Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini  diberitahu bahawa dua buku pelukis kartun Zulkiflee Anwar Ulhaq  diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana ia mempunyai  “tuduhan melamapau” yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam.
Dalam hujahnya berhubung saman  pelukis kartun itu yang popular dengan nama Zunar terhadap KDN, peguam  persekutuan Noor Hisham Ismail berkata buku-buku tersebut juga dilihat  sebagai “penghinaan ekstrim terhadap pemimpin negara”.
"Kesimpulan yang dibuat menteri  (dalam negeri) ialah kandungan kartun itu membawa tuduhan melampau dan  penghinaan ekstrim terhadap pemimpin negara termasuk sistem kehakiman.
"Buku-buku itu tidak boleh menyebabkan huru-hara awam tetapi mempunyai potensi bahawa mereka yang membacanya boleh dipengaruhi.”
Katanya, menteri berpuas hati  bahawa buku itu mempunyai “kecenderungan untuk mempengaruhi rakyat  membenci” pemimpin negara, sistem perundangan dan pegawai penguatkuasa.
Noor Hisham mewakili Menteri  Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan timbalannya, Datuk Abu  Seman Yusuf yang dinamakan sebagai responden dalam semakan kehakiman  berhubung pengharaman buku '1Funny Malaysia' dan 'Perak Darul Kartun'.
Permohonan difailkan pada 26 Julai tahun lalu oleh Zunar dan penerbitnya, Mkini Dot Com Sdn Bhd dan Sepakat Efektif Sdn Bhd.
Kedua-dua buku berkenaan diharamkan pada November 2009.
