Bekas Mufti Wilayah Persekutuan,  Dato Md Hashim Yahya berkata sumpah yang tidak dilakukan menurut hukum  syarak, diumpamakan sebagai kerja-kerja orang jahil.
Beliau diminta mengulas tindakan  salah seorang trio datuk T, Shazryl Eskay Abdullah yang melakukan  sumpah laknat di sebuah masjid di Sentul kira-kira pukul 4.15 petang  tadi.
Ulama terkenal itu berkata,  tidak ada peruntukan dalam undang-undang Islam yang membenarkan sumpah  seperti yang dilakukan Eskay, berhubung tuduhan seks terhadap Datuk Seri  Anwar Ibrahim.
“Dalam hukum qazaf, iaitu  peruntukan untuk sabitan kes zina dan liwat, pihak yang menuduh perlu  membawa empat orang saksi terlebih dahulu.
“Sekiranya gagal membawa empat saksi,  yang menuduh itu akan dikenakan hukuman qazaf sebanyak 80 rotan,”  ujarnya ketika dihubungi Keadilandaily.com.
Bagaimanapun, sumpah li’an iaitu  sumpah laknat itu pula katanya, hanya tertakluk antara suami dan isteri  sahaja dan tidak ada peruntukan selain itu dalam hukum Islam.
Tambah beliau, seseorang suami  yang menuduh isterinya berzina perlu melalui prosedur perbicaraan di  mahkamah terlebih dahulu di mana dia perlu mengemukakan empat saksi  seperti yang digariskan Islam seperti tidak fasik dan membuat dosa-dosa  besar.
Sekiranya tuduhan itu tidak  dapat dibuktikan, katanya, mahkamah kemudian akan memerintahkan supaya  kedua-duanya melakukan sumpah li’an.
“Mereka yang menuduh isterinya berzina tapi tak dapat bawa empat saksi, maka dibolehkan kedua-duanya bersumpah.
“Kalau tak dapat bawa empat  saksi suami dan isteri melakukan zina, dengan perintah mahkamah boleh  dilakukan sumpah li’an. Kalau mahkamah panggil untuk kedua-duanya  bersumpah, mahkamah akan perintah untuk buang kes itu. Siapa yang  bersalah, itu diserahkan kepada Allah untuk menentukan.
“Tetapi ia dengan perintah  mahkamah, tak boleh sendiri-sendiri bersumpah. Kalau kedua-duanya  bersumpah, yang menuduh tidak kena 80 rotan dan yang dituduh pula tidak  kena had zina. Qadi pula akan menjatuhkan fasakh iaitu tidak boleh rujuk  sampai bila-bila.
“Kalau bukan arahan mahkamah, apa faedahnya bersumpah. Ia tidak kena dengan hukum syarak,” ujar beliau.
Tambah beliau, dalam kes  bersumpah yang cuba dilakukan Eskay, ia tidak memberi sebarang ke atas  pendakwaan dari sudut sistem perundangan Islam, malah semakin  mengelirukan umat Islam.
“Ia tidak memberi kesan apa-apa,  tambah mengelirukan umat Islam dan menyebabkan fitnah itu berterusan.  Ini menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.
“Ini kerja orang jahil dan tidak ada faedah.
“Kalau sumpah, orang hisap  dadah, mencuri dan merompak pun boleh bersumpah dengan begitu mudah dan  terlepas dari hukuman,” ujarnya.
Beliau mengulangi kisah yang  terjadi kepada Hilal Bin Umaiya yang menuduh isterinya berzina dengan  Sharik Bin Sahma seperti yang diceritakan dalam surah An Nur, ayat 6.
“Rasulullah kemudian berkata  kepada Hilal, sekiranya dia tidak dapat membawa empat saksi, Hilal akan  dihukum dengan 80 sebatan, walaupun Hilal mendakwa melihat dengan mata  sendiri isterinya melakukan zina,” ujarnya.
