Rayuan ditolak, Pak Habib diperintah bayar RM1.65j
Mahkamah  Rayuan hari ini memerintahkan penulis buku, Syed Hussein Al-Attas  membayar ganti rugi berjumlah RM1.65 juta kepada Perbadanan Johor  (JCorp) dan presidennya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, berhubung satu  saman fitnah.
Panel hakim Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud,  Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datuk Azhar Ma'ah sebulat suara menolak  rayuan penulis itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada  2001 yang mengarahkannya supaya ganti rugi itu dibayar kepada JCorp dan  Muhammad Ali yang juga ketua pegawai eksekutifnya.
Syed Hussein, 68, atau lebih dikenali sebagai Pak Habib, juga turut diperintah membayar kos sebanyak RM5,000.
JCorp,  Muhammad Ali dan ahli perniagaan Haris A Hamid telah menyaman Syed  Hussein sebagai defendan dengan menuntut ganti rugi, injunksi dan kos  berhubung fitnah dalam salah satu buku tulisannya.
Bagaimanapun,  mahkamah membenarkan rayuan Syed Hussein untuk mengetepikan perintah  Mahkamah Tinggi supaya beliau membayar ganti rugi RM250,000 kepada  Haris.
Mahkamah juga mengekalkan perintah injunksi yang  dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi bagi menghalang defendan atau ejenya  daripada terus menyiarkan kenyataan memfitnahkan ketiga-tiga plaintif  tersebut.- Bernama
Buku anti-Anwar diedar pada ulang tahun Umno
Serangan  ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diperhebatkan  dengan pengedaran buku berjudul 'Tuhan, Politik dan Seks' pada sambutan  ulangtahun ke-65 Umno di Kuala Lumpur malam semalam.
Buku setebal  555 halaman dalam bahasa Melayu itu dikarang oleh penulis kontroversial  Syed Hussein Al Attas dan diberikan kepada semua hadirin sebagai  cendermata yang dimasukkan dalam sebuah beg.
Ia dikatakan mempunyai butiran terperinci dakwaan salah laku dan orientasi seks pemimpin pembangkang itu.
Pada  muka hadapan buku itu tertera gambar palsu Anwar yang berambut panjang  perang, bergincu serta berkuku merah dan label “18SX”.
Antara lain, buku itu mendakwa simbol PKR melambangkan biseksual.
Beberapa  gambar Anwar ketika menjadi timbalan perdana menteri juga diterbitkan  semula bagi mendedahkan kononnya hubungan beliau dengan beberapa wanita.
Buku ini juga banyak memaparkan gambar dengan keterangan yang jelas juga mempersendakan ketua umum PKR itu.
Antaranya  gambar Anwar dan Azizah dengan keterangan: “Anwar Ibrahim tersenggih  setelah melarikan Azizah dan menikah di Siam. Bagaimanapun ibu Anwar,  Hajah Che Yang mengadakan kenduri doa selamat untuk mereka di rumah  mereka di Cerun Tok Kun, Bukit Mertajam.”
Jantan mahu, perempuan pun mahu...
Satu  lagi berbunyi: “Jantan mahu, perempuan pun mahu salam juga. Salahkah  jika kata Anwar biseksual? Tengok buruknya perangai Anwar semasa jadi  TPM”.
Turut dihentam dalam bukunya ialah Mursyidul Am PAS, Datuk  Nik Abdul Aziz Nik Mat. Syed Hussein memperuntukan satu bab dengan tajuk  “Nik Aziz: Ulamak Nyanyuk”.
Antara petikan yang dilihat  mempermainkan menteri besar Kelantan itu berbunyi: “Siapa kata saya  nyanyuk? Kalau saya nyanyuk tentu PAS tidak pilih saya kekal di kerusi  Mursyidul Am PAS untuk satu penggal lagi.”
Skandal presiden MCA  Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang mengaku bahawa beliau lelaki yang  terbabit dalam DVD seks juga disebut dalam buku itu.
Malah Syed Hussein memuji Chua sebagai pemimpin sebenar.
“Bila  dia berani mengaku dia ada skandal seks, dia dipilih menjadi Presiden  MCA, sungguh luar biasa keberanian Chua tetapi dia tak buat kerja luar  tabie,” tulisnya.
Syed Hussein, 74, juga dikenali sebagai Pak  Habib, adalah seorang penulis buku politik yang telah menghasilkan tidak  kurang 60 buah buku.
Namun tidak kurang juga pengkritik yang  menganggap beliau tidak layak digelar penulis politik dan melabelkan  tulisan picisannya itu lebih sebagai seorang penulis upahan.- Malaysiakini