LAPORAN kemas kini tiga kumpulan hak  asasi Malaysia, Suara Rakyat  Malaysia (Suaram) menjangkakan tuntutan  mahkamah berkenaan rasuah yang  difailkan ke atas syarikat senjata api  tentera laut Perancis DCNS akan  didengari di mahkamah terbuka dan  perbicaraan akan bermula pada Mei atau  Jun ini.
Ini  akan membuka jalan bagi rakyat Malaysia untuk  akhirnya mendapatkan  akses kepada butiran yang boleh dipersoalkan  mengenai perjanjian kapal  selam RM6.7bilion yang ditandatangani oleh  Kementerian Pertahanan  mereka pada tahun 2002, dan terus dirahsiakan  oleh Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Razak.
DCNS  merupakan  vendor kapal selam tersebut dan Najib telah dituduh memberi  keuntungan  kepada teman rapatnya, Razak Baginda dengan komisen 114 juta  euro  melalui perjanjian tersebut.
“Terdapat  bukti kukuh mengenai  rasuah dan antaranya adalah maklumat baru  mengenai rasuah baru yang  didedahkan semasa penyiasatan.
“Sebahagian  daripada ini boleh  menjadi sesuatu yang sensitif atau memalukan kepada  kerajaan Malaysia  tapi ini adalah sebahagian daripada proses untuk  membantu pembayar cukai  Malaysia mendapatkan semula wang mereka yang  hilang melalui perjanjian  korup,” kata Pengarah Urusetia Suaram,  Cynthia Gibrael kepada Malaysia Chronicle.
Pada   Disember 2009, Suaram memfail tuntutan awal terhadap DCNS di mahkamah   Paris untuk ‘rasuah aktif dan pasif, pertukaran untuk pertolongan dan   penyalahgunaan aset syarikat’ selepas gagal membuat sebarang kemajuan   dengan kerajaan Malaysia, yang enggan memberikan sebarang butiran   walaupun tidak henti-henti didesak oleh ahli-ahli pembangkang di   Parlimen.
Perjanjian   yang dipersetujui antara Najib yang merupakan Menteri Pertahanan  ketika  itu, dan DCNS melibatkan penjualan dua kapal selam Scorpene dan  satu  kapal selam Agosta kepada kerajaan Malaysia.
Di  bawah konvensyen  OECD 2000 di mana Perancis merupakan ahli, mana-mana  individu rakyat  Perancis ataupun syarikat Perancis yang didapati  terlibat dalam  perjanjian korup dengan kerajaan asing boleh dihukum 10  tahun penjara  dan didenda 150,000 Euro.
Keputusan  ini memberikan ruang terhadap  permohonan Suaram untuk mencuba dan  mendapatkan kembali wang pembayar  cukai yang hilang melalui transaksi  yang salah.
“Kami  telah  memohon agar hakim siasatan untuk mempengerusikan perbicaraan  terbuka.  Ini akan membuat perbicaraan itu lebih bebas dan kami pasti  akan  mendesaknya untuk mengarahkan lebih banyak penyiasatan dan  siasatan yang  lebih terperinci,” kata Cynthia dipetik.
Sememangnya,  seorang  hakim yang dilantik kerajaan Perancis mungkin kurang neutral   memandangkan DCNS yang berpengaruh ini merupakan salah satu syarikat   terbesar di Perancis.
Seks dan pembunuhan C4 Altantuya
Aspek   sensasi dari perjanjian taruhan tinggi ini adalah pembunuhan rakyat   Mongolia berusia 28 tahun, Altantuya Shaariibuu, seorang penterjemah dan   perantara yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah kepada Razak   Baginda dan syarikat Perancis tersebut.
Dia  dibunuh di Kuala  Lumpur dengan bahan letupan C4 di hutan cerang di  Shah Alam setelah dia  dikatakan cuba mengganggu Razak untuk bahagiannya  daripada komisen  tersebut.
Dua  daripada bekas pengawal Najib telah dijatuhi  hukuman gantung bagi  pembunuhan itu, tapi perbicaraan mahkamah mereka  telah dikecam sebagai  tidak adil.
Bekas-bekas  polis itu mendakwa  mereka dibayar RM100,000 untuk membunuh Altantuya,  tetapi testimoni ini  telah ditolak oleh hakim perbicaraan Malaysia,  yang juga menangkis  segala usaha oleh peguam pembela untuk bertanya  tertuduh, siapa yang  memerintahkan mereka untuk membunuh Altantuya.
Akhbar Perancis – La Liberation   melaporkan bahawa si rupawan Altantuya, yang boleh bercakap empat   bahasa termasuk Russia, memberitahu kedua-dua pembunuh itu bahawa dia   mengandung dan telah merayu agar dirinya tidak diapa-apakan sebelum   mereka menembaknya di kepala, mengikat C4 di tubuhnya dan kemudian   meledakkan bahan letupan yang hanya tersedia untuk tentera di Malaysia.
Seorang   penyiasat persendirian yang diupah oleh Razakmenyatakan bahawa Najib   yang bertemu Altantuya di pameran berlian di Singapura, dan mereka   mempunyai hubungan sebelum beliau ‘melepaskan’ Altantuya kepada Razak.
Tetapi   Altantuya akan dipertonjolkan dalam perbicaraan Perancis itu, bahagian   yang lebih besar dari perbicaraan itu akan berpusat kepada kapal selam   dan kos transaksi antara DCNS dan kerajaan Malaysia.
Kos perjalanan Razak dan Altantuya 2.5 juta Euro
Kemungkinannya,   di antara saksinya adalah bekas pengurus pentadbiran dan kewangan  DCNS,  Gerard-Philippe Menayas, yang telah disoal siasat oleh polis  Perancis  melibatkan kes serupa di Pakistan. Gerard telah mengaku  mempunyai bukti  untuk menyokong sogokan yang terlibat dalam perjanjian  Malaysia  tersebut.
Pada  mulanya, Amaris, anak syarikat DCNS dan Thales,  telah disyaki membayar  komisen sebanyak 114 juta euro kepada sebuah  syarikat Malaysia bernama  Perimekar, yang diterajui oleh isteri Razak.
Namun,   maklumat terkini menunjukkan bahawa bukan Armaris tetapi kerajaan   Malaysia yang telah membayar 114 juta euro kepada Perimekar, untuk   membolehkan syarikat Perancis itu memintas konvensyen OECD.
Perlu   diambil perhatian bahawa ia bercanggah dengan penjelasan yang  diberikan  oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Zainal Abidin Zin di  Parlimen pada  tahun 2006 di mana Zainal mengatakan bahawa kerajaan  Malaysia yang telah  membayar US$100 juta komisen bagi perjanjian untuk  membeli tiga kapal  selam tersebut.
Sementara  itu, dua bukti baru yang telah ditemui,  termasuk bayaran 30 juta euro  oleh DCNS kepada salah satu syarikatnya  sendiri dan bayaran 2.5 juta  euro kepada perantara yang masih tak  dikenali.
“Para  penyiasat kami masih menyiasat perantara tersebut  tetapi kami  mendapati bahawa sebuah syarikat bernama Gifen telah  ditubuhkan di  Malta oleh seseorang bernama Jean-Marie Boivin untuk  memudahkan  pemindahan kewangan bagi tujuan membiayai perjalanan Baginda  dan  Altantuya,” tambah Gabriel.

