Selasa, 29 Mac 2011
Sultan Selangor: Pembangunan ekonomi Selangor membanggakan
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa gembira baginda atas pencapaian cemerlang ekonomi Selangor dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat sekaligus menjadikan negeri ini penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Beta maklum bahawa ekonomi negara kini kembali berada di landasannya dan mengikut sumber Bank Negara Malaysia, kadar pertumbuhan bagi tahun 2010 dicatatkan berjumlah 7.2%. Meskipun perlahan, ia cukup untuk memberi harapan dan petunjuk bahawa pilihan dasar yang diambil adalah tepat. Lebih menggembirakan Beta ialah fakta bahawa negeri Selangor merupakan penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan jumlah 21%.” titah baginda.
“Pada tahun 2010, jumlah pelaburan industri bernilai RM 10.64 billion dengan 325 projek industri berteknologi tinggi diluluskan. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 47 projek berbanding jumlah projek pada tahun 2009.” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-empat Sidang Dewan Negeri Selangor kali ke-2, di Shah Alam.
Bertitah lebih lanjut, Sultan Sharafuddin berkata Selangor sebagai negeri maju pastinya akan menjadi tumpuan rakyat negeri lain untuk mencari peluang pekerjaan dan seterusnya membantu menjana ekonomi negeri,” titah baginda lagi.
Oleh kerana itu, baginda mengarahkan agar seluruh jentera pentadbiran negeri bekerja lebih kukuh bagi meningkatkan kepekaan dan kelancaran pengurusan untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Sebagai negeri maju yang mendapat banyak hasil, Program Merakyatkan Negeri Selangor (MES) perlu diperhebat ke peringkat seterusnya. Beta berharap Fasa Ketiga Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) iaitu sistem kredit mikro untuk kumpulan sasar di kawasan luar bandar dan pedalaman serta untuk masyarakat miskin di bandar dan pedalaman serta untuk masyarakat miskin di bandar akan segera digerakkan.” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, Kerajaan Negeri Selangor maju perlu diterjemahkan dengan erti kata sebenar agar rakyat menerima limpahan sebenar kekayaan negeri Selangor yang melimpah ruah.
“Beta difahamkan bahawa sebanyak RM 50 juta akan disalurkan di bawah Skim Kredit Mikro dengan nama SKIMSEL di bawah Yayasan Dar Al Qard Al Hasan untuk kumpulan sasaran pertama dan peruntukan sebanyak RM 20 juta yang akan disalurkan di bawah Skim Kredit Mikro Miskin Bandar (MIMBAR Selangor) untuk kumpulan sasaran kedua.” titah baginda.
Justeru baginda berharap Selangor berjaya mencapai sasaran kutipan hasil cukai pada tahun ini, di mana peningkatan hasil tersebut mampu memberi perubahan yang positif kepada negeri dan juga rakyatnya.
“Beta gembira dengan pencapaian peningkatan hasil cukai dan urus niaga berkaitan tanah yang meningkat dari kadar 75% ke 80% daripada keseluruhan hasil negeri. Beta berharap sasaran kutipan hasil sebanyak RM 152 juta pada tahun ini dapat direalisasikan.” titah baginda.
Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya melaksanakan program-program yang dirancang dalam Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
Antara Program MES yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC), Bekalan Air Percuma sebanyak 20 meter padu, Hadiah Anak Masuk Universiti dan Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang.
Usaha murni kerajaan negeri Selangor dengan mewujudkan program sedemikian agar dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat disamping dapat mengekalkan status negeri maju dan terus disegani.