soalan tambahan  Datuk Ronald Kiandee (BN-Beluran) pada  sesi soal jawab Dewan Rakyat.
Menjawab soalan asal Dato' Dr. Tan  Kee Kwong (BN-Segambut), beliau  berkata, SPR akan melaksanakan  penggunaan dakwat kekal pada PRU ke-12.
"Ini bermakna setiap  pemilih akan dicalitkan dengan dakwat kekal di  atas jari telunjuk  tangan sebelah kiri sebelum diberikan kertas undi  setelah namanya  disahkan terdapat dalam daftar pemilih SPR yang  digunakan untuk pilihan  raya umum akan datang," katanya.
Bagaimanapun janji SPR dan  kerajaan BN itu tidak kesampaian kerana  hanya 4 hari sebelum PRU ke-12  yang berlangsung pada 8 Mac 2008, negara  dikejutkan dengan sidang  akhbar bersama Pengerusi SPR, Tan Sri Ab.  Rashid Ab. Rahman; Ketua  Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; dan Peguam  Negara, Tan Sri Abdul  Ghani Patail.
Pada sidang media itu, Abdul Rashid mengumumkan  keputusan SPR  membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal itu kerana  kononnya  terdapat pihak tertentu dari Malaysia telah membeli dakwat itu  dari luar  negara dan merancang untuk mencalitkannya pada kuku pengundi  di luar  bandar bagi menimbulkan syak wasangka mengenai status mereka.
Malah  menurutnya lagi, beberapa individu telah ditahan kerana disyaki   membawa masuk dakwat kekal tersebut bagi mensabotaj perjalanan pilihan   raya.
Bagaimanapun tindakan SPR itu tidak disenangi anggota  komponen BN  khususnya Gerakan. Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr.  Koh Tsu Koon  pada 5 Mac 2008 berkata, tindakan SPR membatalkan  penggunaan dakwat  kekal sedikit sebanyak menjejaskan tanggapan baik  pengundi terhadap  kerajaan.
Menurutnya, walaupun SPR sebuah  badan bebas, namun segala yang  diputuskan oleh suruhanjaya itu sering  disalah anggap sebagai keputusan  kerajaan BN.
"Justeru tindakan  (terbaru) ini juga akan dilihat sebagai kelemahan  kerajaan sedangkan  keputusan itu dilakukan oleh SPR," katanya kepada  pemberita.
MCA  turut menyatakan rasa kesal dan mempersoalkan keputusan SPR   membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal pada saat-saat akhir   sebelum hari pengundian.
Pengerusi Bilik Gerakan Pilihan Raya MCA  Pusat, Wong See Wah berkata,  SPR seharusnya mengkaji penggunaan dakwat  berkenaan sebelum  melaksanakannya dan bukan membatalkan cadangan pada  saat-saat akhir.
"Kami juga marah dengan tindakan sesetengah  pihak yang terlibat dalam  penyeludupan dakwat kekal dengan niat untuk  menimbulkan kekeliruan dan  syak wasangka mengenai status pengundi,”  katanya kepada pemberita.
Bagaimanapun sehari kemudiannya,  komen-komen menyokong tindakan SPR  itu mula dilaporkan media pro-BN  guna mempengaruhi pendapat umum.
Rencana Pengarang Utusan  Malaysia pada 6 Mac walaupun menyifatkan  tindakan itu sebagai 'satu  kejutan' tetap memberikan sokongan kepada SPR  yang disifatkan "telah  mengambil keputusan yang betul" dan "berani  mengambil tindakan tidak  popular demi menegakkan keadilan".
Akhbar milik Umno itu yakin  dengan penjelasan SPR dan polis kononnya  ada rancangan pihak terbabit  hendak mencalit dakwat kekal pada kuku  pengundi di kawasan luar bandar.
"Bayangkan  jika SPR memandang ringan perkara ini. Bagaimana jika  pihak tertentu  itu berjaya memperdaya dan mencalit dakwat pada kuku  pengundi berdaftar  di kawasan luar bandar itu adalah pengundi yang  berhasrat mengundi BN.
"Bagaimana  dia hendak dibenarkan masuk ke pusat mengundi jika kukunya  sudah  dicalit dakwat. Sudah tentu dia tidak dibenarkan mengundi.
"Kekecohan  tentu berlaku dan keselamatan pengundi dan penyokong  parti-parti  politik tidak terjamin. Perkara yang sama juga tentu tidak  digemari  oleh parti pembangkang jika perbuatan sabotaj ini terkena  kepada  pengundi yang mahu menyokong mereka," akhbar itu berhujah.
Sentimen sama dikongsi Najib Razak yang ketika itu menjawat Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.
Sambil  menyifatkan tindakan SPR itu sebagai tepat, Najib menegaskan  dakwaan  kononnya mungkin berlaku unsur sabotaj untuk menimbulkan  kekecohan pada  hari mengundi.
Menurutnya, ada pihak boleh mempengaruhi  sesetengah pengundi untuk  menggunakan dakwat yang sama pada kuku jari  sehingga menyebabkan mereka  tidak layak mengundi.
"Kalau tidak  layak mengundi, kita telah menafikan hak mereka di bawah  Perlembagaan  Persekutuan dan akan timbul banyak kekecohan dan  ketegangan pada hari  mengundi.
"Jadi tindakan SPR ini merupakan satu langkah yang amat  tepat,” kata  Najib selepas menghadiri majlis peneroka bersama pemimpin  dan pelancaran  Hotel Felda Residence di Kuala Terengganu pada 5 Mac  2008.
Setiausaha Agung Umno, Radzi Sheikh Ahmad pula menyifatkan  penggunaan  dakwat kekal akan mewujudkan banyak masalah apabila para  pengundi  menolak peraturan baru tersebut pada hari pembuangan undi.
"Mengikut  peraturan yang dicadangkan oleh SPR, seseorang pengundi  diberi pilihan  sama ada mencalit dakwat di kuku dan jika tidak mahu,  mereka perlu  menandatangani borang yang ditetapkan.
"Bagaimanapun, pengundi  juga berhak menolak untuk tidak  menandatangani borang itu dan akhirnya  kertas undi diberi juga. Inilah  yang mengelirukan orang," katanya.
Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein turut melihat keputusan SPR itu sebagai munasabah.
"SPR  merupakan satu badan bebas. Sekiranya tindakan ini dapat  menghalang  kemunculan dakwat yang mencurigakan dan boleh menggugat  ketelusan  pilihan raya, maka kami Pemuda tidak ada masalah dengan  keputusan itu,"  katanya dipetik Utusan Malaysia.
Ketua Penerangan Umno, Muhammad  Muhd. Taib pula percaya SPR bertindak  demikian selepas menyedari  terdapat cubaan untuk menggagalkan  pelaksanaannya semasa proses  pengundian.
"Apa yang membimbangkan, sekiranya dilaksanakan juga  sedangkan semua  dakwat yang telah dibeli dari luar negara itu sudah  diedarkan serta  digunakan, ia boleh mencetuskan kekacauan pada hari  pengundian kelak,"  ujarnya.
Manakala Ketua Puteri Umno, Noraini  Ahmad turut menyambut baik  keputusan SPR itu kerana bimbang berlaku  penipuan sekiranya cadangan itu  diteruskan.
Setiausaha Kerja  Umno, Husainay Hashim pula dilaporkan berkata,  pembatalan cadangan  penggunaan dakwat kuku tidak perlu dipertikaikan  kerana dibuat demi  menjamin kelancaran proses pengundian.
Ketua Biro Undang-Undang  Wanita Umno, Kamelia Ibrahim berkata, dakwat  itu digunakan sebagai  ‘senjata’ oleh pihak tertentu untuk menghalang  pengundi berdaftar  menunaikan tanggungjawab mereka.
Menteri Besar Selangor, Dr.  Mohamad Khir Toyo berpendapat, proses  pembuangan undi sebelum ini lebih  sesuai digunakan daripada menggunakan  tanda dakwat kekal di kuku.
"Lebih  baik kita mengadakan pilihan raya seperti biasa jika  penggunaan dakwat  ini bakal menimbulkan masalah dan 'mengancam  keselamatan negara',"  katanya mengulangi kata-kata hikmat pemimpin Umno  dan BN.
Akhirnya  Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi meminta  semua pihak  akur dengan keputusan SPR yang membatalkan penggunaan dakwat  kekal  kerana ia dibuat bagi melancarkan proses pilihan raya umum.
Menurutnya, langkah SPR itu bukanlah satu penipuan seperti yang didakwa oleh pembangkang.
"Ini  bukan kali kedua atau ketiga kita terlibat dalam pilihan raya  tetapi  dah masuk 12 kali.
Kemenangan kita dalam pilihan raya adalah   berdasarkan kepada kerja kuat, kepercayaan rakyat dan bukan kerana kita   menipu," katanya penuh yakin.
Begitulah bersemangatnya para  pemimpin Umno mempertahankan langkah  SPR dan sekali lagi faktor  'keselamatan negara' dijadikan hujah untuk  menyokong sikap 'flip-flop'  SPR itu.
Bagaimanapun cerita sebenar pembatalan penggunaan dakwat  kekal itu  didedahkan sendiri Ab. Rashid ketika merasmikan "Seminar  Kebangsaan  Pilihan Raya 2008: Demokrasi Berjalan" anjuran Unit Kajian  Penyelidikan  Pilihan Raya, Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan,  Universiti Islam  Antarabangsa (UIAM) pada 17 Mei 2008, kira-kira dua  bulan selepas PRU12  berlangsung.
Ketika menjawab soalan Ketua  Editor Malaysiakini, Steven Gan,  Pengerusi SPR itu mengakui bahawa  keputusan membatalkan penggunaan  dakwat kekal di kuku jari pengundi itu  dibuat atas ARAHAN KABINET.
"Kabinet menolak cadangan (penggunaan dakwat kekal) itu. Cadangan peraturan itu ditolak kabinet," kata Ab Rashid selamba.
Bagaimanapun  Ab. Rashid mendakwa kononnya anggota PAS membeli dakwat  tersebut  daripada Thailand dan merancang mencalitkannya pada kuku jari   pengundi-pengundi tua di kampung-kampung.
"Umno juga beli dakwat tersebut," dakwanya.
Beliau turut menyatakan pandangan bahawa penggunaan dakwat kekal itu bertentangan dengan artikel 119 Perlembagaan.
Pengakuan  Ab. Rashid ini tentunya mengejutkan. Jelas SPR yang  sepatutnya  bertindak sebagai badan bebas telah tidak bersikap bebas  kerana  menerima bantahan kabinet. 'Keberanian' beliau untuk mendedahkan   perkara sebenar bukan suatu yang mengejutkan kerana Ab. Rashid   sebenarnya bersara daripada jawatannya pada hujung tahun 2008.
Pengakuan  terbuka Ab. Rashid yang disiarkan Malaysiakini dan  Harakahdaily  tentunya menarik minat para pemimpin Pakatan Rakyat.  Setiausaha Agung  DAP, Lim Guan Eng dalam sesi soal jawab di Parlimen  pada 24 Jun 2008  mendakwa Ab. Rashid bersama-sama Peguam Negara dan  Ketua Polis Negara  telah menipu rakyat dengan menyatakan keselamatan  sebagai sebab  penggunaan dakwat kekal dibatalkan sedangkan ia adalah  arahan kabinet.
Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz   yang memang terkenal dengan tabiat 'bersilat lidah'nya menafikan dakwaan   Ab. Rashid itu dengan berkata Jemaah Menteri tidak pernah mengarahkan   Ab. Rashid untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal dalam PRU ke-12.
Kata  Nazri, walaupun Jemaah Menteri tidak menyokong cadangan  penggunaan  dakwat kekal itu namun mereka hanya meminta Ab. Rashid  menimbangkan  perkara tersebut dengan mengambil kira pelaksanaannya  mungkin  bercanggah dengan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
"Perkara  ini berbangkit di mesyuarat Jemaah Menteri dua minggu  sebelum  pembubaran Parlimen," katanya dalam jawapan bertulis kepada  soalan Guan  Eng (DAP-Bagan).
Namun Nazri mendakwa keputusan sama ada untuk  meneruskan penggunaan  dakwat kekal atau tidak masih terletak pada SPR  sebagai autoriti yang  kompeten dan bebas, kononnya.
Tambah  Nazri, kerajaan juga belum bercadang untuk mengambil apa-apa  tindakan  terhadap Pengerusi SPR atas kenyataannya bahawa beliau telah  diarah  oleh Jemaah Menteri untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal.
Nampaknya  masing-masing pihak mengelak untuk bertanggungjawab dalam  isu ini. Ab  Rashid menyalahkan kabinet dan kabinet pula melalui parlimen  mendakwa  Pengerusi SPR berbohong.
Berbohong sudah menjadi lumrah pemimpin  BN dan sedikit demi sedikit  sudah mula ditiru golongan birokrat.  "Siakap senohong gelama ikan duri,  bercakap bohong LAMA-LAMA JADI  MENTERI," bait puisi Sasterawan Negara,  Allahyarham Dato' Usman Awang  mengukuhkan lagi tanggapan ini.
Oleh kerana tidak sanggup untuk dibohongilah Bersih 2.0 muncul dengan lapan tuntutan baru termasuk penggunaan dakwat kekal ini.
Pengerusi  SPR yang baru, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dalam satu  kenyataan  bertarikh 17 Januari 2009 mendakwa SPR tidak menolak  kemungkinan  menggunakan dakwat kekal dalam PRU akan datang selepas  penggunaannya  dibatalkan semasa PRU ke-12.
SPR sedang mengkaji kelemahan  penggunaan dakwat kekal itu untuk  proses penambahbaikan supaya  rancangan penggunaannya dapat diteruskan,  katanya.
Katanya, jika  penggunaan dakwat kekal pada kuku itu didapati mampu  menawarkan proses  pengundian lebih telus dan adil kepada pengundi, ia  mungkin digunakan  pada masa depan, katanya ketika meninjau proses  pengundian Pilihan Raya  Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu di Sekolah  Kebangsaan (SK)  Tengku Bariah, Pasir Panjang.
Kata Abdul Aziz, kajian tersebut boleh siap dalam tempoh empat tahun sebelum pilihan raya umum akan datang berlangsung.
Bagaimanapun  jelasnya, jika hasil kajian diperoleh lebih awal, SPR  akan  menggunakannya dalam mana-mana pilihan raya kecil jika ada.
"Lagi  cepat lagi baik. Jika cepat, kita akan mulakan dengan pilihan  raya  kecil jika ada sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13," ujarnya.
Itulah  janji Abdul Aziz. Tapi hingga kini tiada tanda-tanda dakwat  kekal akan  digunakan. Beliaupun sebenarnya mempunyai kecenderungan untuk  berbohong  seperti Pengerusi SPR terdahulu.
Ini menjadi alasan paling kukuh mengapa kita perlukan Bersih 2.0.
Ia  bukan sahaja untuk menuntut pilihan raya yang telus dan adil. Ia  juga  perlu untuk membersihkan negara daripada para pembohong dan  pendusta.