
HarakahDaily | KUALA  LUMPUR, 10 Mei: Walaupun harga barang dijangkakan turun ekoran kenaikan  nilai ringgit namun harga gula dinaikkan yang sudah pasti bakal memberi  beban kepada rakyat, terutamanya kepada pejaja warung kecil dan  golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Anggota  Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli (gambar) berkata, kenaikan ini  tidak wajar bahkan menolak sama sekali sasarannya untuk menekan agar  orang ramai mengurangkan penggunaan gula untuk mengurangkan masalah  kesihatan.
"Teori  yang mengatakan kenaikkan harga gula boleh mengurangkan masalah  kesihatan yang berpunca daripada pengambilan gula yang berlebihan  haruslah diterapkan melalui pendidikan dan kefahaman, bukan dengan  menaikkan harga gula," jelas beliau yang merupakan bekas pensyarah  perubatan bahagian kesihatan awam di Fakuti Perubatan, Universiti  Kebangsaan Malaysia.
Beliau  yang juga merupakan Bendahari PAS pusat mengulas mengenai kenaikkan  harga gula sebanyak 20 sen menjadi RM 2.30 yang bermula hari ini  berbanding dengan harga sebelumnya RM 2.10.
Menurut  kerajaan, kenaikan itu sebahagian daripada langkah rasionalisasi, yang  akan membolehkan kerajaan menjimatkan RM116.6 juta.
Minggu lalu, harga petrol RON97 mengalami kenaikan 20 sen seliter.
Dalam  pada itu laporan Bernama memetik Ketua Setiausaha Kementerian  Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Mohd Zain Mohd  Dom berkata, langkah untuk merasionalisasikan harga runcit gula itu  dibuat selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Ekonomi hari ini.
“Kerajaan  telah membuat keputusan untuk merasionalisasikan subsidi dan dalam hal  ini, Majlis Ekonomi menetapkan subsidi tanggungan kerajaan untuk gula  perlu diturunkan lagi,” katanya.
Sebelum  ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberikan masa sebulan  untuk kerajaan mengurangkan harga barangan khasnya yang diimport ekoran  kenaikan nilai ringgit berbanding dollar Amerika.
Nilai  ringgit naik kepada bawah RM3.00 untuk satu dollar Amerika minggu lalu  iaitu kenaikan tertinggi sejak diikat pada kadar RM3.60 untuk satu  dollar Amerika sebelum ini.
Bagi  Setiausaga Agung DAP itu, jika nilai ringgit naik beerti harga barangan  yang dimport akan turun. Ia termasuklah gula dan petrol kerana Malaysia  menggunakan petrol yang diimport  kerana minyak yang dikeluarkan  berkualiti tinggi dan sesuai untuk dieksport.
Namun, harga barangan bukannya turun ekoran kenaikan nilai ringgit bahkan dinaikkan lagi oleh kerajaan.
"Gula  menjadi satu keperluan penting dalam kehidupan, ini kerana penggunaan  gula adalah menyeluruh dalam masyarakat kita terutamanya dalam bidang  makanan dan masakan," kata Dr Hatta.
Tegas  beliau lagi, gula tetap akan digunakan dan dibeli oleh rakyat walaupun  harga gula dinaikkan, ini akan menyusahkan lagi rakyat.
"Keperluan  Penggunaan gula yang penting dalam aspek barangan makanan seperti kuih  muih, minuman dan masakan akan memberi kesan kepada kenaikkan harga  barangan tersebut, hal ini disebabkan rantaian yang berpunca dengan  kenaikkan harga gula," katanya lagi.
Justeru  itu, beliau sangat kecewa dengan tindakan kerajaan yang dilihat cuba  menambah beban kepada rakyat setelah rakyat negara ini dikejutkan dengan  kenaikan 20 sen harga petrol RON 97 yang kini dijual dengan harga baru  RM2.90 seliter.
Oleh  itu beliau menggesa kepada kerajaan harus menimbang meneruskan strategi  jangka panjang untuk merasionalisasikan subsidi yang boleh menimbulkan  masalah kewangan yang lebih teruk kepada rakyat.