
KUALA  LUMPUR  : Ahli Dewan  Negara Senator Dr Syed Husin Ali tidak mahu  Kerajaan Malaysia  bersekongkol dengan Kerajaan British bagi menutup kes  Pembunuhan Batang  Kali pada 1948.
Syed  Husin dalam ucapannya pada sidang  Dewan Negara semalam menegaskan  empat ahli keluarga yang terlibat dalam  tragedi itu perlu diberikan  pengadilan.
"Empat orang dari  keluarga mangsa telah  mengambil tindakan membawa kes ini ke mahkamah  melalui syarikat guaman  Bindmans, dan menuntut supaya penyiasatan awam  dilakukan. Pihak Kerajaan  British masih tidak mahu meminta maaf atas  semua kekejaman dan  kezaliman yang dilakukan.
"Saya  meminta supaya Kerajaan Malaysia  tidak akan mengambil apa-apa tindakan  untuk bersekongkol dengan Kerajaan  British bagi menutup peistiwa kejam  di Batang Kali. Berikanlah keadilan  kepada mangsa serta keluarga  mangsa kezaliman dan kekejaman ini," kata  Syed Husin.
10  April lalu, akhbar 'The Guardian'  dari United Kingdom melaporkan  bahawa Kerajaan British menekan Kerajaan  Malaysia untuk menghentikan  siasatan Polis Di Raja Malaysia pada 1993  mengenai pembunuhan 24  pekebun getah di Batang Kali, Hulu Selangor dalam  satu operasi regimen  Tentera Bristish.
Menurut laporan  akhbar itu, PDRM  telahpun bekerjasama dengan Interpol dan sudahpun  merancang melakukan  lawatan ke UK pada tahun itu untuk menyoal-siasat  askar yang terlibat  dalam pembunuhan tersebut tapi dihalang Kementerian  Luar UK.
Malah, petisyen yang  dihantar kepada  Ratu Elizabeth 2 pada Disember lalu turut ditolak  walaupun Pesuruhjaya  Tinggi British ke Malaysia Simon Featherstone  menyatakan Kerajaannya  akan mengambil perhatian terhadap perkata  tersebut.
Keempat mereka, Loh Ah  Choi, Lim Kok,  Chong Nyok Keyu dan Wooi Kum Thai mendakwa menyaksikan  pembunuhan ke  atas ahli keluarga mereka dan mahu Kerajaan British  memohon maaf serta  melakukan inkuiri awam terhadap kejadian tersebut.
Dr Syed Husin mendedahkan betapa kerajaan Malaysia sendiri penah menutup siasatan itu sebelum ini.
"Pada  tahun 1970 ada percubaan oleh  Metropolitan Police di bawah seorang  dari Scotland Yard bernama  Detective Chief Superintendant Frank Willams  untuk dihantar ke Malaysia  bagi menyiasat perkara ini. Akan tetapi  siasatan ini ditamatkan oleh  Kerajaan Konservatif yang baru mengambil  alih kuasa kerana tidak mahu  sejarah hitam British ini didedahkan.
"Peristiwa  ini sering disebut sebagai  Mai Lai British. Mai Lai merujuk kepada  kekejaman serupa yang dilakukan  oleh tentera Amerika di Vietnam."
"Seorang  penulis British telah  menerbitkan sebuah buku bertajuk Slaughter and  Deception in Batang Kali  pada tahun 2009. Beliau menyatakan pada tahun  1994 beliau mendapat  nota-nota di antara dua orang pegawai tinggi dari  Pejabat Luar British  dengan seorang ketua polis dari Malaysia. Mereka  berbincang tentang  penutupan kes kezaliman ini," dedah Syed Husin.
Menurut  Bekas Timbalan Presiden Keadilan  itu lagi, hal ini menunjukkan betapa  keburukan Undang-Undang Darurat  Malaysia, yang juga merupakan pemegang  rekod Darurat paling lama di  dunia.
Justeru beliau menyatakan sudah tiba masanya undang-undang kuno ini dimansuhkan 
"Dengan  Perisytiharan 1948, Malaysia  mempunyai undang-undang darurat yang  paling lama sekali berkuatkuasa  dalam dunia. Selepas kebangkitan rakyat  di Tunisia, Mesir dan Algeria,  negara-negara tersebut mengumumkan  sudah atau akan memansuhkan  Undang-undang Darurat masing-masing.  Undang-undang mereka ini telah  berkuatkuasa hanya antara 20 hingga 40  tahun saja. Kita lebih 60 tahun.
"Demi  menegakkan demokrasi yang tulen di  negara ini, Kerajaan UmnoBn  hendaklah memansuhkan perisytiharan semua  Undang-undang Darurat ini.  Atau adakah kita hendak menunggu dulu  sehingga rakyat bangkit  beribu-ribu di jalanraya seperti di  negara-negara Arab itu?"kata  beliau.