Kes Anwar : Politik Murahan Semakin Liar Di Malaysia
Esok perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersambung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hari  ini PERKASA dan satu lagi pertubuhan tajaan UMNO yang mengenali diri  sebagai Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) mengadakan tunjuk  perasaan hambar di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat.
Lima puluh  orang mendesak supaya Hakim Mohamad Zaibidin Mohd Diah tunduk kepada  tuntutan pendakwaraya untuk mengarahkan Anwar memberi sampel DNA  berhubung  tuduhan liwat terhadapnya.
Mingguan Malaysia  turut mendesak Anwar memberikan sampel DNA itu. Sekaligus, akhbar  kawalan UMNO itu menyertai PERKASA dan GAPS untuk membuka lembaran baru  dalam politik murahan lagi menghinakan.
Tindakan mereka bukan  sahaja membelakangkan sistem keadilan yang kononnya mereka mendokong,  tetapi lidah pengarang Utusan dan tunjuk perasaan itu jelas bertujuan   mempengaruhi hakim perbicaraan.
Anehnya, baik Utusan, PERKASA  atau pun GAPS serta blogger- blogger upahan UMNO tidak sekali pun  memberi komen, apatah lagi menganjurkan tunjuk perasaan  terhadap polis  kerana mendapatkan sampel DNA secara haram daripada Anwar.
Tidak pula mereka akur dengan keputusan itu yang dibuat oleh Hakim Mohamad Zabidin minggu lalu.
Tidak  pula mereka mendesak supaya tindakan diambil terhadap pegawai- pegawai  polis yang mempunyai niat jahat memperolehi tuala, berus gigi dan botol  air mineral dari Anwar secara tipu helah.
Berhubung dengan  tuntutan pendakwaraya berhubung sampel DNA itu, beberapa persoalan perlu  diajukaN kepada Pejabat Peguam Negara :
1. Kenapa perintah  mahkamah sedemikian tidak diperolehi sebelum perbicaraan bermula, lalu  kenapa sampel DNA itu diperolehi secara “bersembunyi.”
2.  Bukankah Hakim Zaibidin membuat keputusan bahawa sampel DNA itu  diperolehi secara tipu helah SELEPAS menimbang semua bukti dan hujah  pendakwaraya dan peguam bela
3. Adakah lojik secara tiba-tiba pendakwaraya mahu keputusan hakim itu di tarik balik bersandarkan fakta-fakta yang SAMA.
Antara  persoalan penting esok ialah sama ada wujud peruntukan undang- undang  untuk mahkamah memaksa Anwar menyerahkan sampel DNAnya.
Selepas  menjadi mangsa bukti dan keterangan yang direka cipta pada  perbicaraannya tahun 1998, Anwar dihumban enam tahun ke penjara, bagi  membolehkan Tun Mahathir Mohamad terus memegang tampuk pemerintahan.
Justeru, Anwar tidak boleh dipersalahkan jika  beliau AMAT meragui kewibawaan polis dan pihak berkuasa hospital kerajaan.
Seperti  perbicaraan pertama, kes kali ini sekali lagi menyaksikan perlakuan  pihak polis dan pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak hospital serta  Jabatan Kimia amat mencurigakan.
Peguam Negara Gani Patil harus  menuntut penjelasan daripada Ketua Polis Negara Ismail  Omar (atau  mantan KPN Musa Hassan) bagaimana seorang pegawai polis kanan yang  diperakui oleh SUHAKAM sebagai “berbohong” pada inkues badan itu boleh  dipilih untuk mengetuai siasatan terhadap Anwar.
Segala persoalan  ini menuntut jawapan, tidak kira sama ada menerusi lidah pengarang  Utusan mahupun pengamal- pengamal politik murahan upahan UMNO di PERKASA  Adan GAPS.
- tvs