KENYATAAN MEDIA 
Pilihanraya  Negeri Sarawak 2011 membuktikan perjuangan menuntut  Keadilan untuk  semua tanpa mengira batas kaum mahupun kepercayaan  bukanlah tugas  mudah, namun ianya juga bukan mustahil. Walaupun tidak  mengecapi  keputusan yang diingini, kita berjaya menanam benih politik  murni agar  rakyat Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit, berani  melawan  kezaliman yang sekian lama membelenggu dan berusaha memperkukuh  amalan  Demokratik.
Hakikat yang tidak dapat dinafikan sepanjang tempoh  berkempen,  berbekalkan sumber yang terhad serta berilitizam dengan  kempen yang  bersih, Pakatan Rakyat tetap berjaya menembusi kawasan  pendalaman, yang  sentiasa dianggap kubu kuat Barisan Nasional.
Sungguhpun  demikian, sekali lagi kredibiliti dan integriti  Suruhanjaya  Pilihanraya tercalar kerana wujudnya laporan bahawa  Suruhanjaya itu  bertindak berat sebelah ataupun sengaja menutup mata  terhadap sebarang  penipuan ketika hari pengundian. Saya difahamkan  petugas Parti Keadilan  Rakyat dinafikan borang 14 di beberapa kawasan  sedangkan borang ini  penting untuk memastikan keputusan pilihanraya  bersih dari penipuan.  Selain itu terdapat juga laporan wujudnya usaha  membeli undi di  beberapa kawasan seperti Dudong, Bawang Assan dan  Meradong.
Selain  itu keengganan SPR untuk mengira semula undi di kawasan  Senadin  ternyata mengukuhkan lagi dakwaan ramai bahawa Suruhanjaya  Pilihanraya  bertindak demi kepentingan Barisan Nasional. Calon Parti  Keadilan  Rakyat, Dr Michael tewas dengan majoriti yang tipis iaitu 58  undi  sahaja. Mengapa enggan mengira semula tanpa memberi alasan yang   munasabah?
Keputusan ini bukanlah satu pengakhiran, bahkan  yakinlah ianya satu  permulaan kepada satu tuntutan perubahan yang jitu  dan menyeluruh.  Pastinya ini tidak dapat dicapai sekiranya rakyat  Sarawak tidak bersama  sama memastikan ianya terlaksana. Saya menyeru  kepada rakyat Sarawak yg  mahukan Perubahan dan cintakan Keadilan,  tingkatkan usaha, jangan  sesekali berputus asa, terus mara dan pastikan  regim yang korup ini  tumbang pada pilihanraya yg akan datang. Kepada  seluruh rakyat Sarawak  dan jentera Pakatan Rakyat, saya ucapkan terima  kasih dan syabas kerana  keberanian serta pengorbanan yg dicurahkan.  Dengan izin Allah,  kemenangan pasti tiba.
ANWAR IBRAHIM
