TMI | WASHINGTON, 5 Mei — Presiden Barack Obama memutuskan untuk tidak  mengeluarkan foto-foto jenazah ketua rangkaian pengganas Al-Qaeda Osama  bin Laden, yang mati ditembak pasukan elit Amerika Isnin lalu, kata  White House semalam.
Pengumuman itu muncul selepas seorang pegawai kanan pentadbiran  memberitahu NBC News mengenai keputusan pihaknya tidak mahu melepaskan  foto bedah siasat dan Obama juga mendedahkan pendiriannya ketika temu  bual khas bersama program “60 Minutes” CBS semalam.
Media melaporkan bahawa White House telah mempertimbangkan syor  mengeluarkan gambar-gambar itu, sebahagian daripada bukti untuk  meyakinkan bahawa Osama telah terbunuh ketika serbuan ke atas sebuah  rumah agam yang dihuninya di timur laut Pakistan, awal pagi (waktu  Malaysia) Isnin lalu.
Ramai sangsi dengan operasi dan laporan kematian walaupun ada gambar awal menunjukkan Osama sudah terbunuh.
Bagaimanapun pegawai-pegawai White House berpandangan, gambar-gambar  itu sungguh mengerikan dan boleh mencetuskan rasa tidak senang di  kalangan mereka yang melihatnya.
“Adalah penting bagi kami untuk memastikan setiap gambar terperinci  seseorang yang ditembak mati di kepala tidak disebarkan sebagai satu  tindakan yang boleh mengapi-apikan keganasan baru ataupun sebagai alat  propaganda,” kata Obama kepada CBS News, demikian menurut jurucakap  White House Jay Carney.
Obama juga dipetik berkata, beliau berpandangan tindakan mengeluarkan  gambar terperinci akan menyebabkan risiko ke atas keselamatan nasional.
Ditanya mengenai responsnya berhubung reaksi sesetengah pihak di  Pakistan mengatakan Amerika Syarikat berbohong kononnya sudah membunuh  Osama, Obama berkata: “Sebenarnya kami sedang memantau reaksi dunia.  Tidak ragu-ragu bahawa Osama sudah terbunuh.”
“Sudah pasti tiada keraguan di kalangan Al-Qaeda bahawa dia sudah mati.
“Dan, kami tidak fikir satu gambar sahaja akan membawa perbezaan.  Akan ada orang yang menafikannya (kematian Osama,” katanya lagi. —  Agensi