Trio Datuk T  mungkin dikenakan  tindakan kerana kesalahan mengedar dan menayang video  seks melibatkan  pelaku yang dikatakan mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim,  kata polis. 
Timbalan  Pengarah  Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani  berkata  kemungkinan itu wujud berikutan siasatan mengikut Sekyen 292  Akta Kanun  Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah itu menjurus  kepada  mereka, pihak yang menayangkan video. Beliau berkata kertas siasatan kes itu  dijangka dihantar ke Pejabat Peguam Negara Khamis ini.
"Ada kemungkinan mereka akan didakwa  mengikut Sekyen 292 itu kerana ia menjurus kepada mereka, pihak  penayang."
"Namun  bukan polis  yang menentukan keputusan itu sebaliknya pejabat Peguam  Negara. Kami  akan adakan sidang akhbar nanti bila segalanya selesai,"  katanya ketika  dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
Ketika  ditanya  mengenai perkembangan kertas siasatan, beliau berkata masih  terdapat dua  lagi perkara yang perlu dikemaskini dan dilengkapkan dalam  siasatan  itu, sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan  susulan."Kalau boleh bagi pihak  kita  seawalnya hantar (kertas) itu pada Khamis ini...sementara itu kami   tunggu respon daripada pihak yang menyediakan dua perkara itu.
"Dua  perkara ini tidak boleh  didedahkan dahulu ketika ini kerana ia lebih  kepada pendakwaan dan  menganggu tugas pejabat Peguam Negara," katanya.
Ditanya  mengenai sama ada polis mempunyai  kuasa untuk menahan pelaku dalam  video seks itu, Acryl berkata: "Kami  (polis) tiada peruntukan  undang-undang untuk menahan mereka dan  mengambil keterangan.
"Kita  kena rujuk  kepada pejabat Peguam Negara untuk sebarang penelitian dan  semakan.  Mungkin mereka ada peruntukan undang-undang terhadap si  pelaku,"  katanya.Pada 21 Mac  lalu,  video itu dipertontonkan kepada beberapa wartawan terpilih oleh  satu  kumpulan dikenali sebagai "Datuk T" di Carcosa Seri Negara.
Ketua  Polis Negara Tan Sri Ismail Omar  baru-baru ini mengumumkan bahawa  rakaman video seks itu adalah tulen  selepas disahkan oleh pakar  tempatan yang memeriksa video berkenaan.
- Bernama