Rabu, 13 April 2011

Mesej Khalid Kepada BN : Berpolitiklah Dengan Cara Lebih Matang


Kejayaan negeri Selangor bawah pimpinan Pakatan Rakyat yang menambat hati pengundi Sarawak menjadikan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim antara sasaran utama fitnah Barisan Nasional yang cuba meraih sokongan pengundi di negeri itu.

Khalid yang ditemui Tv Selangor hari ini melahirkan kekecewaannya dengan taktik BN itu yang sanggup menabur pelbagai fitnah mengenai kepimpinannya semata-mata untuk memastikan kelangsungan politik pemerintah.

"Itu adalah satu tindakan terdesak iaitu memburuk-burukkan (kita) tanpa asas dan fakta yang benar. Di Selangor kita lebih matang dengan perkara ini. Jadi kita harus mengambil pengajaran dan memastikan (kempen) seperti ini tidak harus digunapakai di Selangor dan Malaysia amnya,"kata beliau.

Dalam sesi dialog Bersama Masyarakat Kristian di Kuching semalam, Exco Selangor, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad semalam mendedahkan pelbagai bentuk fitnah yang direka cipta Barisan Nasional untuk memburukkan pentadbiran Pakatan di Selangor.

Ini dilakukan menerusi poster-poster yang dipasang khususnya di kawasan bandar dan ruang iklan dalam suratkhabar berbahasan Cina.

Antara fitnah yang ditaburkan adalah kerajaan Selangor kononnya menaikkan harga lesen penjaja di pasar dan wujudnya larangan penjualan arak di negeri ini.

Sambil tegas menolak fitnah sedemikian, Khalid berkata BN sepatutnya mencorakkan kempennya berasaskan isu yang disokong dengan fakta dan bukanya fitnah.

"Dari segi politik, sudah tentulah kita berpendapat, semua pihak akan bertanding dan pertandingan kita mestilah atas dasar bagaimana ingin membawa pembangunan yang terbaik untuk rakyat. Jadi sebab itu apa yang kami mahu tunjukan di Sarawak ialah sejauh mana usaha kita membangunkan Selangor (berhasil) jika dibandingkan dengan pemerintahan di Sarawak yang sudah lebih 40 tahun,"katanya lagi.

Khalid berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat exco di SUK Shah Alam hari ini.

Turut Hadir, Exco Pelaburan, perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Halimah Ali.

Teresa Kok juga turut menyeru BN berkempen dengan cara yang lebih matang dan tidak memutarbelitkan fakta untuk mengaburi mata pengundi.

"Saya ingin menyeru pihak BN agar berkempen khususnya di Sarawak kini, dengan cara yang lebih matang, bercakap benar dan bukannya melaporkan perkara yang salah untuk kepentingan politik berkempen kerana ia jelas satu tipu helah,"katanya.

Khalid yang berada di Sarawak sepanjang minggu lalu, berkata rakyat Sarawak amat kagum dengan corak pemerintahan Pakatan Rakyat.

"Sangat baik, rakyat Sarawak tertarik dengan konsep Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang mana menerusi konsep MES ini kerajaan negeri memberi harapan kepada rakyat bahawa sumber kekayaan negeri akan mengalir terus kepada rakyat dan mereka juga memang menerima baik konsep 'Hasil Negeri Untuk Rakyat' .

"Apabila saya berada di Sarawak dan menerangkan konsep ini mereka berharapkan konsep seumpama ini dapat dijalankan apabila pemerintahan baru berjaya ditubuhkan di Sarawak, dan untuk melaksanakannya, rakyat Sarawak perlu memlilih Pakatan Rakyat,"tambah Khalid lagi.