PELABUHAN  KLANG 8 MEI : Polis berjaya membatalkan ceramah anjuran Pakatan Rakyat,  namun gagal menghalang Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk  Seri Anwar Ibrahim dari bertemu rakyat jelata.
Ceramah Muafakat  Rakyat Anti Politik Fitnah & Lucah yang berlangsung di Markas PAS  Taman Teluk Gadung Indah malam tadi turut 'disertai' lebih seratus  anggota Polis dengan 3 buah trak, seolah- olah dalam operasi menangkap  pendatang tanpa izin.
Diketuai Ketua Polis Daerah Klang Assistant  Commisioner Mohammad Mat Yusop, mereka bertindak menghentikan program  ini atas alasan tiada permit polis.
Tindakan polis mematikan  sistem audio semasa Timbalan Presiden, Azmin Ali berucap menyebabkan  lebih seribu hadirin yang hadir memberontak.
Namun Azmin berjaya menenangkan keadaan dan berucap tanpa menggunakan sistem pembesar suara sebelum sekali lagi dihalang Polis.
"Jangan  takut, lawan tetap lawan. Lawan kita UMNO bukan pegawai Polis," kata  Azmin sebelum dihentikan buat kali ketiga oleh pihak polis beberapa saat  kemudian.
Ketibaan Anwar sejurus selepas itu diiringi dengan laungan reformasi oleh penyokong yang hadir.
Anwar kemudiannya hanya sempat berucap selama 5 minit sebelum menyuraikan majlis tersebut.
"Saya  tidak mahu ada masalah dengan dia (Polis) sebab dia pon terima arahan.  Jadi saya nak elak kerana kalau saya berkeras, yang susah ialah rakyat.  Tapi ini tak bermakna saya setuju. Sistem ini zalim. Ini jelas. Tak ada  sebab. Kita minta tempat, markas PAS semua tak boleh," kata Anwar.
Anwar turut menyeru agar hadirin tidak patah semangat dalam mengubah Malaysia pilihan raya kan datang.
"Sebab  itu saya ingin gesa saudara-saudara, jangan sedikitpun terhakis  semangat kita untuk lakukan perubahan. Ini negeri kita, kita mahu rakyat  dibebaskan. Biar yang atas hina kita tapi lawan tetap lawan," kata  Anwar sebelum menyertai hadirin melawat ke sekitar kawasan perumahan itu  bertemu orang ramai. -keadilandaily