Itulah yang dapat dikatakan apabila  membaca jawapan bertulis Menteri Pertahanan Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada  soalan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat. 
Pesawat perang Angkatan Udara  Republik Singapura (RSAF) telah menceroboh ruang udara Malaysia sebanyak  2,508 kali sejak tahun 2008. Dalam tahun ini sahaja, iaitu dari Januari  hingga Mei, RSAF menceroboh sebanyak 19 kali. 
Apa tindakan Angkatan Tentera  Malaysia? Kita tidak tahu kerana Zahid hanya menyatakan bahawa Malaysia  telah dan sedang menangani pencerobohan tersebut melalui  'bantahan-bantahan diplomatik'. Sekali lagi kita katakan ia amat  memalukan negara dan rakyat.
Apakah kemampuan pertahanan  udara kita begitu lemah sehingga sebuah negara asing boleh dan terus  mencerobohi ruang udara kita tanpa tindakan tegas?
Khairy, yang terkejut dengan  pendedahan itu berkata pencerobohan ruang udara Malaysia oleh RSAF  melibatkan kedaulatan negara, walaupun ia hanya berlaku sekali.
Beliau mahu Kementerian  Pertahanan  memberi penjelasan lanjut memandangkan pihak Singapura jauh  lebih tegas dan berwaspada dalam melindungi ruang udara mereka. 
Katanya apabila jet-jet pejuang  dan helikopter Malaysia mendekati ruang udara Singapura, helikopter  perang dan jet pejuang mereka akan lantas ke udara dan siap siaga untuk  menangkis jika kita memasuki ruang udara mereka. 
Khairy berkata bantahan  diplomatik tidak mencukupi walaupun kita melakukannya sejak 2008, ia  jelas tidak menyekat atau menghalang RSAF daripada terus mencerobohi  ruang udara Malaysia.
Saya ingin tahu sama ada ATM  terutama TUDM mempunyai keupayaan atau kelengkapan canggih untuk  menagkis serangan udara, jika ianya berlaku, memandangkan kita hanya  mampu membuat bantahan diplomatik apabila ruang udara dicerobohi oleh  RSAF sebanyak 2,508 kali.
ATM sepatutnya menempatkan  kelengkapan menangkis serangan udara termasuk peluru berpandu  bumi-ke-udara, jika kita memilikinya, atau sekurang-kurangnya meriam  penangkis pesawat di Johor sebagai satu amaran kepada RSAF agar tidak  mencerobohi ruang udara Malaysia.
Malaysia tidak boleh  selama-lamanya 'beralah' tetapi mesti memperlihatkan ketegasan dan  kesungguhan dalam menangani sesuatu isu terutama yang melibatkan  keselamatan dan kedaulatan negara.
Saya tertarik melihat jawapan  Zahid mengenai pencerobohan oleh RSAF; iaitu pada tahun 2008 sebanyak  985 kali, 2009 iaitu paling banyak, 1,286 kali, 2010 sebanyak 218 kali  dan 2011 dari Jan-Mei sebanyak 19 kali. Tiada angka yang diberi sebelum  itu, mungkin tiada pencerobohan atau mungkin tidak dikesan oleh pihak  pertahanan Malaysia.
Hati kecil saya tertanya-tanya  sama ada pencerobohan oleh RSAF akan berlaku sekiranya Tun Dr Mahathir  masih PM Malaysia. Saya berpendapat Singapura tidak berani untuk  mencerobohi ruang udara Malaysia atau jika adapun mungkin jumlahnya  terlalu sedikit.
Saya tidak mahu menyatakan  bahawa pencerobohan sebegitu banyak berlaku kerana kepimpinan Malaysia  tidak tegas atau lemah, walaupun itu satu kemungkinan dan itulah yang  mungkin dirumuskan oleh rakyat.